Jom Buat Duit

Tuesday, 29 November 2011

2PM Hands Up Asia Tour 2011 - Bunga Mawar Buat Peminat

DUA jam 30 minit melewati 2PM Hands Up Asia Tour 2011 yang berlangsung di Stadium Negara, Jumaat lalu, diakui sebuah persembahan yang cukup berbaloi untuk ditonton.
Perbezaan bahasa sedikitpun tidak mewujudkan jurang atau membikin penonton terpinga-pinga kerana ‘showmanship’ keenam-enam pemuda yang menggelarkan diri mereka 2PM itu membuatkan kita tidak sempat mencari sudut negatif dalam persembahan mereka.

Dengan tawaran tarian yang cukup kemas dan bertenaga, nyanyian yang dipersembahkan juga tidak menghampakan walaupun terkadang kedengaran seperti suara rakaman atau erti kata lain ada sebahagian lagu tidak disampaikan secara langsung.

Penulis punya hujah berkata demikian, kerana dalam gerak tari mereka cukup ‘energetik’ mustahil mereka langsung tidak mengah hingga menjejaskan suara.

Walaupun penulis biasa membaca kisah artis-artis Korea sering melalui proses latihan yang ketat dan panjang untuk memastikan persembahan mereka sentiasa berstamina.

Hakikatnya, 2PM bukannya mesin yang menggunakan tenaga bateri, solar atau sebagainya justeru tidak banyak, sikit pasti akan ada kecelaan dalam nyanyian mereka dalam tempoh persembahan sebegitu panjang.

Lupakan seketika soal itu, kerana yang pasti daripada reaksi diberikan lebih 5,000 penonton yang membanjiri Stadium Negara dengan jelas mereka amat terhibur dan berpuas hati.

Banyak perkara menarik sepanjang menyaksikan konsert tajaan TM itu yang bermula tepat jam 8.30 malam. Namun paling istimewa, tentunya tatkala penonton menerima kuntuman bunga mawar daripada setiap ahli 2PM iaitu Junsu, 23, Junho, 21, Nickhun, 23, Taecyeon, 23, Wooyoung, 22, dan Chansung, 21, sewaktu mereka mendendangkan lagu Only You.

Peminat yang duduk di bahagian belakang berlari ke hadapan, tepi kiri dan kanan pentas untuk mendapatkannya. Ia tentunya ‘moment’ paling romantis apabila anda menerima sekuntum bunga mawar daripada insan pujaan, yang anda sedar hanya mampu mengagumi mereka dari kejauhan dan melepaskan rindu hanya dengan mendengar suara menerusi lagu yang dititipkan.

Penulis berpendapat ia satu tindakan yang bijak dilakukan 2PM. Apabila mencetuskan idea sedemikian rupa sebagai salah satu elemen dalam persembahan kerana penulis pasti hal itu akan terpahat sebagai kenangan paling indah dalam diari kehidupan pencinta mereka.

Bukan itu saja, lirik turut disertakan di layar skrin supaya penonton boleh sama-sama menyanyi dengan mereka dan ini dapat mengelakkan persembahan menjadi hambar bagi mereka yang tidak menghafal lirik lagu 2PM.

Turut disertakan klip video yang menunjukkan personaliti 2PM secara dekat. Junho misalnya, antara paling kreatif di antara yang lain kerana selain menyanyi dia juga adalah komposer untuk kumpulan itu.

Manakala Chansung tangkas bermain pedang, Wooyoung peminat tegar mendiang Michael Jackson, Taecyeon memiliki bakat seni lukis, Junsu ahli 2PM yang paling suka makan dan Nickhun pemilik wajah comel ini seorang yang bimbang pada kegemukan.

Mengupas lebih meluas perjalanan konsert terbesar enam jejaka tampan di Malaysia itu, selain menonjolkan pelbagai aksi tarian yang menarik dan tidak kenal lelah seperti berlarian, melompat ke sana dan ke mari, pentas ‘runaway’ yang berbentuk ‘T’ dikelilingi penonton, membuatkan penghuni stadium berasa lebih puas.

Aksi yang tak kalah menarik, adalah permainan samurai yang dipadukan dengan animasi di LCD raksasa dengan warna putih sebagai layar ‘backdrop’. Di mana Changsung berkelahi dengan animasi monochrom itu.

Secara tidak langsung, mengingatkan pada kolaborasi Madonna dan band animasi, Gorillaz dalam sebuah konsert yang diadakan beberapa tahun lalu. Ia begitu mengujakan penonton kerana konsep seperti ini sangat jarang dapat disaksikan dalam mana-mana penganjuran konsert.

Aksi teaterikal dilanjutkan saat Nickhun ditarik memakai ‘sling’ seakan terawang-awang di udara dengan layar putih, yang memancarkan sayap kupu-kupu animasi yang besar berwarna warna dan akhirnya terbakar.

Persembahan juga menjadi semakin hangat barangkali berjaya mengundang rasa cemburu di kalangan penonton khususnya wanita. Apabila enam penari perempuan dengan gaya cukup seksi dan menggoda dengan kostum ala-ala model ‘playboy’ beraksi erotik di samping 2PM untuk beberapa lagu seperti Dance Tonight, Back To You dan 10 Out Of 10.

Sampai satu tahap, penonton menjerit hampir histeria apabila butang baju Nickhun terbuka sehingga menampakkan tubuhnya yang berotot ketika menyampaikan lagu 10 Out of 10.

Sesudah lagu itu, Junho sempat memberi ucapan dalam bahasa Melayu dengan mengatakan, “ terima kasih kerana datang ke sini, saya akan balik lagi,” lalu disambut teriakan penonton.

Hot, Electricity, dan Hands Up, dipilih sebagai mukadimah konsert. Disusuli Crazy For U, Wait & Tired, Besides You, I Can’t dan Give It To Me yang menjadi aksi lanjutan Junsu, Junho, Nichkhun, Taecyeon, Wooyoung dan Chansung memancing teriakan demi teriakan peminat.

Tidak sekadar nyanyian secara berkumpulan, setiap ahli 2PM juga mempamerkan kehebatan masing-masing dengan segmen secara solo. Misalnya, Beside U disampaikan oleh Junho dan Wooyoung, My Valentine (Nichkhun dan Taecyeon), Revenger (Chansung) serta Alive (Junsu).

Persembahan kemudiannya diteruskan lagi dengan rangkaian lagu I’ll Be Back, I Hate You, Back To You, disusuli oleh Without You, selepas Junsu membawakan lagu ciptaannya berjudul Alive.

Sebanyak 25 lagu dipersembahkan termasuk Only You, 10 Points Out Of 10, Again and Again, I’m Your Man, Don’t Stop Can’t Stop dan Heartbeat, single hit mereka Thank You yang dilancarkan sekitar Ogos 2010 diumumkan sebagai lagu terakhir sekali gus menandakan persembahan tamat.

Bagaimanapun, sebelum beredar meninggalkan pentas mereka mengejutkan penonton dengan penataan lampu dipadukan bersama laser hijau yang memanah perhatian penonton lantas memberi amaran bahawa konsert belum berakhir lalu kemudiannya menggegarkan tarian dengan lagu remix 10 Points of Out 10 dan Hands Up.

Sedikit latar belakang 2PM, ahli aslnya terdapat tujuh bagaimanapun ketua kumpulan itu Jaebeom ditamatkan kontraknya ekoran kontroversi yang membabitkannya di internet pada 2009.

Kumpulan ini, dibentuk oleh pemuzik terkenal Korea iaitu Park Jin Young dan diuruskan oleh syarikat JYP Entertainment yang turut dinaungi Wonder Girls dan 2AM.

Berbeza dengan kumpulan K-Pop yang lain, 2PM yang mula dikenali menerusi lagu 10 Jeom Manjeome 10 Jeom membawa personaliti lebih matang di sebalik imej ‘pretty boys’ mereka.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters