Jom Buat Duit

Thursday, 2 August 2012

Azizulhasni, Fatehah intai final

“SAYA kini fokus untuk memecah kebuntuan pingat.”Demikian jelas jaguh lumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang.

Menurutnya, meskipun bakal berdepan juara dunia sebanyak tujuh kali dalam acara pecut, Grégory Baugé dari Perancis, ia tetap tidak menghalang misinya untuk memburu pingat, malah menanam tekad untuk melakukan kejutan pada temasya Olimpik kali ini.

“Bersaing dengan juara dunia tujuh kali itu bukan halangan buat saya. Saya akan melakukan yang terbaik dan berharap prestasi pada hari perlumbaan berada pada tahap terbaik.
“Fokus saya hanya tertumpu untuk Olimpik dan latihan persediaan selama tiga bulan di Belgium memang meletakkan saya dalam keadaan bersedia,” kata Azizulhasni.
Pelumba yang mendapat jolokan The Pocketrocketman itu mengakui lebih selesa turun sebagai underdog pada temasya sukan terbesar dunia itu dan dia akan memulakan saingan dalam acara pecut 200 meter individu dan keirin pada Sabtu ini.

“Terlalu ramai nama besar dalam acara pecut dan keirin di Olimpik tetapi ia bukan penghalang kepada saya. Apa-apa pun boleh berlaku. Apa yang penting, saya fokus untuk memecah kebuntuan pingat,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Velodrom Olimpik London semalam.
Pelumba berusia 24 tahun kelahiran Dungun, Terengganu itu bakal berdepan Baugé dalam acara pecut 200m individu dan dalam acara keirin, dia akan menghadapi saingan pelumba tuan rumah, Chris Hoy yang juga pemenang tiga pingat emas pada temasya di Beijing empat tahun lalu.

Ditanya adakah dia mendapat rehat yang cukup untuk kedua-dua acara tersebut, Azizulhasni yang berpangkalan di Melbourne di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan, John Beasley berkata, dia telah bersedia sejak daripada Olimpik Beijing lagi.

“Saya layak secara merit dalam kedua-dua acara yang merupakan acara kegemaran saya,” katanya.
Pada temasya di Beijing empat tahun lalu, cabaran Azizulhasni tersekat pada peringkat separuh akhir acara keirin dengan menduduki tempat kesembilan, manakala dalam acara pecut 200 meter individu, dia sekadar di tempat kelapan.

Sementara itu, ratu lumba basikal negara, Fatehah Mustafa yang akan beraksi dalam acara keirin wanita meletakkan sasaran peribadi yang tinggi iaitu untuk mara ke pusingan akhir dalam acara kegemarannya itu.

Pelumba berusia 23 tahun dari Terengganu itu dengan pencapaian terbaik menduduki tempat kelima Kejohanan Dunia di Belanda tahun lepas juga merupakan pemenang pingat emas dalam acara keirin pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras, Februari lalu.
Dia memenangi perlumbaan tersebut dengan catatan masa 11.672 saat, namun pada Kejohanan Dunia di Melbourne, Australia, April lalu dia melakukan catatan lebih baik iaitu 11.04s, sekali gus menjadi rekod peribadi terbaiknya setakat ini.

Pada kejohanan di Melbourne itu dia sekadar menduduki tempat ke-11.
Mengenai saingannya pada Olimpik kali ini, Fatehah bertekad untuk terus bekerja keras kerana ramai pencabarnya adalah pelumba terbaik peringkat dunia.

“Saya tidak gentar. Kami sering bertemu pada Kejohanan Dunia, jadi tiada bezanya di Olimpik. Saya cuma berharap agar form saya berada di puncak pada hari pertandingan,” jelas Fatehah yang akan memulakan saingannya esok.

Acara pecut akan bermula pada 4 hingga 6 Ogos, manakala keirin akan berlangsung 7 Ogos.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters