Jom Buat Duit

Thursday, 10 September 2015

Ribut pasir luar biasa landa Arab

SEBAHAGIAN besar kawasan barat di Timur Tengah, kelmarin dilanda fenomena ribut pasir dahsyat yang turut meragut sekurang-kurangnya lapan nyawa selain menyebabkan ratusan lagi mengalami masalah pernafasan.

Debu tebal mula menyelubungi kebanyakan kawasan di Syria, Isnin lalu sebelum ia merebak ke Lubnan, Palestin, Jordan, Cyprus, Iraq dan Turki.

Di Damsyik, ketua sebuah hospital utama, Adeeb Mahmoud mengesahkan lebih 1,200 penduduk termasuk 100 kanak-kanak menerima rawatan kerana menghadapi kesukaran untuk bernafas sejak malam Isnin lalu.

Sementara itu, kumpulan pemerhati hak asasi manusia (SOHR) memaklumkan sekurang-kurangnya enam termasuk dua budak dan seorang warga emas maut selepas mengalami masalah kegagalan pernafasan.

Jurucakapnya berkata, beberapa hospital di bandar Mayadin di timur wilayah Deir Ezzor  juga tidak mampu lagi menerima pesakit akibat kekurangan tangki oksigen.

Di Beirut, Kementerian Kesihatan memberitahu dua wanita meninggal dunia ketika sedang dirawat di hospital.

“Jumlah pesakit yang mengalami kesukaran bernafas akibat fenomena ribut pasir itu telah meningkat kepada 750 kes,” jelas jurucakapnya.

Di Cyprus, sekurang-kurangnya 10 pesakit terpaksa dimasukkan ke hospital dan susulan itu, pegawai kesihatan menasihatkan orang ramai supaya mengehadkan aktiviti di luar rumah berikutan lapisan debu tebal tersebut dilaporkan berada lebih tinggi dari paras normal.   

Ribut pasir itu juga menyebabkan jerebu tebal di Kaherah hingga menjejaskan jarak penglihatan.

Di Jeddah, sekitar bandar tersebut diselubungi kegelapan pada jam 6 petang (waktu tempatan) selepas ribut pasir melanda selama 40 minit.

Pegawai kanan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Abduk Hameed Abal-Ari berkata, fenomena luar biasa itu telah menyebabkan banyak jadual penerbangan masuk terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang berhampiran manakala penerbangan keluar ditangguhkan atas faktor keselamatan.

“Menjelang jam 7 malam (waktu tempatan), keadaan kembali seperti biasa,” katanya. - al-Arabiya

Wanita sembunyi pistol dalam kemaluan

TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Seorang wanita memberitahu polis beliau menyembunyikan sebuah pistol di dalam kemaluannya, semalam.
 
Menurut NY Daily News, Ashley Cecilia Castaneda, 31 ditahan atas tuduhan berkaitan dadah dan memberitahu polis mengenai senjata api berkenaan ketika dibawa ke lokap.
 
Pegawai polis wanita kemudian menjumpai sepucuk pistol Smith & Wesson .22 separa kaliber selepas memeriksa Ashley.
 
Sebelum itu, polis menjumpai dadah seberat 29.5 gram di dalam beg tangannya.
 
Rakan Ashley, Gabriel Garcia, 30-an juga ditahan kerana memilik dadah sebanyak 2.7 gram.

Wednesday, 26 August 2015

Lelaki bernama 'Tuhan' disuruh tukar nama

INDONESIA. Penguat kuasa agama di Jawa Timur menggesa seorang lelaki yang bernama 'Tuhan' supaya mengubah namanya.
 
Menurut Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) Bahagian Jawa Timur, manusia tidak layak menjadikan perkataan 'Tuhan' sebagai sebahagian daripada nama mereka. 
 
"Jangan sampai manusia menyembah (manusia) bernama 'Tuhan' nanti," kata Abdussomad Bukhor kepada detiknews.com, semalam.
 
Abdussomad juga menerangkan bahawa penggunaan nama 'Tuhan' pada nama manusia adalah tidak sesuai dan tepat.
 
"'Tuhan' memang nama yang baik, tapi tidak sesuai, kerana ia mensyirikkan Tuhan (sebenar). Tuhan adalah zat yang disembah," katanya lagi.
 
Beliau mencadangkan supaya lelaki tersebut mengubah namanya atau menambah apa-apa nama di hadapan 'Tuhan'. 
 
Sementara itu, kad pengenalan lelaki berkenaan telah diambil sehinggalah beliau mengubah namanya.

Tuesday, 25 August 2015

Tahniah Stacy, Stacy memeluk Islam

PELANTUN lagu I'm Not For Sale, Stacy dikhabarkan sudah memeluk agama Islam berikutan sekeping foto penyanyi itu bertudung bertebaran di media sosial hari ini.

Penyanyi dikatakan menggunakan nama Islam Ummu Syaikah Stacy Abdullah memeluk Islam di Pejabat Agama Islam Johor Bahru pagi tadi sambil ditemani kedua ibu-bapa Akim serta ibunya.

Sementara itu, memetik laporan portal berita tempatan, Ketua Bahagian Muzik & Bakat Astro, Prakash Swami Nathan berkata, Stacy akan mengadakan sidang media bagi merungkai khabar angin tersebut esok.

"Betul atau tidak cerita yang bertebaran di laman sosial itu, kita sama-sama tunggu jawapannya esok. Biarlah empunya diri yang memperjelaskan segala-galanya.

Sebelum ini Stacy digosipkan bercinta dengan penyanyi Akim Ahmad malah selebriti itu jua dilihat mengenakan pakaian sedondon ketika Aidilfitri lalu

Friday, 21 August 2015

Perdana Menteri Greece letak jawatan

ATHENS - GREECE. Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras mengumumkan peletakan jawatan dan memanggil untuk mengadakan pilihan raya lebih awal.

Alexis memegang jawatan tersebut pada Januari lalu dan berkata beliau bertanggungjawab untuk mengadakan pilihan raya selepas Greece mendapatkan bailout ketiga dari negara Eropah.

Alexis Tsipras membuat pengumuman itu dalam ucapan di televisyen nasional semalam.

"Mandat politik yang diterima pada pilihan raya 25 Januari lalu telah habis hadnya dan kini rakyat Greece mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka.

"Saya mahu menjadi jujur dengan anda. Kami tidak mencapai perjanjian yang kami jangkakan sebelum pilihan raya Januari." katanya dipetik BBC.

Alexis berkata, beliau akan mendapatkan kelulusan rakyat untuk meneruskan program kerajaan itu.

Tarikh pilihan raya masih belum ditetapkan tetapi laporan awal sebelum ini menjangkakan pilihan raya akan diadakan 20 September ini.

Alexis akan mengetuai parti berhaluan kiri Syriza ke dalam pilihan raya, tetapi dilaporkan akan berdepan dengan pemberontakan oleh beberapa ahli berikutan langkah-langkah penjimatan yang dilakukannya. Sinar

Tuesday, 18 August 2015

Belasan Isteri Pemalas

SEORANG wanita di Mexico terpaksa bermalam dipenjara gara-gara enggan mencuci pakaian kotor suaminya.
 
Dulce Requena Garcia, 21, menghabiskan 12 jam di penjara Tampico selepas suaminya, Edgar Ivan Perez Alvardo menghubungi polis kerana menuduhnya mengabaikan tanggungjawab sebagai suri rumah.

Akibatnya, Dulce Raquena dikenakan denda penalti kerana menyebabkan gangguan.

Bagi 'mengajar' si isteri, Alvardo bertindak enggan membayar denda tersebut menyebabkan Dulce Raquena dipenjara.

Semasa perbicaraan di mahkamah, Alvaro memberitahu hakim bahawa dia mahu isterinya di penjara untuk tempoh yang lama supaya insaf dengan perbuatannya yang mengingkari perintah suami. - Daily Mai

Sunday, 16 August 2015

Almy Nadia Diuji Lagi

UMUM mengetahui kontroversi mengenai rumah tangga Almy Nadia dan Fizz Fairuz yang melibatkan pendatang baru industri seni tempatan iaitu Fara Mendoza.

Meskipun berita berkenaan menjadi buah mulut peminat seni namun Almy dilihat cukup tabah berhadapan dengannya.

Jika sebelum berkahwin dia pernah diuji dengan tindakan Fizz Fairuz yang bertunang dengan seorang wanita dari Pahang, kali ini dia diuji dengan dugaan yang lebih besar kerana mereka sudah pun bergelar suami isteri.

Terkesan dengan perkara itu, pelakon Dunia Baru itu telah memuat naik status di laman sosial Instagram miliknya yang mendakwa Fara sengaja mencari publisiti murahan.

Bagaimanapun, beberapa hari selepas peristiwa itu, Almy nampaknya lebih tenang.

Ia terbukti apabila dia turut memuat naik gambar bersama anaknya yang kelihatan sedang berbahagia kini.

Ujarnya menerusi status itu, "assalamualaikum semua.. Selamat petang semua... Jom senyum selalu, happy selalu.. Biarkan gambar bercerita ... Terima kasih semua syukur alhamdulillah," katanya.

Meskipun dilihat agak terbuka menerusi laman sosial, namun Almy bagaimanapun masih belum bersedia untuk mengulas lanjut mengenai kontroversi yang sedang dialaminya itu.

"Saya minta maaf, buat masa sekarang saya tidak boleh memberi apa-apa komen, saya belum bersedia," katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Menyingkap mengenai kontroversi berkenaan, ia tercetus apabila Fara Mendoza bertindak memuat naik 'screen shot' perbualannya bersama Fizz Fairuz di laman sosial We Chat miliknya.

Fizz kemudian bertindak pantas membersihkan namanya dengan tampil membuat kenyataan bahawa dia tidak pernah mengenali Fara.

Tetapi cerita tersebut tidak terhenti di situ apabila Fara kembali membalas mengatakan dia mempunyai bukti bahawa sememangnya perbualan tersebut berlaku antara dia dan Fizz.

Tuesday, 28 July 2015

Kabinet Baru Najib, Tan Sri Muhyiddin digugurkan Sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.


Senarai penuh menteri-menteri yang terlibat dalam rombakan kabinet yang diumumkan sebentar tadi yang berkuatkuasa 29 Julai 2015.

Perdana Menteri - Dato' Sri Najib Razak
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri - Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi
Menteri Luar Bandar - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Menteri MITI - Datuk Seri Mustapa Mohamed
Timbalan Menteri MITI - Datuk Ahmad Maslan
Menteri Pertanian & Industi - Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri - Datuk Azalina Othman Said
Menteri Pendidikan - Datuk Seri Mahdzir Khalid
Menteri KPDNKK - Datuk Hamzah Zainuddin
Menteri Sumber Asli & Alam Sekitar - Datuk Dr Wan Junaidi Wan Othman
Menteri Kerja Raya - Datuk Seri Fadillah Yusof
Menteri Pengajian Tinggi - Datuk Seri Idris Jusoh
Menteri Luar - Datuk Seri Anifah Aman
Timbalan Menteri Luar - Datuk Reezal Merican Naina Merican
Menteri Pengangkutan - Datuk Seri Liow Tiong Lai
Menteri Kesihatan - Datuk Seri S Subramaniam
Menteri Komunikasi & Multimedia - Dato' Seri Mohd Salleh Keruak

Monday, 27 July 2015

Kisah tragis, pengemis tercantik di dunia

CHINA. Mempunyai rupa paras cantik bak ‘supermodel’, namun siapa sangka si gadis yang bernama Han Biyao ini 'bekerja' sebagai pengemis.

Han Biyao merupakan seorang gadis Tionghua, disebut-sebut sebagai pengemis tercantik di dunia.

Di mana sebalik rupa parasnya yang rupawan, ada kisah tragis yang pernah melanda dirinya. 
Memetik laporan Rocket News baru-baru ini melaporkan, bahawa sebelum meninggal ayah Biyao merupakan seorang jutawan.
Sepeninggalan ayahnya menyebabkan ibunya jatuh sakit sehingga tidak mampu bekerja bagi menyara hidup.

Keperitan keluarga Biyao tidak terhenti di situ, apabila dilaporkan bahawa keluarga itu dihimpit dengan hutang hingga mencecah ratusan ribu yuan, hingga hampir memaksa Biyao untuk menjual keperawananya dek kerana untuk melangsaikan hutang tersebut. 

Itulah kehidupan, hidup bagai roda kadangkala di atas kadangkala di bawah, itulah terjadi kepada Biyao di mana dahulu hidupnya dikelilingi dengan harta.

Namun dalam sekelip mata gadis berwajah cantik ini jatuh miskin dan hidup menderita, Biyao mengaku pernah bekerja sebagai seorang pelayan restoran demi menyambung hidup dan merawat ibunya.

Kini, Biyao memilih menggunakan kelebihan suaranya untuk menjadi penyanyi selain masih mengemis di sudut-sudut kota metropolitan Beijing, China.

Friday, 24 July 2015

Misteri 'Tasik Lesap' Terbongkar

BARU-baru ini, geosains telah menyelesaikan misteri sejak lebih 10 tahun lalu tentang bagaimana tasik besar dengan berbilion gelen air yang berada di atas kepingan ais di Greenland boleh hilang sepenuhnya dalam beberapa jam.

Menurut Live Science, pada tahun 2006, North Lake Greenland seluas 5.6 kilomerer persegi, melenyapkan hampir 45 bilion liter dalam tempoh hanya dua jam.

Dalam satu kajian diterbitkan dua tahun kemudian, penyelidik menyimpulkan bahawa fenomena itu mungkin terjadi kerana keretakan hidro di bawah kepingan ais menyebabkan lautan air menjadi kosong.

Menerusi imej satelit, jelas menunjukkan kira-kira 13 peratus daripada air tasik mengalir dengan cepat dan menjadi kosong sepenuhnya dalam tempoh 24 jam.

Dalam kajian pada tahun 2008 yang diketuai Laura Stevens, seorang saintis Woods Hole Oceanographic Institution (WHOI) menunjukkan bahawa keretakan hidro sementara menyebabkan aliran berlaku pada skala besar.

Bagaimanapun, kajian gagal mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan keretakan hidro tersebut.

Tuesday, 14 July 2015

Anoreksia Buat Rachael Bagai Mayat Hidup


HANYA mampu terlantar di atas katil, itulah yang terjadi ke atas Rachael Farrokh, 37, selepas menderita dek kerana 'serangan' anoreksia nervosa ke atas dirinya.
 
Aneroksia nervosa dalam bahasa saintifik bermaksud gangguan pemakanan yang dicirikan oleh kebiasaan menahan makan untuk suatu tempoh diikuti makan berlebihan secara terus menerus. 
 
Dengan hanya mempunyai berat 18 kilogram (kg), Rachael kini bertarung untuk terus hidup kerana kesihatannya saban hari semakin merosot.
 
Menerusi sebuah video YouTube yang dimuat naiknya, Rachael memberitahu bagaimana sengsaranya hidupnya kini.
 
"Saya terlalu kurus, sukar untuk bernafas dan terlalu lemah untuk bergerak.
 
"Suami saya, Rod Edmondson, 41, terpaksa berhenti kerja untuk menjaga saya selama 24 jam sehari. Hospital berhampiran juga tidak mahu merawat saya kerana berat saya terlalu ringan.
 
"Ada sebuah hospital sedia menawarkan saya  perkhidmatannya, namun pihak pengurusan menyatakan harapan saya untuk sembuh adalah tipis‎," katanya dalam video berkenaan.
 
Rachael dalam pada itu merayu kepada orang ramai untuk menderma apa sahaja yang termampu bagi menampung kos kehidupan hariannya.
 
"Saya perlukan bantuan anda, saya menderita disebabkan gangguan makan. Ini adalah serangan anoreksia tahap teruk," ujarnya.
 
Asal wanita sihat dan sempurna
 
Rachael yang pada mulanya bekerja sebagai jurulatih peribadi di gimnasium wanita, merupakan seorang wanita yang cantik, aktif dan sihat.
 
Ujarnya penyakitnya bermula apabila dia mahu menurunkan beberapa kilogram berat badannya bagi mendapatkan berat badan yang lebih ideal.
 
"...tetapi, apabila saya hilang pekerjaan secara tiba-tiba, keadaan menjadi tertekan. Memori lalu menghantui diri, kesannya saya menghidap anoreksia," katanya.
 
Sejak itu dia mengalami gangguan pemakanan yang tidak terkawal, Rachael yang sebelum ini memiliki berat badan sekitar 56 kilogram mula kehilangan berat sehingga mencecah 18 kilogram kini.
 
Dek kerana tidak berupaya melakukan apa-apa kerja, malah untuk berjalan pun dia tidak mampu... Rachael kini hanya mampu berbaring  di atas katil.

Wednesday, 17 June 2015

Satelit Dijangka Jatuh, Mungkin di Malaysia

SHAH ALAM - Sebuah satelit yang dibina oleh Nasa dan Jepun untuk mengesan hujan dijangka akan jatuh ke bumi esok, menurut laman web rasmi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (Nasa).

Satelit yang dinamakan sebagai satelit Misi Mengukur Hujan Tropika (TRMM) yang dibina oleh Nasa dan Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) untuk mengukur jumlah hujan di bumi itu sekarang berada 100 kilometer daripada bumi.

Menurut laman web rasmi Nasa, Amerika Syarikat Space Surveillance Network, yang dikendalikan oleh jabatan angkasa yang beroperasi bersama Pertahanan AS, pihaknya memantau kedudukan TRMM sejak misi itu berakhir pada bulan April lalu.

“Kebanyakan satelit dan kapal angkasa yang memasuki atmosfera bumi akan terbakar, dan ia tidak boleh dikawal,

“Pusat Operasi Angkasa Lepas akan mengeluarkan ramalan berkala tarikh kemasukannya, namun lokasi sebenar kawasan kejatuhannya tidak dapat diramalkan,  TRMM hanya akan jatuh ke kawasan tropika antara 35 darjah Utara dan latitud 35 darjah latitud Selatan,” petik kenyataan rasmi Nasa.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr Noordin Ahmad berkata, Nasa akan memberi maklumat setiap tiga jam kepada seluruh agensi angkasa dunia termasuk Malaysia untuk memaklumkan mengenai perkara ini.

“Pihak Nasa akan sentiasa mengemaskini maklumat mereka setiap tiga jam, kerana sekarang pihak Nasa sendiri tidak pasti keberadaannya.

“Kalau ikut rekod selama ini tidak pernah berlaku di mana manusia terkena pada bahan-bahan serpihan-serpihan ini sepanjang sejarah satelit masuk kedalam bumi ini , kalau ikut Nasa peratusan itu hanya dua peratus, kerana kebanyakkannya akan jatuh kedalam laut.

“Oleh itu rakyat Malaysia tidak perlu panik, tidak ada yang pernah berlaku terkena pada serpihan tak pernah lagi!... rekod terdahulu satelit yang  jatuh dekat dengan Malaysia adalah di utara Lautan Hindi, Australia kawasan itu berhampiran Malaysia dan Indonesia," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, jika satelit itu terbakar ia tidak boleh dikawal lagi.

“Satelit itu dilancarkan pada 35 darjah ini dikira sebagai kawasan tropikalah, termasuk Malaysia selatan Jepun sampai ke Australia 35 darjah lah, bila ia masuk kawasan bumi ini ia akan terbakar, apabila ia terbakar tak ada orang boleh kawal… tetapi ada sebahagian daripada satelit itu tidak terbakar terutama yang dibuat daripada titanium.

“Titanium ini besi yang lebih keras daripada besi... ia tidak terbakar, kalau ikut pemantauan, tidak banyak negara yang boleh pantau ia kerana ia perlukan radar yang canggih dan kuat untuk tembak ke udara bagi mendapatkan lokasi yang sebenarnya… saya rasa negara Amerika Syarikat yang punyai teknologi itu, Amerika yang dapat lihat kedudukan ia  sekarang.

“Agensi Angkasa kita boleh berhubung dengan mereka untuk dapatkan maklumat dan mereka akan maklumkanlah bila ia masuk ke bumi .

“Kita akan uar-uarkan maklumat dari semasa ke semasa, oleh itu rakyat Malaysia jangan panik cuma perlu ambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

TRMM yang berusia 17 tahun mempunyai berat hampir 3 tan, dilancarkan dari Tanegashima, Jepun pada 27 November 1997 bagi misi yang dirancang hampir  tiga tahun. Ia ditutup pada 15 April tahun ini. Sinar

65 Juta Bayi Kembar Dibunuh sejak 1978? Sedih...

CHINA. 'Dasar satu anak, satu keluarga' di China sejak 1978 telah menyebabkan hampir 65 juta bayi kembar telah dibunuh dan 1.5 juta bayi perempuan dibuang setiap tahun di negara itu.

Dasar ini diperkenalkan oleh Presiden Deng Xiaoping pada 1978 untuk mengurangkan masalah sosial, ekonomi, dan alam sekitar China. Dasar ini bertentangan dengan dasar Mao Zedong pada 1949 bahawa 'dalam semua benda di dunia, manusia adalah paling utama'. Lebih besar penduduk, bermakna lebih banyak tenaga kerja.

Pada November 2013, kerajaan China mengumumkan yang dasar rasmi itu akan dilonggarkan bagi membenarkan pasangan memiliki dua anak jika salah seorang daripada mereka ialah anak tunggal.


KISAH YANG MENGEJUTKAN

Pada tahun 1997, ketika seorang jurugambar dari Amerika Syarikat, Jeff Abelin bersama-sama beberapa orang rakannya mendaki sebuah gunung di Wilayah Fuyang China, mereka terjumpa suatu bungkusan kain yang agak besar di kawasan lereng gunung tersebut.

Sangkaan awal mereka kain itu adalah peninggalan pendaki terdahulu, namun setelah diteliti, rupa-rupaya bungkusan kain putih itu mengandungi bayi perempuan yang masih bernyawa.

Lantas tanpa berlengah, Jeff serta rakan-rakannya membawa bayi berkenaan ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Namun apa yang mengejutkan, pegawai perubatan di hospital itu memaklumkan bahawa bayi itu sepatutnya ditinggalkan di sana dan tidak perlu diberi rawatan.

Keenganan pegawai perubatan berkenaan merawat bayi itu mengecewakan Jeff. Dia kemudian membawa semula bayi itu ke lereng bukit berkenaan kerana tidak tahu ke mana hendak meletakkan bayi tersebut.

Berat hati memikirkan tentang bayi itu, Jeff kembali semula ke lokasi itu beberapa hari kemudian namun kali ini dia dikejutkan dengan lebih ramai bayi diletakkan di tempat sama.


MALANG BAGI SIBAYI

Selang beberapa hari, bayi perempuan yang ditemui Jeff meninggal dunia kerana masalah radang dan komplikasi hati.

Bagi menzahirkan kesedihannya, Jeff telah mengambil sekeping foto bagi menceritakan betapa kejamnya dasar tersebut dan menjadi saksi bisu kes pembuangan bayi oleh pasangan di China kerana dasar 'satu anak satu keluarga'.

Gambar tersebut tidak pernah memenangi sebarang anugerah namun ia tersenarai antara 100 gambar yang mampu menggegarkan dunia.

Selepas tersebarnya gambar itu, para aktivis hak asasi manusia dengan lantangnya mengkritik kerajaan China atas pelaksanaan dasar kejam tersebut.


KESAN DASAR

Kerajaan China menganggap dasar itu sebagai kejayaan besar untuk mengatasi masalah kependudukan seperti kemiskinan, kelaparan, kebuluran, kesihatan, kadar celik huruf dan pelbagai masalah sosial lain.

Presiden AS George W. Bush menggunakan alasan hak asasi manusia untuk menghentikan AS$40 juta bayaran kepada UNFPA (China) pada awal tahun 2002.


NEGARA CHINA

Republik Rakyat China (RRC), China merupakan sebuah negara di Asia Timur yang merupakan negara paling ramai penduduknya di dunia dengan diduduki lebih 1,300 juta orang, iaitu kira-kira satu perlima manusia di bumi. China diperintah oleh Parti Komunis China di bawah sistem satu parti.

Pada keluasan kira-kira 9.6 juta kilometer persegi (3.7 juta batu persegi), RRC ialah negara ketiga atau keempat terluas di dunia dari segi keluasan keseluruhan dan negara kedua terbesar dari segi keluasan daratan.

Ia juga merupakan sebuah negara yang kuat dari segi ketenteraan dan ekonomi. KOSMO

Wednesday, 10 June 2015

Nasa Nafi Dunia Berakhir Pada September

PENTADBIRAN Aeronautik dan Angkasa Lepas (Nasa) mengeluarkan penafian selepas sebuah khabar angin yang tersebar secara meluas di dunia maya mengenai sebuah asteroid didakwa akan melanggar planet bumi pada bulan September tahun ini.

"Tiada sebarang komet atau asteroid yang berada dalam laluan pelanggaran (collision course) dengan bumi, jadi kemungkinan berlaku pelanggaran adalah sangat kecil," kata jurucakap Nasa, awal minggu ini.

"Faktanya, tiada sebarang objek akan berlanggar dengan bumi untuk masa beberapa ratus tahun akan datang," lapor Dailymail.

Khabar angin tersebut yang dikongsi secara meluas mengatakan satu asteroid akan menghempas bumi di Puerto Rico, mengakibatkan gempa bumi dan tsunami.

Kesan hempasan tersebut dikatakan akan menghancurkan Amerika Syarikat (AS), Mexico, Afrika Tengah dan Afrika Selatan.

Khabar angin tersebut dikatakan dimulakan oleh Rev Efrain Rodriguez yang mengatakan beliau seorang nabi dan mendapat khabar tersebut dari Tuhan.

Sunday, 31 May 2015

Tambah anak: Menteri dicabar hidup bergaji RM900

SHAH ALAM – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim dicabar supaya menjalani kehidupan biasa dengan gaji minima sebanyak RM900 untuk tempoh 30 hari.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, ia bagi merasai sendiri peritnya beban dan tekanan hidup yang terpaksa ditanggung oleh wanita bekerja yang berpendapatan minima dalam masa yang sama menanggung perbelanjaan dapur dan keperluan harian.

“Beliau (Rohani) pasti tidak pernah menikmati kesusahan dengan makan gaji. Kami ingin cabar beliau untuk hidup 30 hari sebagai seorang wanita yang memperoleh gaji minimum RM900 bersama-sama keluarganya.

“Kemudian setelah 30 hari berakhir, kami mahu beliau buat keputusan sama ada relevankah untuk mempunyai lebih ramai anak apabila kos kehidupan yang semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zuraida, setiap keluarga perlu memiliki kestabilan dari segi kewangan sebelum bersedia menerima tanggungjawab tambahan.

Menurutnya lagi, ia juga bagi mengelakkan timbulnya masalah yang tidak diingini dalam jangka masa panjang.

“Ia adalah satu fakta bahawa kadar kelahiran semakin berkurangan. Tetapi dalam pada masa yang sama, kualiti kehidupan harus juga dipertingkatkan.

 “… Daripada memberi nasihat “tidak perlu terlalu tumpu pada kualiti hidup”, kerajaan perlu mengambil tanggungjawab untuk memastikan tahap kualiti kehidupan di Malaysia harus menjadi lebih baik,” katanya lagi.

Rohani ketika menjawab soalan daripada pertanyaan lisan di persidangan Dewan Rakyat di Parlimen awal minggu ini menyatakan bahawa kerajaan menggalakkan pasangan berkahwin di negara ini menambah bilangan anak bagi menyokong peningkatan populasi negara.

Menurutnya, kebanyakan keluarga didapati memiliki dua anak dan perkara itu dipengaruhi banyak faktor termasuk masalah lewat berkahwin dan kesuburan.

Kata Rohani lagi , keluarga yang ideal diunjurkan mempunyai antara tiga hingga empat anak, sehubungan itu, pelbagai usaha dan galakan dilakukan kerajaan bagi menggalakkan pasangan berkahwin mempunyai anak yang ramai. Sinar

Monday, 25 May 2015

Dr Mahathir sedih, dakwa terpaksa akui PM berbohong

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kesedihannya apabila terpaksa mengakui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbohong dalam kes wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Melalui catatan terbaharu di blognya, hari ini, Dr Mahathir menyenaraikan dua pembohongan yang didakwanya dilakukan oleh Najib.

“Amatlah menyedihkan apabila saya dapati saya tidak dapat elak daripada kenyataan bahawa Perdana Menteri berbohong. Dalam kes wang 1MDB yang dikatakan telah dibawa balik dari Pulau Cayman dan disimpan dalam bank BSI Singapura, jawapan bertulis oleh Perdana Menteri kepada soalan Parlimen tidak menepati kebenaran sama sekali.

“Pembohongan yang pertama ialah tidak ada wang tunai 1MDB yang dibawa balik. Kedua, tidak ada wang tunai yang dimasukkan ke dalam bank BSI di Singapura.

“Ini jelas dari pindaan kepada jawapan yang pertama, iaitu bukan wang tunai berjumlah USD 1.103 billion (RM3.6 billion), dimasukkan dalam bank BSI tetapi dokumen (surat pengakuan) yang disimpan dengan bank. Apa dia nya surat ini tidak dijelas tetapi yang jelas ialah ia bukan wang tunai,” katanya.

Rabu lalu, Najib melalui jawapan bertulis di Parlimen menjelaskan baki pelaburan 1MDB yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority sebanyak AS$1.1 (RM4.022) bilion ditebus dalam bentuk aset dan bukannya wang tunai.

Menurut Najib, penjelasan itu merupakan pindaan kepada jawapan kerajaan sebelum ini bahawa baki dana pelaburan 1MDB ditebus dalam bentuk wang tunai.

Menyentuh bank BSI, Dr Mahathir membangkitkan soal laporan yang dibuat bank tersebut kepada Penguasa Kewangan Singapura (MAS)

“Bank BSI telah menyatakan selepas itu bahawa dokumen yang menyatakan simpanan dibuat oleh anak syarikat 1MDB, Brazen Sky adalah palsu dan bukan daripadanya. Maka jelaslah kenyataan bertulis yang kedua oleh Najib kepada Parlimen bahawa yang disimpan adalah dokumen juga tidak benar.

“BSI bank telah lapor kepada MAS bahawa tidak ada wang 1MDB yang disimpan dengannya. Pada kebiasaannya MAS melapor maklumat ini kepada Bank Negara.

"Ini jelas daripada pengakuan bahawa kononnya laporan ini tertakluk kepada protokol kerahsiaan antarabangsa (Egmont principles of information exchange) dan kehendak kerahsiaan di bawah seksyen 10 AMLA. Dari kenyataan ini adalah jelas bahawa Bank Negara telah terima laporan Monetary Authority Singapore.

“Tujuan merahsiakan tentulah kerana ada sesuatu yang tidak kena atau pembohongan yang telah dilakukan apabila Najib menjawab soalan bahawa wang tunai telah disimpan dengan bank BSI di Singapura,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, perbuatan menyembunyikan kesalahan dalam urusan kerajaan adalah salah di sisi undang-undang malah beliau berkata, wujud unsur jenayah yang memerlukan siasatan dan jika wang itu tidak juga dapat dikesan maka proses undang-undang hendaklah diambil terhadap semua pihak yang terlibat.

“Adalah jelas bahawa dalam kes wang tunai yang didakwa oleh Perdana Menteri dan pegawai-pegawai kerajaan, Bank Negara dan 1MDB telah dibawa balik dari Pulau Caymans dan disimpan di bank BSI di Singapura serta pindaan kepada jawapan pertama bahawa bukan wang tunai yang dibawa balik dan disimpan di Singapura, tetapi dokumen, kesemuanya tidak benar.

"Mereka yang membuat laporan yang salah ini telah melanggar undang-undang jenayah Seksyen 218,” katanya. Sinar

Menyamar pelarian Rohingya

MYANMAR. Ketua Tentera Myanmar mendakwa segelintir pelarian yang kini mendapatkan perlindungan di Malaysia dan Indonesia dipercayai berpura-pura menjadi penduduk Rohingya.

Menurut laporan AFP, "Kebanyakan daripada mereka adalah pelarian dari Bangladesh. Mereka sanggup menyamar sebagai pelarian Rohingya kerana mahu mendapat bantuan daripada Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)," kata Jeneral Min Aung Hlaing.

Menurutnya lagi, pihak terlibat perlu menyiasat identiti dan negara asal kumpulan pelarian terbabit sebelum menuding jari ke arah Myanmar yang kini berdepan kritikan masyarakat antarabangsa kerana didakwa gagal memberi perlindungan kepada etnik Rohingya.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia dan Indonesia mengesahkan sebuah pusat perlindungan sementara akan diwujudkan untuk menempatkan kumpulan pelarian terbabit.

Rabu lalu, kerajaan Gambia menawarkan untuk memberi perlindungan kepada kesemua pelarian Rohingya sebagai usaha untuk meringankan penderitaan penduduk Islam terbabit.

Negara miskin di Afrika Barat itu turut bersedia untuk mewujudkan kem pelarian khas untuk kumpulan pelarian tersebut, namun ia hanya boleh direalisasikan jika mendapat sokongan dan bantuan daripada masyarakat antarabangsa.  Sinar Harian

Thursday, 21 May 2015

Padah curi wang mangsa MH370


KUALA LUMPUR – Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas empat pertuduhan mencuri wang berjumlah RM7,650 milik seorang mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia MH370 tahun lalu.

Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas mahkamah menolak permohonan tertuduh, Basheer Ahmad Maula Sahul Hameed, 34, untuk menukar pengakuan kepada tidak bersalah minggu lalu.
Pada 28 April lalu, tertuduh dan iste­rinya telah mengaku bersalah tetapi cuba menukar pengakuan pada 15 Mei lalu namun ditolak mahkamah.

Isteri Basheer yang merupakan pegawai HSBC Leboh Ampang di sini, Nur Shila Kanan, 34, tidak hadir di mahkamah semalam kerana mendakwa mengalami cirit-birit.
Bagaimanapun, mahkamah yang tidak berpuas hati dengan sijil sakit yang dikemukakan mengeluarkan waran tangkap ke atasnya. Hukuman ke atas Nur Shila dijangka diputuskan hari ini.

Mengikut pertuduhan, Basheer didakwa mencuri wang daripada akaun bank milik penumpang warga China, Tian Jun Wei, 29, dengan menggunakan kad debit mangsa di mesin pengeluaran automatik HSBC Amanah cawangan Ampang Point pada pukul 10.02 pagi, 15 Mei 2014 dan pukul 11.28 malam 29 Jun 2014.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. kosmo

433 pendatang Rohingya diselamatkan di Aceh


BANDA ACEH – Seramai 433 pendatang asing Rohingya dari Myammar diselamatkan oleh nelayan tempatan di luar pantai Aceh awal pagi semalam, menurut kenyataan pegawai penyelamat dan kumpulan nelayan.

Menurut jurucakap agensi pencari dan penyelamat, Khairul Nova, kumpulan pertama seramai 102 orang dibawa ke pantai sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) dan dihantar ke sebuah perkampungan di timur daerah Aceh. Kumpulan kedua dibawa ke pelabuhan di timur Aceh beberapa jam kemudian.
Seorang pegawai penyelamat, Sadikin memberitahu, pecahan pendatang asing itu adalah 70 kanak-kanak dan bayi, 70 wanita dan 293 lelaki yang menaiki sebuah bot.

Wakil AFP mengesahkan bot kayu warna hijau dinaiki pendatang asing itu adalah bot yang hilang sejak beberapa hari selepas diusir dari perairan Thailand.

“Bot tersebut terapung, enjin telah rosak menyebabkan nelayan berasa kasihan kepada mereka. Kebanyakan daripada mereka kelihatan sakit, mengalami dehidrasi seperti kekurangan air dan makanan ketika berada di laut,” ujar Sadikin.

Tambahnya, para nelayan menghulurkan bantuan kepada mereka berupa makanan, air dan tempat tinggal.
Seorang nelayan, Teuku Nyak Idrus yang terlibat dalam usaha mencari memberitahu, ramai mangsa berada dalam keadaan sangat tenat.
“Ramai yang jatuh sakit dan mendakwa beberapa orang rakan mereka mati akibat kelaparan,” ujarnya kepada AFP.

Usaha menyelamat dilakukan selepas menteri luar dari Malaysia, Thailand dan Indonesia bermesyuarat di Kuala Lumpur bagi membincangkan krisis bot pendatang asing di Asia Tenggara.

Seramai 1,350 pendatang Rohingya Islam dari Myammar yang melarikan diri daripada penganiayaan kaum dan pendatang dari Bangladesh yang cuba keluar dari kemiskinan tiba di Aceh sejak beberapa hari selepas ditinggalkan oleh penyeludup pemerdagangan manusia.

Mereka adalah sebahagian daripada ribuan pendatang asing yang berjaya tiba ke Indonesia, Malaysia dan Thailand selepas ditipu oleh penyeludup akibat gangguan di laluan biasa pemerdagangan manusia. – AFP

Tuesday, 28 April 2015

Gempa Bumi Nepal: Upacara Pembakaran Mayat Dilakukan

KORBAN gempa bumi kuat 7.9 skala Richter di Nepal meningkat kepada 3,218 orang manakala 6,538 dilaporkan cedera.

Ketua pasukan pengurusan bencana kebangsaan, Rameshwor Dangal, berkata mangsa korban turut membabitkan negara jiran, India dan China.

Sementara itu, upacara pembakaran mayat mula dilakukan oleh waris dan penduduk terjejas.

Petang semalam, satu lagi gempa kuat berukuran 6.5 skala Richter melanda negara itu.

Ribuan mangsa termasuk pesakit di hospital, kini,  terpaksa tinggal di jalan dan tempat terbuka kerana tiada tempat berlindung kerana kebimbangan gempa susulan. Sinar

Monday, 27 April 2015

Berebut Tengok Bayi Empat Tangan

DUMRI ISRI - INDIA. Beribu-ribu penganut agama hindu membanjiri sebuah perkampungan di sini untuk melihat seorang bayi lelaki yang dilahirkan dengan empat kaki dan empat tangan.

Penduduk di sekitar bandar kecil Dumri-Isri menyambut kedatangan bayi berkenaan kerana mereka menganggap dia adalah penjelmaan kepada tuhan mereka.

Kuntalesh Pandey memberitahu media tempatan, dia sanggup menjelajah 72 kilometer semata-mata mahu melihat bayi berkenaan.

"Apabila seorang rakan menghantar gambar berkenaan, saya menyangka ia hanyalah rekaan namun selepas mengetahui ia adalah benar, saya terus ingin melihat bayi berkenaan", katanya dipetik Mirror.uk.

Keadaan ibu bayi berkenaan, Ureda Khatun masih tidak diketahui.

Bayi ini bukanlah bayi yang pertama disanjung seperti tuhan di India, tahun lepas, kanak-kanak lelaki yang dilahirkan mempunyai ekor sepanjang 7 inci juga turut disanjung.

Saturday, 25 April 2015

Gempa Bumi Kuat Melanda Nepal

Gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada slaka Richter berlaku di Nepal pada pukul 2.45 petang hari ini waktu Malaysia.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan disini hari ini berkata, gempa bumi itu berpusat 482 kilometer Tenggara dari Shyampur, Bangdadesh dan 2,903 Barat Laut dari Padang Besar, Perlis.

Tiada ancaman Tsunami dan jabatan itu sedang memantau perkembangan terkini . - Bernama

Thursday, 2 April 2015

Gambar kanak-kanak kena ‘tembak’ jadi viral

Memetik laporan BBC, gambar yang di ambil pada tahun 2014 tersebut, menjadi perhatian pengguna-pengguna laman sosial selepas dikongsi dilaman mikro Twitter oleh Nadia Abu Shaban, jurufoto yang berpangkalan di Gaza.

Gambar tersebut diambil oleh seorang jurufoto Turki, Osman Sagırlı yang kini bekerja di Tanzania.

Menurut Osman, kanak-kanak tersebut menyangka kameranya adalah senjata yang mahu menembaknya.

"Saya tahu, dia takut selepas saya mengambil gambarnya dan jika dilihat gambar tersebut dia mengetap bibirnya sambil mengangkat tangannya jelas menunjukkan dia ketakutan.

"Kebiasaannya kanak-kanak akan lari, menyembunyikan muka mereka atau senyum apabila mereka melihat kamera," katanya.

Kanak-kanak itu bukanlah seorang budak lelaki, tetapi seorang kanak-kanak perempuan yang berusia empat tahun, Hudea.

Hudea mengembara ke kem-kem pelarian kira-kira 10km dari sempadan Turki dengan ibunya dan dua adik-beradik iaitu kira-kira 150 km dari rumah mereka di Hama.

Gambar tersebut diambil di kem pelarian Atmeh di Syria, pada Disember tahun lepas.

Tambah Osman lagi, gambar tersebut menunjukkan ketakutan dan penderitaan yang dialami oleh kanak-kanak pelarian.

"Ia mencerminkan kesengsaraan yang dihadapi oleh kanak-kanak yang tidak bersalah," katanya.

Gambar mula-mula diterbitkan dalam akhbar Türkiye pada Januari lalu, di mana Osman telah bekerja selama 25 tahun sebagai  jurufoto yang melaporkan mengenai peperangan dan bencana alam di luar negara.

Ia kini mula  menjadi viral di seluruh dunia terutamanya di negara-negara Barat sejak minggu lepas.
GAMBAR seorang kanak-kanak yang mengangkat tangan menyerah kerana menyangka dirinya akan ditembak mengundang simpati pengguna media sosial baru-baru ini. Apa cerita di sebalik gambar kanak-kanak ini?

Tuesday, 31 March 2015

Kelilingi Dunia Mencari Ibu

SEORANG gadis, Poppy Royal dari Oxfordshire, England menyedari dia adalah anak angkat kerana dia berdarah Tamil sedangkan ibu bapa yang membesarkannya adalah pasangan Inggeris.

Didorong keinginan yang tinggi, Poppy, 21, mengambil keputusan untuk mencari ibu kandungnya.

"Saya diambil sebagai anak angkat sejak berusia lima minggu. Ibu dan ayah merahsiakan perkara ini dari pengetahuan saya.

"Tapi selepas beberapa tahun, keinginan untuk berjumpa dengan ibu kandung semakin tinggi.

"Nasib baik mereka faham dan akhirnya membuka rahsia yang selama ini disimpan rapi," katanya.

Poppy menjelaskan, ibu bapa angkatnya iaitu Cliff (68) dan Jenny (58) memberitahu dia sebenarnya diambil ketika masih bayi dari sebuah keluarga miskin di Sri Lanka.

Bertindak atas maklumat itu, Poppy bersama seorang rakan terbang ke Sri Lanka pada 2013 untuk mencari ibunya.

"Maklumat yang ada tidak banyak. Saya hanya diberitahu nama ladang teh di mana ibu kandung saya bekerja dan namanya Kalinga. Itu sahaja," katanya.

Tuah bagaimanapun menyebelahi Poppy apabila seorang pekerja hotel di Colombo mengetahui lokasi ladang teh tersebut dan ibu kandungnya masih bekerja di situ. - Mirror

Monday, 30 March 2015

Lagu Sakitnya tuh disini' memang fenomena

KEHEBATAN pengaruh lagu 'Sakitnya tuh disini' bak lagu 'Oppa Gangnam style', meninggalkan legasi adaptasi dan parodi oleh mereka yang mempunyai banyak masa lapang.
Antara adaptasi yang menarik perhatian sebahagian besar pelayar adalah 'Sakitnya tuh disini' versi kadet polis dalam bentuk video yang dimuatnaik ke laman sosial.
Dalam video berdurasi 1 minit dan 48 saat berkenaan, sekumpulan kadet polis difahamkan melakukan persembahan senam seni atau senamrobik dengan menggunakan lagu popular tersebut sebagai penggerak rentak.
Dekat 300,000 pelayar Facebook menonton video ini dan 7,000 daripadanya berkongsi video tersebut dengan rakan-rakan mereka di laman sosial. 
Adaptasi lagu 'Sakitnya tuh di sini' termasuklah versi Chipmunk, Korea, tema kru penerbangan dan lain-lain.
'Sakitnya tuh di sini' merupakan hasil nyanyian artis Indonesia, Cita Citata.

Pesawat Air Canada Terbabas Langgar Tiang Elektrik

Pesawat Air Canada yang membawa 135 penumpang dan lima anak kapal dilaporkan terbabas sewaktu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Halifax Stanfield di Nova Scotia, kata jurucakap lapangan terbang, Peter Spurway.

Memetik laporan CNN, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu dan pesawat  penerbangan 624 dari Toronto itu dikatakan berada dalam keadaan yang agak teruk.



Salji tebal dilaporkan ketika kejadian namun Spurway berkata masih belum jelas sama ada cuaca itu menjadi punca kemalangan.

Susulan kejadian itu, lapangan terbang tersebut bergelap akibat terputus bekalan elektrik namun pihak Nova Scotia Power kemudiannya memaklumkan bahawa bekalan elektrik telah dikembalikan.
Namun, menurut kenyataan Air Canada, 23 penumpang telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Sunday, 11 January 2015

Pesawat QZ8501: 48 Jenazah Telah ditemui


SURABAYA - INDONESIA. Setakat hari ini, Agensi Mencari dan Menyelamat SAR Nasional Republik Indonesia (Basarnas) mengesahkan telah menemui sejumlah 48 jenazah pesawat QZ8501.
Daripada jumlah itu, 27 jenazah telah dikenal pasti Jabatan Pengenalpasti Mangsa Bencana Polis Republik Indonesia (DVI POLRI)  dan 21 jenazah masih lagi sedang dikenal pasti.

Oleh itu, misi mencari dan menyelamat akan diteruskan lagi, bagi menemui  lebih banyak jenazah dan serpihan pesawat QZ 8501 dari dasar laut.

“SAR yang diketuai oleh Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Republik Indonesia (Basarnas) diteruskan hari ini dengan keadaan cuaca yang lebih baik dan jarak penglihatan yang jelas bagi para penyelam.

“Penyelam telah dikerahkan bagi meletak beg terapung pada bahagian ekor pesawat bagi mengeluarkannya dari dasar laut,” katanya dalam satu kenyatan dari Air Asia hari ini.
Sementara itu, Basarnas juga menjamin pencarian penumpang masih menjadi keutamaan dan pencarian kotak hitam juga sedang diusahakan.

“Barangan penumpang yang ditemui di kawasan pencarian pula telah disimpan di tempat yang selamat di pusat krisis Ibu Pejabat Polis Wilayah Jawa Timur, Surabaya.

“AirAsia Indonesia akan menyimpan barangan yang telah ditemui semasa operasi SAR dan dipulangkan pada ahli keluarga terdekat melalui proses saringan yang ketat,” jelas kenyataan tersebut.

Sinar

Friday, 2 January 2015

Tujuh Remaja Dicekup di Hotel

ALOR SETAR - Perkenalan di aplikasi sosial WeChat membawa kepada pertemuan sulit sekumpulan remaja di sebuah hotel pada malam tahun baharu, semalam.

Tujuh remaja berkenaan bagaimanapun dapat dicekup 33 penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) ketika Operasi Tahun Baharu bermula 12 tengah malam sehingga 5 pagi di sekitar bandaraya Alor Setar, dekat sini.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, tujuh remaja berusia antara 16 hingga 18 tahun itu dipercayai menyewa sebuah bilik hotel sama.

Difahamkan, mereka juga  membawa tilam tambahan dipercayai untuk tujuan maksiat.

Menurutnya, empat daripada mereka adalah lelaki manakala selebihnya wanita.

"Hasil soal siasat mendapati sebilangan mereka memiliki rekod buruk.

"Salah seorang daripada mereka merupakan bekas penghuni pusat pemulihan akhlak. Dia yang berusia 17 tahun mendakwa sudah bekerja di sebuah pusat snuker dan telah dibuang keluarga," katanya.

Syeikh Mohd berkata, ada di antara mereka sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan dua daripada mereka didapati sudah tidak bersekolah.

"Seorang remaja perempuan pula mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan lelaki bukan Islam.

"Ada juga yang mengakui sudah melakukan hubungan seks sebanyak berbelas kali," katanya.

Dalam kejadian berasingan, dua remaja perempuan turut ditahan bersama seorang remaja lelaki yang sedang tidur dalam serbuan di sebuah hotel.

Ketika diserbu, seorang remaja perempuan mendakwa berkongsi bilik beramai-ramai dan tidak melakukan sebarang kesalahan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 9 (1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 1988, manakala remaja berkenaan dilepaskan dengan jaminan.
Sinar.

Thursday, 1 January 2015

Budak 24 Bulan Tertembak Ibu Sendiri

LOS ANGELES - AMERIKA SYARIKAT. Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Amerika Syarikat (AS) tertembak ibunya secara tidak sengaja hingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Tragedi itu berlaku di kedai Walmart di Hayden, Idaho, di mana wanita terbabit, Veronica Rutledge, 29, sedang membeli belah bersama keluarganya.

"Budak yang diletakkan di dalam troli itu dipercayai mengambil pistol tersebut dari beg ibunya sebelum melepaskan tembakan secara tidak sengaja terhadap ibunya," kata Syerif daerah Kootenai, Ben Wolfinger.

Sementara itu, jurucakap Walmart memaklumkan mereka sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa yang sedang melakukan siasatan terhadap insiden tembakan terbaharu tersebut.

Difahamkan, bantuan psikologi turut dihantar untuk membantu kakitangan Walmart yang mungkin mengalami trauma akibat kejadian terbabit.

Hasil tinjauan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati kira-kira 300 juta penduduk di AS memiliki senjata api atas pelbagai sebab termasuk perlindungan diri dalam laporan AFP.
Gambar Veronica Rutledge dan anaknya

Klik Untuk Saya k... :)

free counters