BERSANDARKAN genre fantasi drama, filem Misteri Jalan Lama (MJL) arahan penerbit, pelakon, pengacara, pelawak dan sutradara terkenal, Afdlin Shauki mampu mencatat kutipan RM400,000 dalam tempoh tiga hari tayangan bermula Khamis hingga Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Pengurus Besar Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB), Gayatri Su-Lin Pilai selaku penerbit memaklumkan jumlah kutipan untuk tayangan Ahad hingga semalam, masih belum diperolehnya. Apapun, angka kutipan diraih itu nyata tidak menghampakan.
Menurut Gayatri, lagi pun MJL adalah filem serius pertama karya Afdlin. Katanya, Afdlin yang cukup sinonim dengan filem komedi, sebenarnya sudah mengambil langkah berani dengan mengetengahkan genre baru seperti fantasi drama untuk tatapan penonton.
“Malah, mengikut maklum balas positif diterima menunjukkan penonton wanita rata-rata menyukai filem ini. Cuma, penonton lelaki saja agak kurang. Namun, kelompok penonton lelaki yang berusia 25 tahun dan ke atas nampaknya tiada masalah untuk terima.
“Bagi saya sendiri, jalan cerita filem ini (MJL) pun bagus kerana pertama kali menonjolkan kelainan dengan memaparkan kisah kasih sayang dua beradik lelaki. Apapun, barangkali genre ini masih baru dan penonton nyata belum terbiasa dengannya.
“Selain itu, saya juga tidak melihat filem ini gagal apatah lagi berasa kecewa de-ngan jumlah kutipan diraih. Sekurang-kurangnya, Afdlin sudah cuba membawa kelainan dalam filemnya untuk dikongsi bersama penonton tanah air,” kata Gayatri.
Jelas Gayatri lagi, sememangnya benda baru sukar untuk diterima. Dalam soal ini, ujarnya ada orang yang suka dan tidak terkecuali sebaliknya. Begitu juga dengan Afdlin, tidak semua karyanya disukai kerana penerimaan penonton yang berbeza-beza.
Membabitkan kos pembikinan dan promosi sebanyak RM1.8 juta, filem MJL sudah disiapkan Afdlin kira-kira dua tahun lalu, tetapi ‘terperap’ agak lama berikutan penggunaan teknik janaan komputer (CGI) yang terperinci dan ia mengambil masa panjang.
Selain Afdlin, barisan pelakon lain yang membintangi MJL ialah Hans Isaac, Liyana Jasmay, Que Haidar dan Vanidah Imran. Berkisar pada hubungan dua beradik Indra dan Ilya yang saling menyayangi antara satu sama lain. Namun, satu tragedi menimpa mereka.
Dalam perjalanan pulang ke kampung ketika mengikut jalan lama, dua beradik itu tiba-tiba masuk ke dunia lain. Pelbagai peristiwa pelik, dialami mereka seperti diganggu makhluk ngeri sehinggalah kepada perkara yang menyeronokkan. Apa sebenarnya yang berlaku?
No comments:
Post a Comment