Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed berkata kesalahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 itu termasuklah mengarahkan pembantu rumah membantunya bekerja di pasar malam atau kedai runcit, menjaga orang sakit di rumah selain di rumah majikan itu serta meminta mereka bekerja di rumah lain walaupun di rumah saudara-mara sendiri.
"Di Indonesia, apabila kita memohon pembantu rumah, kita akan ditanya untuk tujuan apa, kerana kalau pembantu rumah diambil untuk menjaga orang tua, latihan yang akan diberi khusus untuk jaga orang tua sahaja. Kalau diambil untuk kerja-kerja rumah, latihan yang diberi hanya berkaitan dengan tugas kerja-kerja rumah," katanya pada sidang akhbar mengenai isu pembantu rumah dan penarikan balik moratorium di sini hari ini.
Ditanya sekiranya pembantu rumah itu sendiri secara sukarela ingin membuat kerja berkenaan sama ada di rumah majikan atau di tempat lain untuk mendapatkan wang tambahan, Sheikh Yahya berkata: "Tidak dibenarkan kerana mungkin pada masa itu dia kata setuju tetapi kemudian hari akan timbul isu lain.
"Dia digajikan untuk rumah A, jadi mesti kerja di rumah A. Kerana dalam pas dia pun ada nama majikan itu. Jika dia ditangkap di rumah lain selain dari rumah A, pembantu rumah juga boleh dikenakan tindakan dan majikan juga boleh didakwa."
Dengan persetujuan pihak Indonesia untuk menyambung semula penghantaran pembantu rumah ke Malaysia mulai 1 Dis ini, Sheikh Yahya menasihatkan majikan dan agensi pekerjaan supaya lebih bertanggungjawab dan menghormati semua persetujuan yang telah dicapai antara Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertemuan kedua-dua pemimpin itu di Bali baru-baru ini.
Bernama
No comments:
Post a Comment