Jom Buat Duit

Monday, 24 March 2014

Imej satelit China mungkin sayap pesawat

PERTH - Sebuah objek besar yang dikesan sebuah satelit China pada 18 Mac lalu di selatan Lautan Hindi mungkin sebuah sayap pesawat penerbangan, kata seorang felow dari Universiti Kebangsaan Australia, John Blaxland.

Blaxland yang bertugas di Pusat Kajian Pertahanan dan Strategik di universiti berkenaan menyatakan objek tersebut berukuran 22.5 meter panjang dan 12 meter adalah menyamai panjang satu sayap Boeing 777.
Pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang itu merupakan model Boeing 777-200ER.

Ketika ditanya sama ada objek yang dikesan sebuah satelit milik China itu mungkin sama dengan objek yang dikesan sebuah lagi satelit, Blaxland berkata, ia kelihatan objek yang berbeza.
"Ia kelihatan sama. Namun, jika ukuran itu adalah betul, objek (dikesan satelit China) mungkin lebih lebar," katanya ketika diwawancara agensi berita Xinhua kelmarin.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) sebelum ini mengeluarkan gambar satelit yang menunjukkan objek sepanjang 24 meter panjang pada 16 Mac lalu yang dianggap sebagai petunjuk terbaik untuk mencari pesawat MAS yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Kerajaan China mengeluarkan satu gambar yang dikesan menerusi satelit pada 18 Mac lalu.
Objek itu terletak 120 kilometer ke barat objek yang dikesan oleh sebuah satelit yang terlibat dalam misi mencari yang diselaraskan Australia.

Menurut Blaxland, dua objek itu kemungkinan tidak sama kerana arus Lautan Hindi bergerak dari barat ke
timur.

Namun, dia kemudian menghantar e-mel kepada agensi berita Xinhua dengan menyatakan, gambar imej terbaharu tersebut bukan berada di barat tetapi di kawasan selatan pencarian kapal terbang MH370 yang kini dilakukan beberapa buah pesawat.

Pesawat MAS itu hilang sejak 8 Mac lalu ketika ia dalam penerbangan ke Beijing, China.
Sebanyak 227 dan 12 anak kapal menaiki pesawat itu yang hilang ketika ia perlu melaporkan kedudukannya kepada menara kawalan di Vietnam. - Agensi

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)