Jom Buat Duit

Saturday, 1 September 2012

Duda mati dibunuh kejam


KAKITANGAN Hospital Besut dan anggota polis mengusung mayat Faiza yang ditemui mati dibunuh dalam keadaan lututnya hampir putus dipercayai ditetak dengan senjata tajam dalam kejadian di Kampung Gong Manok, Kuala Besut, Besut kelmarin.


BESUT – Misteri kehilangan seorang duda anak satu sejak Rabu lalu terjawab kelmarin apabila dia ditemui mati dibunuh secara kejam dengan kedua-dua lututnya hampir putus ditetak manakala betis dan pinggangnya turut dilibas senjata tajam.
Mayat Faiza Jaafar, (gambar kecil) 27, ditemui dalam keadaan terduduk pada pukul 2.40 petang di kawasan sawah Kampung Gong Manok, Kuala Besut, dekat sini oleh bapa saudaranya yang keluar mencari mangsa.

Difahamkan, mangsa tidak pulang ke rumah sehari sebelum mayatnya ditemui hingga menimbulkan kerisauan kepada ahli keluarganya.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamarudin Mohd. Zakaria berkata, siasatan awal mangsa dipercayai dibunuh oleh lebih daripada seorang suspek antara pukul 5 petang hingga 9 malam Rabu lalu menggunakan senjata tajam seperti kelewang atau pedang.

“Kita sedang menyiasat motif sebenar pembunuhan dan polis telah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai boleh membantu siasatan,” katanya yang menyiasat kes bunuh itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya bagi urusan pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Kuala Besut dekat sini kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Normala Sulaiman, 55, memberitahu, mangsa yang tinggal di Kampung Beris Lampu, tidak jauh dari tempat kejadian, menunjukkan perubahan beberapa hari lalu.
“Dua hari sebelum itu, mangsa menunjukkan rasa berat hati apabila ibunya, Rohani Sulaiman, 48, menyatakan hasratnya untuk ke ibu negara dengan memberitahu mereka tidak akan berjumpa lagi,” ceritanya ketika ditemui.

Tambah Normala, mangsa menetap bersamanya sejak kecil dan membantunya menguruskan kawasan tempat letak kereta dan perkhidmatan bot bagi pelancong yang ingin ke Pulau Perhentian.
“Mangsa pernah berkahwin dengan gadis sekampung dan dikurniakan seorang anak yang kini berusia tujuh tahun tetapi bercerai pada 2008,” katanya lagi.

101 bayi 31 Ogos dilahir


SUHAILA A. AZIZ (kiri) dan Norhayati Ismail bersama bayi merdeka masing-masing di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu semalam. 

KUALA LUMPUR - Seramai 53 bayi 'merdeka' masing-masing 24 perempuan dan 29 lelaki dilahirkan di lapan hospital kerajaan dan swasta di sekitar Lembah Klang bermula selepas detik 12 tengah malam tadi hingga tengah hari semalam.
Bayi merdeka pertama ialah bayi lelaki yang dilahirkan sebaik selepas detik 12 tengah malam tadi.
Bayi lelaki seberat 3.2 kilogram itu dilahirkan di Hospital Kajang dan bayi itu adalah antara enam kelahiran yang direkod di hospital berkenaan, termasuk sepasang bayi kembar perempuan, kata jurucakap hospital itu.

Hospital Sungai Buloh pula mencatat kelahiran paling tinggi iaitu 13 bayi dengan kelahiran pertama, seorang bayi lelaki pada 12.14 pagi, kata jurucakap hospital itu.
Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pula, seramai lapan bayi dilahirkan sehingga 9.02 pagi ini dengan bayi pertama seberat 2.73 kg dilahirkan pada 12.20 pagi.

Hospital Serdang dan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) masing-masing mencatat tujuh kelahiran dengan bayi pertama masing-masing dilahirkan pada 1.02 pagi dan 12.55 pagi.
Hospital Kuala Lumpur mencatat kelahiran lima bayi dengan seorang daripadanya rakyat Indonesia seberat 4.25 kg yang dilahir pada 4.11 pagi, manakala Hospital Tawakal merekodkan kelahiran dua bayi lelaki.

Di Hospital Pantai Kuala Lumpur pula, lima kelahiran direkod termasuk seorang bayi lelaki rakyat Perancis, kata jurucakap hospital itu.
Daripada 53 bayi yang dilahirkan itu, 18 kelahiran adalah melalui pembedahan iaitu masing-masing satu di PPUM dan HKL, Hospital Tawakal Kuala Lumpur (dua), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pantai Kuala Lumpur (tiga) dan masing-masing empat di Hospital Serdang dan SJMC.
Di Kuala Terengganu, 28 bayi dilahirkan di beberapa hospital di negeri itu sehingga 12 tengah hari iaitu 12 bayi dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan kelahiran pertama ialah pada 12.14 pagi.

Di George Town, seramai tiga bayi dilahirkan di Hospital Pulau Pinang termasuk dua bayi rakyat Indonesia.
Di Seremban, seramai 17 bayi merdeka dilahirkan di hospital kerajaan di negeri ini bermula tengah malam sehingga 12 tengah hari, kata Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Datuk Dr Zailan Adnan. - Bernama

Iniesta dinobat pemain terbaik Eropah

MONTE CARLO – Pemain tengah Barcelona, Andres Iniesta (gambar) memenangi anugerah pemain terbaik Eropah Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) bagi musim 2011-2012 kelmarin.
Iniesta mendapat 19 undi daripada wartawan seluruh Eropah iaitu dua undi mengatasi pencabar terdekat yang juga pemenang musim lalu dan rakan sepasukannya, Lionel Messi.

Bintang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo turut berkongsi 17 undi dengan Messi.
Pemain berusia 28 tahun itu menjadi watak penting dalam membantu Sepanyol mempertahankan kejuaraan Euro 2012 di Poland dan Ukraine pada Jun lalu.

Iniesta juga dinobatkan sebagai pemain terbaik ketika aksi final Euro 2012 menentang Itali.
Senarai tiga pemain itu dipilih oleh 53 wartawan yang bertindak sebagai panel untuk UEFA.
UEFA yang menganjurkan anugerah itu selepas majalah Bola Sepak Perancis menggabungkan anugerah tradisi Eropah dengan hadiah Pemain Terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). – AP

Hotel dan terminal runtuh dalam beberapa saat


ORANG RAMAI menyaksikan operasi meletupkan Hotel Three Gorges (kiri) dan terminal Pelabuhan Chongqing (kanan) di bandar raya Chongqing, barat daya China kelmarin. 
 

CHONGQING - Selama bertahun-tahun Hotel Three Gorges dan sebuah terminal penumpang setinggi 32 tingkat menjadi mercu tanda bandar raya ini, barat daya China.
Namun, kedua-dua bangunan tinggi itu menyembah bumi serentak dalam masa cuma beberapa saat dalam satu letupan terkawal kelmarin.

Akhbar MailOnline melaporkan bahawa hotel dan terminal berkenaan diletupkan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan sebuah hab pengangkutan, pelancongan dan perdagangan.
Orang ramai menyaksikan perubahan landskap yang berlaku di depan mata mereka itu dari jauh. - Agensi

Tablet Kindle Fire habis dijual


DIANGGARKAN sebanyak 6.7 juta unit Kindle Fire berjaya dijual di Amerika Syarikat (AS) sejak ia mula dipasarkan pada November 2011.


NEW YORK - Amazon.com Inc. menyatakan bahawa telah menjual habis komputer tablet keluarannya ketika jangkaan model baharu bakal diperkenalkan pada musim cuti tidak lama lagi.
Peruncit Internet itu dijadual mengadakan sidang media pada Khamis depan di Santa Monica, California. Pengumuman model sedia ada sudah habis dijual menunjukkan Amazon telah memberhentikan produksi Kindle Fire untuk membangunkan model baharu.
Amazon melancarkan Kindle Fire pada harga AS$199 (RM618) seunit pada November 2011. Ia merupakan Kindle Fire pertama yang dilengkapi skrin warna dan mampu memainkan aplikasi pihak ketiga.

Tidak menyatakan berapa banyak Kindle fire berjaya dijual, Amazon bagaimanapun memberitahu, ia menguasai 22 peratus jualan komputer tablet di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh sembilan bulan.
Angka itu menjadikannya tablet kedua paling popular selepas iPad. Tom Mainelli dari firma penyelidikan IDC menegaskan, peratusan itu selari dengan jangkaannya bahawa sebanyak 6.7 juta unit Kindle Fire sudah terjual. - AP

Dua wanita dibunuh desak bebaskan Pussy Riot


Ahli kumpulan punk Pussy Riot, dari kiri: Yekaterina Samutsevich, Maria Alyokhina dan Nadezhda Tolokonnikova duduk di dalam kandang mahkamah yang dilindungi oleh kaca ketika dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun.


MOSCOW - Dua orang wanita ditemui mati akibat ditikam di dalam sebuah pangsapuri di sini pada Khamis, bersama tulisan "Bebaskan Pussy Riot" ditulis di dinding dipercayai menggunakan darah. Kumpulan punk wanita, Pussy Riot mencetuskan ketegangan di Rusia apabila dikenakan hukuman penjara selama dua tahun kerana mengadakan satu protes terhadap presiden Rusia, Vladimir Putin di dalam sebuah gereja utama di sini.

Peguam anggota kumpulan Pussy Riot, Nikolai Polozov menegaskan bahawa anak guamnya dan penyokong mereka tidak terlibat dalam jenayah tersebut. Plozov juga menyatakan tulisan itu bertujuan menimbulkan provokasi dan memburukkan nama Pussy Riot.
Menurut Jawatankuasa Siasatan Persekutuan Rusia, pesara berusia 76 tahun dan anak perempuannya, 38, itu mati akibat luka ditikam dengan pisau.

Rakaman stesen televisyen Rossiya menunjukkan ayat itu ditulis dengan huruf besar pada dinding dapur. Setakat ini, tiada sebarang hubungan jelas di antara mangsa dan Pussy Riot.
Pada Jumaat, pasukan penyiasat telah menahan seorang lelaki yang mengaku membunuh dua orang wanita dan cuba mengelirukan siasatan dengan menulis mesej mendesak pembebasan ahli kumpulan Pussy Riot. - Reuters

Sage Stalllone mati akibat sakit jantung

LOS ANGELES - Pegawai koroner mengesahkan bahawa anak Sylvester Stallone yang berusia 36 tahun meninggal dunia akibat masalah jantung.
Sage Stallone (gambar) dilaporkan meninggal dunia pada 13 Julai lalu disebabkan saluran arteri tersumbat dan bukannya atas faktor-faktor lain. Mayat Sage ditemui di rumahnya oleh seorang pekerja dan saudaranya.

Tiada perbuatan khianat dikesan, malah keputusan toksikologi menunjukkan jumlah hydrocodone yang minimum ada dalam sistem badannya.
Sage Moonblood Stallone merupakan anak sulung pelakon Sylvester Stallone dan pernah membintangi dua filem bersama bapanya.
Dia juga bergiat aktif sebagai pembikin filem dengan dengan menghasilkan sebuah filem pendek bertajuk Vic yang kemudiannya ditayangkan pada Festival Filem Palm Springs. - AP

Klik Untuk Saya k... :)

free counters