DUA ‘hero Malaya’ ini memulakan langkah lakonan mereka pada usia
masih mentah. Jika Shaheizy Sam dikenali dengan telefilem menyayat
hati, Pa’e pada 1998 ketika usia 12 tahun, pastinya Mohammad Syafie
Naswip pula menerusi filem Mukhsin.
Diketengahkan pengarah tersohor negara, Allahyarham Yasmin Ahmad pada
2007, ketika itu Mohammad Syafie baru berusia 15 tahun. Kini, Shaheizy
dan Syafie juga sudah membuktikan bakat lakonan masing-masing menerusi
anugerah dimenangi.
Shaheizy menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem
Malaysia Ke-23 (FFM23) tahun lalu dan Pelakon Lelaki Terbaik di FFM24
baru-baru ini. Manakala Syafie pula menang Pelakon Kanak-Kanak Terbaik
(FFM20) serta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM22).
Bagaimanapun,
dari aspek populariti nyata lebih berpihak kepada Shaheizy kerana
�dinobatkan Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita
Harian (ABPBH) tahun lalu. Ia sekali gus kejayaan berganda buatnya yang
makin menonjol dalam lakonan.
Berpaksikan kecemerlangan yang sudah terbukti itu, Shaheizy dan
Syafie kini disatukan sebagai adik beradik dalam filem Songlap arahan
Effendee Mazlan dan Fariza Azlina yang diterbitkan secara bersama
produksi Primeworks Studios Sdn Bhd dan Red Films Sdn Bhd.
Walaupun pertama kali bergandingan di filem, sama ada Shaheizy
atau Syafie, mereka saling ‘memberi’ dalam tuntutan watak masing-masing.
Bahkan, tiada masalah juga buat mereka membentuk keserasian serta
mengakui selesa bekerja antara satu sama lain.
Menurut Shaheizy
atau mesra dengan panggilan Sam, dia seronok bekerja dengan Syafie biar
pun hubungan mereka tidaklah begitu rapat sebagai sahabat baik.
Bagaimanapun, katanya Syafie memang seorang pelakon yang berbakat kerana
dia mudah membentuk kerjasama.
“Biarpun hubungan kami tidak
rapat, tetapi atas dasar urusan kerja, Syafie memberi ruang kepada saya
untuk masuk ke dalam dirinya. Ia sekali gus membantu menghidupkan
lakonan kami terhadap watak Am yang saya bawa dan dia pula sebagai Ad.
“Jujur
saya katakan, tidak semua pelakon boleh melakukan seperti Syafie yang
memudahkan gandingannya selesa, serasi dan boleh menghayati watak
bersama. Dalam soal ini, apabila mendapat gandingan yang bagus, saya
menjadi bertambah yakin.
“Lakonan ditonjolkan juga ikhlas dan
tulus mengikut apa yang diinginkan skrip. Bahkan, saya juga berasakan
lakonan yang dipaparkan dalam Songlap lebih ‘terpelihara’. Sehubungan
itu, saya sangat mengharapkan penonton akan berpuas hati,” katanya.
Aktor
kacak berusia 29 tahun yang begitu laris membintangi pelbagai genre
ini, memaklumkan Songlap ialah filem yang jujur. Ia mengangkat kisah
benar berkaitan sindiket penjualan bayi yang memang berlaku dalam
kehidupan realiti masyarakat.
Songlap yang turut dijayakan Sara
Ali, Omar �Abdullah, Rozie Rashid, �Normah Damanhuri dan Hasnol Rahmat
bakal ditayangkan di pawagam pada 15 Disember ini. Filem lakonan Sam
yang turut menanti tayangan, 8 Jam, Adnan Sempit 2, Nongkrong dan Aku
Ada Kau Ada.
Menyedari usia yang makin meningkat, sejauh mana
pula perancangan Sam dalam kehidupan peribadinya? Apakah anak bongsu
dramatis Khaty Fauziah ini sudah bersua calon sesuai untuk menjadi teman
hidup? Menjawab pertanyaan ini, dia yang kini tampil berjambang
berkata, jadualnya terlalu padat.
“Saya terlalu selesa dengan
kerja sekarang ini dan tiada masa untuk mencari cinta. Justeru, saya
tidak memikirkannya dan biarlah soal jodoh ini ditentukan Tuhan. Sampai
masa ditetapkan, saya yakin dan percaya akan bertemu juga dengan jodoh
itu.
“Sebagai manusia biasa, saya juga mempunyai impian untuk
memiliki keluarga sendiri. Cuma, sekarang sukar untuk saya memaklumkan
lebih lanjut kerana tumpuan serta komitmen saya hanya pada karier.
Apapun, saya bersyukur keluarga sangat memahami,” katanya.
Pernah
muncul juga dengan kumpulan MOB yang mengetengahkan irama hip hop, Sam
berkata, kerjaya nyanyian padanya kini sudah menjadi kenangan. Ujarnya,
biarpun tawaran untuk menyanyi masih diperoleh tetapi dia yang tidak
bersedia untuk terima.
Syafie berusaha atasi rasa gugup Selesa
merendah diri, Syafie berkata dia masih terlalu baru dalam industri
lakonan tanah air. Katanya, banyak lagi ilmu yang perlu ditimba daripada
pelakon berpengalaman seperti Shaheizy Sam. Pengalaman adalah kayu
pengukur antara dia dan Shaheizy
Biarpun pernah bergandingan
dengan Shaheizy dalam telefilem Alahai Cicit Atuk, tetapi ketika itu
babak membabitkan mereka tidak banyak. Justeru, Syafie sendiri tidak
berasa terlalu gugup beraksi di sisi Shaheizy yang sangat dihormatinya.
“Namun,
situasi itu nyata berbeza dalam Songlap kerana kami berdua adalah
teraju utama dan paling merisaukan apabila kami memainkan watak
adik-beradik. Shaheizy seorang pelakon yang bagus, jadi siapa yang
tidak akan berasa gementar.
“Ditambah pula watak Ad lakonan saya
sangat mencabar. Ia banyak bermain dengan emosi dalaman yang memerlukan
saya banyak berbincang dengan pengarah dan pelakon yang terbabit dalam
filem ini untuk mendapatkan pandangan mereka.
“Tak dinafikan,
ketika mendapat tawaran untuk berlakon filem ini hati saya berbelah
bahagi sebenarnya. Saya rasa mahu menolaknya kerana takut dengan
tuntutan penghayatan watak yang berat. Ini kerana, saya seorang remaja
biasa yang gemar duduk di rumah.
“Saya pun tidak pernah terbabit
masalah apatah lagi, perihal menjual bayi. Jadi, semestinya sukar untuk
saya menjiwai watak Ad itu. Justeru, bagi mendapatkan mood yang sesuai,
saya ambil inisiatif menonton filem The Reader serta membuat tinjauan
di sekitar Chow Kit,” katanya.
Menurut Syafie, selain itu dia
juga banyak bertanya pada rakan-rakan dan berkongsi kisah yang mereka
tahu �mengenai penjualan bayi. Ujarnya, dia memberanikan diri menerima
juga tawaran filem Songlap kerana terpikat �dengan jalan cerita yang
berbeza.
Berusia 18 tahun dan kini melanjutkan pengajiannya dalam
tingkatan enam, Syafie berkata sekarang, komitmen utamanya adalah
pelajaran untuk jaminan masa depan. Justeru, jika ada tawaran berlakon
pun, dia hanya terbabit pada penggambaran hujung minggu.
Katanya
dia mahu lebih dulu mengejar cita-cita untuk berjaya dalam pelajaran.
Oleh itu, dia lebih selesa jarang menerima tawaran demi pendidikan.
Katanya dia mahu berusaha dan melakukan sebaik mungkin dalam peperiksaan
Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) nanti.
PROFILNAMA: Shaheizy Sam Abdul Samad
PANGGILAN KOMERSIAL: Shaheizy Sam
TARIKH LAHIR: 4 September 1982
USIA: 29 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KARIER: Pelakon
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak bongsu daripada lima beradik
DRAMA/ TELEFILEM:
Antaranya Pa’e, The Son, Elly, Noda Semalam, Bisikan Hati, Graduan, KL
Menjerit, Ali Din, Seiras Maya, Kasanova XXL, Impak Maksima, Jangan
Pandang Belakang
FILEM: Sama Tapi Tak Serupa, Bohsia: Jangan
Pilih Jalan Hitam, Syurga Cinta, Jangan Pandang Belakang Congkak, Adnan
Semp-it, Niyang Rapik, Evolusi KL Drift 2, Ngangkung, Kongsi, Sekali
Lagi, Songlap
ANUGERAH: Pelakon Filem Lelaki Popular
ABPBH2010, Bintang Paling Popular ABPBH2010, Anugerah Yasmin Ahmad
(Anugerah Skrin 2010), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM23), Pelakon
Lelaki Terbaik (FFM24)
PROFILNAMA: Mohammad Syafie Bin Naswip
PANGGILAN KOMERSIAL: Syafie
ASAL: Selangor Darul Ehsan
TARIKH LAHIR: 2 Ogos 1992
USIA: 18 tahun
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak tunggal
KARIER: Pelakon, Pelajar
DRAMA/TELEFILEM:
Antaranya Impian, Ilham Suci, Dosa Semalam, Kasih Tak Terucap, Takbir
Suci 2, Soulful Finding, Manja, Alahai Cicit Atok, Ustaz Kecil, Seluhur
�Nazar, Demi Masa, Dunia �Batinku, Biang Lala Di Kaki Langit, A Untuk
Abah, Melukut Kasih �Di Kaki Santubung, Hero Komik, Jidin, Keliwon
TEATER: P Ramlee The Musical (musim 1) �Titik-Titik Perjuangan 1, Titik-Titik Perjuangan 2, Gelanggang Tok Wali
FILEM: Mukhsin, Talentime, Nur Kasih The Movie, Songlap
ANUGERAH: Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2007, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (FFM20) Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM22)