Jom Buat Duit

Monday, 18 March 2013

Ebi Kornelis selesa di Sabah

SEJURUS namanya diumumkan sebagai naib juara pertandingan rancangan realiti televisyen Akademi Fantasia musim kelima (AF5) beberapa tahun lalu, nama Ebi Kornelis seperti tenggelam timbul.

Mujurlah kontroversi kisah cintanya dengan juara program sama, Mila Jirin menjadi bahan bualan peminat. Sekurang-kurangnya ada bahan untuk nama penyanyi itu terus diingati.
Namun, setelah cerita-cerita mengenai percintaan mereka semakin lenyap, nama Ebi juga semakin luput daripada liputan media.

"Saya tidak pernah hilang pun dalam dunia hiburan ini. Cuma tidak ada publisiti media kerana saya lebih memberi tumpuan kepada penglibatan dalam industri seni di negeri kelahiran saya (Sabah).
"Di sana pun industrinya serancak di Semenanjung. Mungkin rezeki saya di sana," tutur Ebi ketika hadir pada sesi fotografi bersama Sensasi Bintang di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pemilik nama penuh Firdaus Yaimal itu mengakui bahawa rezekinya dalam dunia hiburan semakin bertambah apabila mengambil keputusan pulang ke kampung halaman di Kota Kinabalu, Sabah.
Selain banyak berlakon dalam naskhah-naskhah drama dan telemovie di Negeri di Bawah Bayu itu, Ebi kini bergelar Pengarah Kreatif di bawah syarikat penerbitan miliknya, Empayar Bayu (M) Sdn. Bhd.

"Saya sedang menerbitkan sebuah telemovie berjudul Aboi yang akan ditayangkan di saluran tempatan Sabah selain dalam perancangan untuk beberapa judul yang lain.
"Beberapa filem juga telah saya terbitkan. Cuma masih menunggu masa untuk ditayangkan," katanya yang banyak merakamkan lagu-lagu dalam bahasa tempatan seperti Dulu Sayang Suka dan Sayang Sabah.

Dalam perkembangan sama, Ebi kini kembali ke Semenanjung dalam usahanya mengembalikan ingatan peminat terhadap peserta rancangan realiti televisyen Mania itu. Ebi kini muncul dengan sebuah single baharu ciptaan komposer Kuncidemak.

"Saya sekarang dalam proses mempromosikan single berjudul Takdir & Masa yang dikeluarkan dalam masa terdekat. Lagu itu benar-benar mewakili suara hati saya sepanjang bergelar anak seni.
"Lagu itu juga ada kaitan tentang hubungan saya dengan Mila yang pada suatu ketika dahulu pernah bercinta dan masih bersahabat biarpun sudah tidak bersama. Ia adalah tentang takdir dan masa yang telah saya lalui," kata jejaka berumur 30 tahun itu.

Sibuk dengan pelbagai urusan di belakang tabir termasuk aktif menerusi Kelab Artis 1Malaysia Sabah (KA1MS) memaksa Ebi mengenepikan seketika hal berkaitan jodoh.
Katanya, dia tidak mahu membiarkan hal remeh-temeh yang melibatkan percintaan menjadi penghalang untuk dia berjaya terlebih dulu.

"Selepas hubungan saya dengan Mila putus, saya ada mengenali seorang gadis biasa. Namun hubungan kami tidak lama kerana dia sukar memahami kerjaya saya. Kini saya lebih selesa solo dan memberi tumpuan kepada karier yang saya anggap baharu bermula," luah Ebi jujur.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)