Jom Buat Duit

Monday 11 November 2013

Selamat Pengantin Baru Fizo Omar & Mawar

SAMA cantik, sama padan. Itulah istilah paling tepat yang boleh digambarkan terhadap pasangan merpati dua sejoli iaitu Wan Hafizol Wan Omar atau Fizo dan Mawar Abdul Karim yang baru sahaja sah menjadi suami isteri.

Mula berkenalan setelah masing-masing bertemu atas urusan perniagaan pada akhir tahun lalu, siapa sangka perkenalan singkat yang terjalin antara kedua-duanya membawa ke jenjang pelamin.

Dalam majlis pernikahan yang berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Country Heights, Kajang, dengan sekali lafaz akhirnya Fizo, 28, yang segak berbaju Melayu rona putih rekaan Man Kajang sah menjadi suami kepada Mawar.
"Saya bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar dan Mawar akhirnya sah milik saya sepenuhnya. Apabila sudah bergelar suami, pastinya tanggungjawab kini menjadi lebih besar.
"Semasa akad nikah, saya tidak terlalu memikirkan sangat perasaan gementar, sebaliknya saya lebih risau dengan status sebagai seorang suami. Bagaimanapun, saya sudah lama bersedia dari segi mental dan fizikal," ujarnya ketika ditemui sebaik selesai acara akad nikah.

Dalam majlis berkenaan, Fizo dan Mawar dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Hulu Langat, Mohd. Arif Abdul Samad dengan mas kahwin RM506.
Pihak pengantin lelaki memberi tujuh dulang dan dibalas dengan sembilan dulang oleh pengantin perempuan.

Lebih istimewa, dulang hantaran daripada pihak lelaki dibawakan oleh rakan Fizo yang merupakan pelakon lelaki popular seperti Kamal Adli, Johan As'ari, Iqram Dinzly, Shaheizy Sam, Fahrin Ahmad, Nazim Othman dan Karl Shafek serta diketuai oleh Datuk Rosyam Nor.

Menariknya tentang ikatan cinta yang terjalin sebelum mendirikan rumah tangga, pelakon itu membuat kejutan apabila melamar Mawar di panggung wayang Cathay @e-curve, Damansara sambil disaksikan oleh pihak media pada 28 Oktober lalu.

Biarpun tindakannya itu dikritik segelintir pihak sehingga menuduhnya terlalu terikut-ikut dengan cara Barat, ternyata pelakon berkenaan mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian.
"Tujuan saya berbuat demikian adalah semata-mata mahu mencari kelainan kerana ia merupakan detik bersejarah dalam hidup saya. Maka, saya berharap agar tiada pihak yang salah sangka dan menganggap isu yang timbul ini sebagai satu cabaran menjelang detik perkahwinan kami," luahnya.

Meskipun hasrat untuk berumah tangga dengan gadis tercinta telah tercapai tetapi jauh di sudut hati Fizo terpendam sebuah kepiluan kerana ayah tercinta tidak dapat menyaksikan detik bersejarah tersebut setelah kembali ke rahmatullah.

"Sebenarnya ia merupakan antara impian arwah ayah yang mahu melihat saya berkahwin dan kami memang cukup rapat sewaktu arwah masih hidup. Jadi, timbul perasaan sedih apabila secara tiba-tiba saya terkenangkan dirinya.

"Selain itu, saya turut mengalirkan air mata sebaik sahaja akad nikah setelah melihat kepuasan di wajah ibu yang memang inginkan saya berkahwin. Boleh dikatakan, perasaan saya bercampur-baur," jelasnya yang kehilangan ayah dua tahun lalu.

Mengenai perancangan untuk mendapatkan cahaya mata pula, Fizo memberitahu, dia tidak kisah sama ada cepat atau lambat kerana semuanya terserah kepada rezeki yang Allah berikan.

Bagaimanapun, pelakon berkenaan mengakui yang dia seboleh-bolehnya ingin menghabiskan masa dengan lebih lama bersama isteri terlebih dahulu sebelum menimang cahaya mata.
"Kalau diikutkan saya dan isteri memang suka dengan kanak-kanak dan pastinya memiliki cahaya mata menjadi keutamaan.

"Jadi, kami akan lebih bersedia sekiranya ditakdirkan mendapat anak lebih cepat," ujarnya.
Berkenaan dengan lokasi bulan madu pula, Fizo dan Mawar bakal meluangkan masa selama tiga minggu di beberapa buah negara Eropah seperti England, Perancis, Itali dan Sepanyol bermula awal Disember nanti.

Biarpun sudah bergelar seorang suami, pelakon yang dikenali menerusi filem Kongsi itu menjelaskan, kariernya sebagai seorang pelakon, pengacara dan ahli perniagaan akan tetap berjalan seperti biasa.
Ujar Fizo, statusnya sekarang ini sepatutnya tidak menjadi penghalang kerana dia kini mempunyai tugas yang lebih besar untuk dipikul. Disebabkan itu dia harus berusaha dengan lebih keras lagi.

"Sebenarnya, sejak awal tahun lagi saya sudah berhenti berlakon drama buat seketika dan hanya terbabit dalam dua buah filem iaitu Romeo Kota dan Cinderella kerana mahu memberi fokus kepada perniagaan.
"Lagipun, saya ada meletakkan sasaran untuk berkahwin apabila perniagaan saya Hot Burger saya berkembang.

"Kini, saya sudah memiliki sebanyak 70 gerai burger di beberapa buah negeri," jelasnya yang akan terus mengacarakan rancangan Nasi Lemak Kopi O terbitan TV9.
Selain mengurangkan aktiviti lakonannya kerana lebih menumpukan pada bidang perniagaan, ia tidak bermakna Fizo akan meninggalkan kerjaya dalam bidang seni memandangkan dia bakal bergiat aktif dalam penerbitan drama bersiri.

Tempoh perkenalan yang cukup singkat iaitu selama enam bulan dan kemudiannya bertunang dan mendirikan rumah tangga, Mawar, 24, sangat yakin Fizo merupakan lelaki yang terbaik buat dirinya untuk menjadi teman hidup.

Menyedari dirinya berkahwin dengan seorang artis yang cukup dikenali ramai, anak sulung kepada pemilik jenama tudung terkenal Fareeda itu sudah bersedia untuk menghadapi segala cabaran yang timbul.
"Saya mengakui yang tempoh perkenalan kami memang cukup singkat, namun sepanjang mengenali dirinya saya dapati suami merupakan seorang yang bertanggungjawab, romantik, penyayang dan mengutamakan keluarga.

"Biasanya kalau timbul sebarang cerita mengenai dirinya, saya tidak gemar mendengar kata-kata orang luar dan akan terus bertanya kepadanya.
"Kemudian dia akan berterus terang serta menceritakan segala-galanya dan ini membuatkan hubungan kami bertambah erat," jelasnya.

Meskipun sedar tentang jadual padat yang harus dilalui suami tercinta kerana perlu memberi fokus kepada bidang kerjaya yang diceburi sekarang, Mawar menyatakan, dia tidak kisah mengenainya, asalkan Fizo bijak mengatur jadual serta perlu mengutamakan rumah tangga.
Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters