Jom Buat Duit

Friday 8 March 2013

Etnik Suluk Sabah gembira dengan jaminan Najib

TAWAU - Masyarakat etnik Suluk Sabah gembira dengan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan Persekutuan tidak sangsi terhadap kesetiaan etnik itu berikutan insiden pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu di Lahad Datu sejak 12 Februari lalu.

Jurucakap masyarakat etnik itu Datu Raman Datu Ismail berkata, masyarakat etnik Suluk di Sabah amat selesa dengan jaminan berkenaan dan ia sememangnya ditunggu-tunggu etnik Suluk selama ini.

"Alhamdullillah, pada pandangan kami etnik Suluk di Sabah, maklum balas Perdana Menteri amat baik sekali sehingga dia memberi jaminan bahawa kerajaan persekutuan tidak ada kesangsian kepada bangsa Suluk di Sabah tentang ketaat setiaan bangsa ini di dalam mendaulatkan negara Malaysia ini.

"Selain daripada itu, kami juga dari etnik Suluk Sabah mengharapkan suku-suku yang ada di Sabah ini tidak memandang serong terhadap suku ini sebab tidak semua suku ini suka mengadakan keganasan seperti yang berlaku hari ini," katanya.

Datu Raman berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bagi menyatakan taat setia etnik Suluk di Sabah mempertahankan kedaulatan Malaysia kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Lapangan Terbang
Tawau sebelum Perdana Menteri berlepas ke Felda Sahabat, Lahad Datu di sini, hari ini.

Seramai 60 pemimpin kerajaan dan pemimpin pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Suluk yang mewakili kira-kira 30,000 ahli mereka di seluruh Sabah hadir dalam majlis penyerahan memorandum berkenaan.

Turut berada di Lapangan Terbang Tawau bagi menyambut Najib ialah Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Nasir Tun Sakaran, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh.

Turut mengiringi Najib ke Felda Sahabat yang berlepas menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.  

Datu Raman berkata, etnik Suluk di Sabah juga tidak bersetuju dengan perbuatan pencerobohan dan menolak perbuatan ganas berkenaan namun cuma segelintir etnik itu yang berfikiran sedemikan yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Beliau mengakui etnik Suluk Sabah turut merasa kecil hati apabila perkataan Sulu itu diulang-ulang dan disebut-sebut termasuk melalui media massa kerana ia menggambarkan seolah-olah semua etnik berkenaan adalah ganas.

"Syukurlah, bermula daripada kelmarin, "Ops Sulu" telah ditukar kepada "Op Daulat" kerana Ops Sulu itu menggambarkan seolah-olah etnik Suluk Sabah akan dihabiskan sama sekali. Alhamdulillah ia telah ditukar kepada Op Daulat dan itulah kebanggaan kami sebagai etnik Suluk Sabah," katanya.- Bernama

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters