SOKONG...Siti bersama suami, Datuk K, Adib dan Bryan B pada pelancaran album All Your Love.
SEPANJANG 16 tahun berkecimpung sebagai anak seni, apa yang tidak
pernah dilalui Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 32, dalam mengharungi
liku-liku menjadi penyanyi terkenal. Namun, semua itu dibiarkan saja dan
menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus mengejar impian sucinya.
Kini, segala usaha gigih itu berhasil. Siti yang dulunya sekadar
seorang gadis kampung biasa, sekarang adalah ikon muzik diminati ramai.
Malah, pelbagai anugerah yang mengiktiraf bakatnya dari dalam dan luar
negara sudah dimiliki Siti.
Bahkan, impian untuk membuat persembahan di dewan berprestij, Albert
Hall, London juga sudah menjadi kenyataan malah melakar populariti yang
tinggi di pasaran negara jiran, Indonesia.
Terbaru, Siti tampil
berani dengan album sulung Inggeris, All Your Love untuk mencabar sejauh
mana tahap kemampuan dirinya. Semakin popular dengan lagu Falling In
Love, tetapi jualan album itu dikatakan agak sendu dan kurang mendapat
sambutan.
Bagaimanapun, Siti yang ditemui selepas majlis ramah mesra sempena
pembikinan dokumentari khasnya untuk tayangan History Channel, menafikan
sambutan album itu kurang memberangsangkan.
Katanya, apa yang nyata, sejak berada di pasaran pada 26
September lalu, sambutannya memang baik dan jualannya mencatat puluhan
ribu unit.
“Sekarang ini, kerja-kerja promosi masih diteruskan
dan fokus sepenuhnya memang ditumpukan kepada penjualan album All About
You. Saya gembira, ia diterima baik dan usaha ini boleh dianggap
berjaya. Apapun, buat masa ini tiada perancangan untuk pembikinan album
Inggeris seterusnya.
“Dalam soal pembikinan album, tidak boleh
terburu-buru. Justeru, setakat ini saya masih belum terfikir untuk
menghasilkan album lain. Biarlah, uruskan satu persatu dulu. Ia lebih
mudah dan semua perancangan dibuat dengan teliti,” katanya.
Menurut
Siti, beliau sebenarnya menyimpan impian membuat konsert jelajah untuk
pelajar di luar negara. Katanya, muzik tempatan juga boleh diterima
dan akan mendapat tempat berikutan ramai pelajar Malaysia yang
melanjutkan pengajian di luar negara.
Berbicara mengenai
perjalanan kariernya, Siti berkata beliau bersyukur kerana hingga kini
masih diteruskan. Ujarnya jika tiada aral dan mengikut apa yang
dirancang, beliau akan menjayakan satu persembahan istimewa di ibu kota
tidak lama lagi.
“Sebagai penyanyi, semestinya saya mahu
menjayakan konsert sendiri. Bagaimanapun, semua itu bergantung kepada
rezeki dan jika peluang itu datang dulu, saya terima. Apapun, sekarang
saya juga sibuk menguruskan perniagaan produk SimplySiti.
“Jika
diizinkan Tuhan, saya ingin mengembangkan perniagaan produk kosmetik ini
sehingga ke pasaran antarabangsa. Bagaimanapun, semuanya masih dalam
perbincangan lagi. Malah, saya mengikut apa saja prosedur ditetapkan
untuk
tembusi pasaran luar,” katanya.
Menurut Siti, beliau
akan berangkat ke negara jiran, Indonesia untuk mengadakan perbincangan
mengenai pemasaran produk keluaran syarikatnya. Kata anak jati Pahang
ini, jadualnya nyata amat sibuk kerana perlu menguruskan banyak perkara.
Selain
itu, Siti juga memaklumkan beliau juga merancang akan mengeluarkan
biografi fotonya untuk peminat pada tahun depan. Namun, buat masa ini
semuanya dalam proses lagi dan diuruskan kakak ipar merangkap
pengurusnya, Rozi Abdul Razak.
Suami sokong pembikinan dokumentari khasSELEPAS
Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad,
nampaknya Siti menjadi penyanyi wanita pertama negara yang kisah
perjalanan karier seninya sejak mula hingga berada di puncak
kegemilangan akan ditayangkan di History Channel.
Diterbitkan
produksi Red Communications Sdn Bhd selama satu jam untuk tatapan
penonton dan peminat penghibur ternama itu, pelbagai kisah menarik, suka
dan duka Siti akan dikongsi bersama. Tidak terkecuali, kisah percintaan
dan rumah tangga.
Berbicara mengenai dokumentari ini, Siti
berkata beliau sangat teruja dan menerima tawaran itu dengan hati
terbuka. Malah, paling penting, Siti mendapat sokongan sepenuhnya
daripada suami, Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa yang sangat memahami.
“Kalau
diikutkan, pembikinan dokumentari istimewa ini nyaris-nyaris tidak jadi
kerana tuntutan jadual saya yang sangat sibuk. Namun, pihak produksi
sanggup menunggu waktu kelapangan saya serta mereka berusaha
mengumpulkan pelbagai maklumat.
“Tak dinafikan, gambar ketika
saya kanak-kanak dan remaja tidak banyak berikutan tidak memiliki kamera
ketika itu. Bagaimanapun, saya sendiri terkejut kerana pihak produksi
berjaya mendapatkannya daripada jiran, rakan, kenalan dan wakil media.
“Apapun,
saya amat berbesar hati dengan pembikinan dokumentari ini dan ia amat
bermakna. Ini kerana, kisah perjalanan karier saya selama 16 tahun akan
ditayangkan di saluran antarabangsa. Ini satu penghargaan sangat besar
dan indah buat saya.
“Kisah dokumentari seperti ini selalunya
dirakamkan untuk mengingati kejayaan pernah disumbangkan tokoh ternama
lagenda atau individu yang banyak berjasa dan sudah meninggal dunia.
Namun, saya mendapat peluang ini ketika masih hidup,” katanya.
Menurut
Siti, beliau melihat pembikinan dokumentari khas ini dari aspek positif
yang mana ia mungkin boleh memberi inspirasi kepada orang lain.
Katanya, tidak salah perkara baik yang membawa kepada kejayaan seseorang
dirakam untuk dikongsi bersama.
Siti berharap dokumentari ini
akan disaksikan peminatnya yang banyak memberi sokongan. Malah,
barangkali ada perkara yang masih belum peminat tahu mengenai dirinya.
Terutama, situasi beliau ketika berhadapan tekanan, gosip dan
kontroversi. Dokumentari khas Siti ini akan disiarkan di History
Channel (Astro 555) pada 11 Januari 2012.