Jom Buat Duit

Wednesday, 27 November 2013

Isu intip, Singapura dipanggil beri penjelasan

KUALA LUMPUR - Kementerian Luar Malaysia hari ini meminta penjelasan daripada Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Ong Keng Yong berhubung dakwaan penglibatan negara itu dalam kegiatan pengintipan terhadap Malaysia. 

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan di sini berkata, Ong mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Othman Hashim berhubung perkara itu di sini.

"Ketua Setiausaha menyampaikan kebimbangan Malaysia berhubung dakwaan kegiatan pengintipan Singapura terhadap Malaysia, dan menegaskan bahawa kegiatan seumpama itu mencabuli kedaulatan Malaysia dan juga terhadap privasi individu," katanya.

Kegiatan seumpama itu, beliau berkata sepatutnya tidak dilakukan di kalangan rakan dan jiran terdekat seperti Malaysia dan Singapura apabila kedua-dua pihak saling memupuk perkongsian strategik dan hubungan yang erat.

Anifah menegaskan bahawa laporan berkenaan kegiatan pengintipan telah menyebabkan kemarahan dan kekecewaan di kalangan rakyat Malaysia.

Anifah berkata, pesuruhjaya tinggi itu berjanji untuk menyampaikan kepada kerajaan Singapura berhubung penjelasan yang diminta Malaysia dan akan memaklumkan penjelasan itu kepada Kementerian Luar Malaysia secepat mungkin.

Beliau berkata, Ong memberi jaminan bahawa Singapura tidak mempunyai niat untuk menimbulkan sebarang bahaya kepada rakan-rakan negaranya.

"Singapura juga menghargai hubungan baik dengan Malaysia dan ia terbukti melalui kerjasama antara kedua-dua negara dalam banyak bidang," katanya.

Semalam, Anifah berkata pihak berkuasa Malaysia menyiasat secara menyeluruh laporan media berhubung dakwaan penglibatan negara-negara lain, terutama Singapura, dalam kegiatan pengintipan terhadap Malaysia. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)