Jom Buat Duit

Sunday, 1 July 2012

Lima tahun jadi tebusan ibu tiri


MOHD. KHAIRUN memeluk Nurmasyita Amiera (kiri) dan Nurul Safiza sambil
diperhatikan oleh Nordi dan Muhammad Nurhan (kanan) di KLIA, Sepang semalam. 
 

SEPANG - "Kami hanya diberi makanan dua senduk nasi sehari, dipaksa masuk ke hutan dari pagi hingga ke petang dan mencari hasil hutan untuk dijual sebelum duit jualan dibahagikan kepada ibu tiri kami.
"Kalau kami buat salah walaupun kecil, kami akan dipukul," kata seorang daripada tiga kanak-kanak rakyat Malaysia yang 'diselamatkan' Pemuda UMNO selepas hidup bersama ibu tiri mereka di Lampung, Sumatera untuk dijadikan tebusan bagi memeras ugut bapa kandung tiga beradik itu.
Nurul Safiza Fitri, 11, anak kedua daripada empat adik-beradik itu mengadu, sejak tinggal dengan ibu tiri, Kasini Kaslam, 25, mereka dipaksa bekerja dan selalu dipukul walaupun atas kesalahan kecil, selain tidak dibenarkan bersekolah.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Mohd. Khairun Aseh berkata, kejayaan misi membawa pulang Nurul Safiza serta dua adiknya, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurmasyita Amiera, 8, adalah berkat kerja keras kakitangan biro itu yang bertolak ke Lampung pada 26 Jun lalu.
Bagaimanapun, kakak mereka, Siti Norzana, 12, gagal dibawa pulang kerana tinggal dengan saudara Kasini di Temusuci, Jawa Timur.

"Walaupun pelbagai halangan yang perlu ditempuhi pegawai kami dalam misi membawa pulang tiga beradik itu di sana, termasuk memandu hampir tujuh jam, namun itu tidak mematahkan semangat mereka untuk mengeluarkan adik-beradik itu daripada kehidupan yang daif di sana.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kedutaan kita di Indonesia dan pihak berkuasa republik itu kerana telah membantu dalam proses membawa pulang kanak-kanak itu," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan tiga beradik itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Mohd. Khairun berkata, rentetan masalah itu bermula apabila ibu kandung kanak-kanak terbabit, Mohaina Asmad, 34, yang berasal dari Sabah, meninggalkan mereka dan suaminya, Nordi Adi, 57, pada 2005.
Nordi kemudian berkahwin dengan Kasini yang kerap membantunya dalam menguruskan perniagaan baja pertanian semasa di Pontian, Johor pada tahun 2007.
Dia kemudian membawa keempat-empat anaknya itu berhijrah ke Lampung, Sumatera untuk memulakan hidup baharu bersama keluarga Kasini di Lampung.
Namun setahun kemudian, Nordi pulang ke Malaysia seorang diri untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Dia (Nordi) pernah berhasrat membawa pulang anak-anak tetapi isterinya menghalang.
"Kasini juga mengugut supaya diberikan wang sebagai syarat untuk Nordi membawa pulang keempat-empat anaknya," kata Mohd. Khairun.
Kosmo! pada 26 Jun lalu melaporkan dakwaan Nordi bahawa dia telah mengeluarkan RM27,000 daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan wang itu kemudian diberikan kepada Kasini.
Namun tindakan itu nyata sia-sia kerana wanita tersebut didakwa tetap berkeras untuk tidak membenarkan empat beradik terbabit dibawa pulang.

"Nordi kemudian meminta bantuan kami dan syukurlah usaha kita berjaya," katanya.
Menceritakan pengalamannya dalam misi itu, Penolong Pegawai Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Zuhairi Selamat, 39, berkata, pelbagai halangan terpaksa ditempuhi beliau dan rakannya, termasuk berdepan masyarakat kampung yang tidak memahami situasi sebenar semasa proses rundingan dilakukan.
"Kita terpaksa berdepan masalah dengan pihak Imigresen kerana kanak-kanak tersebut memasuki Indonesia secara tidak sah. Mereka tidak mempunyai dokumen ketika memasuki republik itu. Namun hasil perbincangan kedua-dua pihak, akhirnya mereka dibenarkan berlepas ke negara ini," katanya.
Sementara itu, Nordi tidak dapat membayangkan keadaan anak-anaknya jika tidak dibawa pulang ke Malaysia.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana sudi membawa pulang anak-anak saya. Tanpa bantuan mereka, mungkin saya tidak dapat lagi bertemu dengan mereka," katanya sambil menambah isteri keduanya itu telah diceraikan kelmarin dengan talak satu.

Iniesta sumber inspirasi kami - Fabregas

KIEV, Ukraine - Cesc Fabregas enggan mendedahkan formasi yang bakal digunakan Sepanyol pada aksi final Euro 2012 menentang Itali di Stadium Olimpik awal pagi esok.
Bagaimanapun, pemain tengah skuad La Roja itu berkata, Andres Iniesta mampu menyuntik keyakinan rakan-rakan sepasukan untuk memenangi gelaran juara, sekali gus melakar sejarah baharu.
Pada kempen Euro 2008, Fabregas sekadar menjadi pembantu kepada penyerang utama, David Villa.
Dia diletakkan di belakang Fernando Torres dalam misi untuk membantu penyerang Chelsea itu menjaringkan gol kemenangan Sepanyol ketika menewaskan Jerman 1-0 pada final.

Ketiadaan David Villa pada kempen di Poland dan Ukraine kali ini telah membuka peluang kepada Fabregas dan Torres untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad kendalian Vicente del Bosque.
Perebutan tempat semakin sengit selepas Alvaro Negredo telah disenaraikan di posisi penyerang tengah ketika aksi menentang Portugal di separuh akhir.

Bagaimanapun, kehebatan Fabregas ketika menyempurnakan sepakan terakhir penalti bagi menyingkirkan Itali pada saingan suku akhir empat tahun lalu memberikan kelebihan kepadanya untuk menjadi pilihan utama berbanding Torres, Negredo dan Fernando Llorente.
Bekas pemain Arsenal itu yakin del Bosque mempunyai strategi yang tersendiri untuk memilih pemain yang sesuai pada aksi menentang Itali nanti.

"Iniesta sentiasa menunjukkan kemajuan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan yang lain.
"Iniesta menghadapi musim yang sukar bersama kelab kerana sering dihimpit masalah kecederaan.
"Namun, dia telah mempamerkan prestasi yang cemerlang dalam kariernya pada Euro kali ini, sekali gus memberi kesan yang besar kepada cara permainan kami.
"Dia sangat kreatif ketika membawa bola dan pasti akan melakukan hantaran-hantaran yang menarik pada final nanti.

"Jadi dia merupakan sumber inspirasi kami. Ketika sedang menghadapi perlawanan, Iniesta menjadi rujukan kami," kata Fabregas.
Untuk rekod, Fabregas menjadi pemain yang membantu Iniesta menjaringkan gol kemenangan Sepanyol ketika menewaskan Belanda pada final Piala Dunia 2010. - Agensi

Ramos mahu lakar sejarah baharu

KIEV, Ukraine - Pemain pertahanan Sepanyol, Sergio Ramos mengakui pasukan itu mempunyai misi besar pada final Euro 2012 menentang Itali di Stadium Olimpik awal pagi esok.
Ramos berkata, skuad La Roja mahu meneruskan usaha mereka bagi menguasai bola sepak dunia sejak memenangi gelaran juara Euro 2008 di Vienna, Austria.

Sepanyol menambah satu lagi trofi apabila menjuarai Piala Dunia 2010 dan kemenangan ke atas Itali nanti bakal menjadi skuad La Roja sebagai pasukan pertama yang memenangi tiga gelaran utama berturut-turut.
Skuad bimbingan Vicente del Bosque juga akan menjadi pasukan pertama yang berjaya mempertahankan gelaran juara Eropah, sekali gus menyamai rekod Jerman yang memenangi tiga gelaran pada kejohanan di benua itu selepas kali pertama merangkulnya pada 1964.

"Kami mahu terus meletakkan kualiti hasil kerja keras kami di tahap yang lebih tinggi.
"Malah, jika boleh saya mahu meletakkannya di tahap yang sukar untuk dipercayai kerana belum ada pasukan yang memenangi tiga gelaran berturut-turut.
"Kami berpeluang untuk melakukannya. Ia memerlukan kerja keras, perasaan rendah diri dan kepuasan untuk beberapa tahun.

"Sepanyol sudah bersedia untuk melakar sejarah tetapi ia masih belum berakhir dan kami mahu memenangi trofi itu (Euro 2012)," kata pemain pertahanan Real Madrid itu.
Ramos berkata, meskipun ada sesetengah pihak yang tidak akan menghargai segala pengorbanan mereka selama ini sekiranya pasukan itu tewas kepada Itali, dia tetap pulang dengan perasaan bangga.
Dalam pada itu, Ramos mengakui Andrea Pirlo merupakan nadi utama skuad The Azzurri, sama seperti Xavi Hernandes dan dia perlu dirantai bagi mengekang pergerakannya. - Agensi

Prandelli dijangka letak jawatan

WARSAW, Poland - Cesare Prandelli memberi bayangan bahawa beliau tidak akan mengekalkan jawatannya selaku jurulatih Itali selepas final Euro 2012.
Skuad bimbingan Prandelli akan berdepan cabaran Sepanyol pada final kejohanan Eropah yang akan berlangsung di Stadium Olimpik, Ukraine awal pagi esok.

Prandelli, 54, menyuarakan respons itu selepas kecewa dengan skandal mengatur perlawanan yang berlaku dalam saingan liga bola sepak di Itali.
"Ia merupakan satu tempoh yang sukar sepanjang dua bulan lalu. Selain hubungan baik saya bersama pasukan dan Persekutuan Bola Sepak Itali, tempoh tersebut memberikan tekanan kepada saya. Tidak ada ketenangan lain yang saya peroleh selama tempoh itu.
"Perlukah saya meneruskan karier saya? Saya pernah memberitahu mengenai kualiti dalam kehidupan dan saya perlu membuat keputusan dengan tenang.
"Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana kami perlu memberi tumpuan pada misi sebenar iaitu menghadapi Sepanyol pada final nanti," kata Prandelli yang dilantik menjadi jurulatih skuad The Azzurri selepas tamat Piala Dunia 2010.
Prandelli berjaya membawa Itali ke final kejohanan berprestij Eropah itu selepas menewaskan Jerman 2-1 pada aksi separuh akhir kelmarin.
Berdasarkan rekod, Prandelli pernah meletakkan jawatan sebagai jurulatih AS Roma pada tahun 2005 ekoran masalah kesihatan kronik yang dialami isterinya sebelum meninggal dunia akibat kanser dua tahun kemudian. - AFP

Itali tidak gentar

WARSAW, Poland - Cesare Prandelli sangat kagum dengan corak permainan yang ditampilkan Sepanyol.
Bagaimanapun, jurulatih Itali itu berkata, beliau tidak rela anak-anak buahnya 'mengikut telunjuk' Sepanyol pada final Euro 2012 di Stadium Olimpik, Ukraine awal pagi esok.

"Kami tidak perlu takut kepada mereka. Kami berada di sini atas faktor merit dan kami akan melakukan yang terbaik bagi menewaskan mereka," kata pengendali berusia 54 tahun itu.
Prandelli berkata, beliau yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya selepas berjaya mengejutkan Jerman 2-1 pada aksi separuh akhir kelmarin.

"Kami berasa sangat bangga kerana berjaya sampai ke peringkat ini.
"Kejayaan ini menyebabkan kami berasa bangga untuk mewakili negara tetapi apabila kami berada di luar negara, saya yakin kami akan lebih berbangga untuk mengibarkan bendera.
"Kelmarin, kami berjaya mengikut segala perancangan dan para pemain memberi reaksi yang sangat baik. Mereka sangat menakjubkan, kami dianggap sebagai sebuah pasukan kerdil pada sesi latihan tetapi berjaya mencuri tumpuan pada aksi sebenar," katanya.

Meskipun mengakui para pemain Itali berada dalam situasi keletihan selepas bekerja keras untuk menempah slot ke final, Prandelli yakin mengenai prospek pasukan itu.
"Saya mahu melakukan persiapan dengan baik meskipun kami hanya ada masa sehari. Sama seperti yang kami lakukan ketika bertemu Jerman, kami perlu mencari kelemahan mereka dan mengambil peluang itu.
"Ia bukan satu tugas mudah kerana Sepanyol telah bermain bersama sejak beberapa tahun lalu. Mereka memenang trofi Euro 2008 dan Piala Dunia 2010 dan mereka mara ke final sekali lagi.
"Ini bermakna, mereka tidak hanya hebat dari segi taktikal tetapi mereka juga mempunyai moral yang tinggi dan sumbangan peribadi yang boleh kami jadikan sebagai rujukan.

"Namun, kami juga berjaya berada di sini (final). Kami semakin matang menjelang perlawanan terakhir dalam kejohanan ini," katanya.
Untuk rekod, Itali dan Sepanyol bertemu pada perlawanan pembukaan Kumpulan C yang berkesudahan seri 1-1 pada 10 Jun lalu. - Agensi

Hiddink tidak minat bimbing Belanda

AMSTERDAM, Belanda - Jurulatih Anzhi Makhachkala, Guus Hiddink telah menolak tawaran untuk menggantikan Bert van Marwijk sebagai pengendali baharu Belanda.
Sebaliknya, Hiddink menegaskan beliau memilih untuk kekal mengemudi kelab mewah Rusia itu.
Van Marwijk telah meletakkan jawatan pada Rabu lalu selepas menyaksikan skuad The Oranje tersingkir dari Euro 2012 tanpa memungut sebarang mata pada saingan Kumpulan B.

Hiddink, yang pernah menjadi jurulatih Belanda pada Euro 1996 berkata: "Saya bukan seorang yang sesuai untuk menggantikan van Marwijk kerana saya harus menghormati kontrak bersama Anzhi dan mustahil untuk saya meninggalkan kelab ini.
"Saya terkejut apabila van Marwijk memutuskan untuk meletakkan jawatan terutama selepas menyaksikan apa yang telah terjadi tetapi saya yakin Belanda akan bangkit semula daripada kekecewaan pada Euro 2012.
"Saya menyedari ia merupakan satu tugasan sukar yang mana saya masih belum bersedia untuk menjadi jurulatih Belanda dan perasaan itu tidak bagus buat saya," ujarnya.
Selepas tersingkir daripada Euro 2012, Belanda kembali beraksi pada kelayakan Piala Dunia 2014 Brazil bermula September depan. - Agensi

Kelibat dua 'Jeneral'

KIEV, Ukraine - Dua penjaga gol veteran, Iker Casillas dan Gianluigi Buffon bakal mencuri tumpuan pada final Euro 2012 di Stadium Olimpik awal pagi esok.
Selain mengawal pintu gol daripada dibolosi, Casillas dan Buffon turut mempunyai tugas penting selepas masing-masing dilantik menjadi kapten.

Casillas, 31, akan mengetuai skuad La Roja manakala Buffon, 34, memimpin skuad The Azzurri.
Meskipun sudah berada di penghujung karier, kedua-dua pemain ini masih lagi memegang status penjaga gol terbaik di dunia dan menjadi sumber inspirasi barisan generasi muda.
"Gigi (Buffon) adalah seorang pemain yang hebat.

"Dia adalah seorang idola buat kami semua. Dia memulakan karier bola sepak lebih awal. Dia tua tiga tahun daripada saya tetapi dia mencapai kejayaan dengan pantas. Dalam tempoh beberapa tahun, dia sudah menjadi penjaga gol terbaik di dunia.

"Sangat menakjubkan. Meskipun kedudukan penjaga gol terbaik lain sering berubah, dia tetap menjadi yang terbaik. Dia telah meraikan kejayaan yang besar, dia memenangi Piala Dunia 2006, liga Itali beberapa kali, Piala Itali dan Piala Super Itali bersama Juventus.
"Bagi peminat bola sepak di seluruh dunia, dia telah menjadi legenda dan sesuatu yang hebat apabila dia masih lagi bermain.

"Bagi saya, sesuatu yang baik untuk bermain dan menambah kemahiran bersama-sama seorang penjaga gol yang hebat," kata Casillas.
Bagaimanapun, Casillas turut dianggap sebagai penjaga gol yang hebat dan berpengalaman terutamanya selepas membantu Sepanyol memenangi trofi Euro 2008 dan Piala Dunia 2010.
Kemenangan ke atas Itali awal pagi esok bakal menjadikannya sebagai pemain pertama yang mencapai kejayaan 100 peratus bersama pasukan kebangsaan negara itu.
Selain muncul pemain yang paling banyak membuat penampilan dan merangkul anugerah penjaga gol terbaik di dunia sebanyak empat kali dari 2008 hingga 2011, Casillas turut melakar kejayaan bersama Real Madrid termasuk memenangi liga trofi Liga Sepanyol dan dua gelaran Liga Juara-Juara.
Casillas memainkan peranan utama ketika Sepanyol menewaskan Itali pada aksi suku akhir Euro 2008.
Dia menyelamatkan sepakan penalti Antonio Di Natale dan Daniele De Rossi sebelum Cesc Fabregas meledakkan gol kemenangan, sekali gus menamatkan kemarau trofi utama selama 44 tahun. - Agensi

Klik Untuk Saya k... :)

free counters