DEMI IBADAH...penduduk menggunakan sampan secara bergilir-gilir.
BERSEDIA...sampan yang mengangkut jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Mukim Simpangan Hilir, semalam.
TUMPAT: Kira-kira 70 penduduk Kampung Simpangan Hilir, Pengkalan Kubor, dekat sini, terpaksa menaiki bot dan sampan untuk menunaikan solat Jumaat selepas kampung mereka ditenggelami banjir.
Tinjauan Harian Metro di kampung itu, semalam mendapati, penduduk terpaksa menaiki bot berenjin dan mendayung sampan secara bergilir-gilir dan terpaksa turun di pintu masjid selepas pekarangan masjid ditenggelami air sedalam kira-kira tiga meter.
Imam Masjid Mukim Simpangan Hilir, Ismail Awang Mat, 61, berkata, sudah menjadi tradisi penduduk kampung itu menggunakan bot dan sampan sebagai pengangkutan bagi menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid pada musim banjir.
Katanya, penduduk tetap menunaikan tanggungjawab masing-masing walaupun terpaksa bersusah payah ke masjid “Setiap tahun penduduk akan menghadapi banjir, malah menaiki bot atau sampan ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat atau solat berjemaah sudah menjadi tradisi sejak masjid ini di bina pada 1991.
“Kita bernasib baik air tidak pernah melimpah ke dalam masjid dan penduduk masih dapat menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah seperti biasa,” katanya.
Penduduk, Mat Razi Mat Ail, 50, berkata, 10 bot berenjin termasuk beberapa sampan milik orang kampung dijadikan pengangkutan menghantar penduduk ke masjid kira-kira 800 meter dari jalan besar.
Katanya, penduduk menggunakan pengangkutan itu secara bergilir-gilir kerana sebuah bot atau sampan hanya mampu memuatkan antara lima hingga enam orang penduduk kampung.
Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Pengakalan Kubor, Ahmad Mazdan Jusoh, ketika dihubungi berkata, 10 penduduk membabitkan dua keluarga di kampung berkenaan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor 2.
“Jumlah mangsa banjir di kampung itu dijangka bertambah berikutan paras air Sungai Golok semakin meningkat dan kita sudah bersedia melakukan kerja menyelamat,” katanya.
No comments:
Post a Comment