Jom Buat Duit

Monday 4 March 2013

6 polis mati ditembak di Semporna


LAHAD DATU - Seorang pegawai dan lima anggota polis terkorban selepas mereka diserang hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas Sultan Sulu di Kampung Seri Jaya, Simunul dekat Semporna lewat petang kelmarin.

Kejadian di perkampungan atas air itu turut menyebabkan enam orang dipercayai anggota kumpulan bersenjata terbabit terbunuh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kejadian itu tercetus kira-kira pukul 6.30 petang kelmarin ketika 25 orang polis mengadakan pemeriksaan di kampung berkenaan setelah menerima maklumat mengenai kehadiran sekumpulan lelaki bersenjata di situ.
Menurut beliau, sepasukan 25 orang pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna kemudian telah melakukan pemeriksaan ke kampung berkenaan yang mempunyai kira-kira 300 buah rumah.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di kampung tersebut, kumpulan bersenjata yang dipercayai daripada kumpulan penceroboh Sulu terbabit menyerang hendap pasukan berkenaan dengan melepaskan tembakan.

"Pasukan kita telah diserang dan ditembak oleh kumpulan terbabit sehingga mengorbankan seorang pegawai dan lima anggota," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rashid.
Ismail memberitahu, anggota polis itu ditembak ketika mereka sedang menuju ke sebuah premis di kampung berkenaan dan mereka membalas tembakan untuk mempertahankan diri.
Menurut beliau, pihak polis kemudian telah mengerahkan pasukan bantuan ke kampung tersebut untuk membantu baki 19 orang anggota yang terperangkap di situ.

Operasi pasukan bantuan tersebut selama hampir 24 jam yang berakhir pada pukul 6.30 petang semalam berjaya menyelamatkan 19 anggota terbabit dan mengeluarkan mayat semua anggota polis serta enam anggota kumpulan pengganas.

Ismail berkata, polis juga sedang menyiasat sama ada kumpulan bersenjata itu mempunyai kaitan dengan lebih 150 orang kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo, Lahad Datu yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Semporna.

Setakat ini, jelas beliau, kampung tersebut telah dikepung oleh pasukan keselamatan.
"Baki ahli kumpulan itu masih berada di dalam kampung berkenaan dan kita telah mengepung mereka," ujarnya.

Pada Jumaat lalu, dua anggota komando VAT 69, Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, 29, dan Sarjan Sabarudin Daud, 46, terbunuh sementara tiga yang lain cedera dalam insiden pertempuran di Kampung Tanduo.

Dalam kejadian itu, seramai 12 anggota pasukan penceroboh terbunuh.
Sementara itu, Ismail berkata, polis turut menahan tiga daripada lebih 150 orang kumpulan bersenjata rakyat Selatan Filipina yang menceroboh dan berpangkalan di Kampung Tanduo di sini sejak 12 Februari lepas.

"Mereka dipercayai cuba keluar daripada kumpulan itu," katanya yang enggan mendedahkan maklumat terperinci mengenai tangkapan tersebut.
kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters