Jom Buat Duit

Saturday, 29 June 2013

Kanak-kanak dirogol berulang kali, dipaksa gugur kandungan

OXFORD - Mengejutkan tetapi ini yang didakwa dilakukan oleh sekumpulan lelaki. Setiap kali mangsa yang mereka rogol hamil, kumpulan sembilan lelaki  juga akan melakukan pengguguran.

Perkara itu didedahkan di sebuah mahkamah di sini yang mendengar kes seorang kanak-kanak 12 tahun, yang dirogol berkali-kali oleh sekumpulan lelaki.

Kanak-kanak perempuan itu merupakan salah seorang mangsa eksploitasi seks oleh sembilan lelaki dari Berkshire dan Oxfordshire.

Kumpulan lelaki itu menafikan 51 tuduhan termasuk rogol, pelacuran dan penyeludupan kanak-kanak perempuan berusia antara 11 hingga 15 tahun dari tahun 2004 hingga 2012.

Mangsa telah dijual kepada Mohammed Karrar ketika mencecah usia 11 tahun untuk ‘mengubati’ sikap buruknya.

Pendakwa raya Noel Lucas QC memberitahu mahkamah bahawa kanak-kanak terbabit dijadikan mangsa bagi aktiviti seksual, menyediakan minuman keras dan juga ubat-ubatan.

Dia dan adiknya, Bassam Karrar berulang kali merogol gadis malang itu dan turut membuat rancangan dengan lelaki-lelaki lain untuk merogol gadis itu dengan cara yang cukup kejam.

Mohammed Karrar juga pernah memanaskan pin rambut menggunakan pemetik api dan menandakan huruf M pada punggung mangsa bagi menunjukkan gadis itu adalah miliknya.

Apabila gadis itu hamil pada usia 12 tahun, dia mengaturkan urusan pengguguran haram di bilik belakang.

“Dia menganggap yang gadis itu seperti harta miliknya. Dia merasakan yang dia berhak melakukan hubungan seks jika mahu,” kata Lucas.

Seorang lagi gadis berusia 14 tahun menerima ugutan dibakar jika enggan melakukan seks.

Dia bertemu defendan Kamal Jamil, Anjum Dogar dan Akhtar Dogar semasa tinggal di rumah kanak-kanak ketika berusia 14 tahun.

Lucas kemudian memberitahu mahkamah yang gadis itu juga terpaksa menurut segala kemahuan lelaki berkenaan, jika tidak dia akan diancam dan diperlakukan secara ganas.

Gadis itu juga memberitahu pernah dibawa ke lorong-lorong, hutan dan rumah pelanggan jika ada mana-mana lelaki yang mahu mengadakan hubungan seks dengannya.

Mahkamah sebelum ini mendakwa sekumpulan lelaki menyasarkan gadis-gadis muda untuk dijadikan mangsa bagi sesiapa yang mahu menggunakan gadis-gadis sebagai pemuas nafsu.

Perbicaraan dijangka berlarutan sehingga April ini.

Saturday, 22 June 2013

Tidak perlu solat Jumaat


INDEKS pencemaran udara di Singapura akibat jerebu berada di tahap 401 yang boleh memberi impak negatif kepada warga tua dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.


SINGAPURA - Pejabat Mufti Singapura semalam mengeluarkan fatwa bahawa penganut Islam di republik itu tidak perlu ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat berikutan masalah jerebu yang semakin serius.
"Ini kerana jerebu memberi kesan negatif kepada kesihatan dan mungkin boleh mengancam nyawa," kata pejabat Mufti Singapura.

Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya menunaikan solat Zohor di rumah atau di mana-mana sahaja.
Berdasarkan kepada data tahun 2012, umat Islam di Singapura mewakili kira-kira 13 peratus populasi keseluruhan Singapura.

Indeks jerebu Singapura semalam mencatat tahap kritikal iaitu 401 yang dilihat mampu mengancam nyawa mereka yang mengalami masalah kesihatan dan warga emas sekiranya keadaan kekal selama 24 jam.
Para pegawai Singapura dan Indonesia telah mengadakan perbincangan khas bagaimana untuk memadamkan api di kawasan perladangan di Sumatra yang menjadi punca jerebu.
Beberapa buah helikopter milik Indonesia juga telah dihantar ke lokasi untuk menjalankan aktiviti pembenihan awan bagi menghasilkan hujan. - AFP

Friday, 21 June 2013

Harga petrol, diesel di Indonesia naik esok


SEKUMPULAN pelajar Indonesia membaling batu ke arah polis dalam satu demonstrasi membantah kenaikan harga bahan api di Jakarta pada Isnin lalu.- AfP


JAKARTA - Indonesia akan melaksanakan kenaikan besar harga bahan api esok selepas isu tersebut mencetuskan perdebatan hangat sejak beberapa bulan lalu.

Kenaikan itu ekoran kos subsidi bahan api yang membebankan ekonomi Indonesia. Pada tahun lalu sahaja, pemerintah membelanjakan AS$20 bilion (RM64 bilion) untuk pemberian subsidi petrol dan diesel.
Pada tahun ini pula, Indonesia terpaksa mengimport lebih banyak minyak bagi memenuhi permintaan bahan api pada harga murah di negara itu.

"Pengumuman kenaikan harga bahan api akan dibuat selepas tengah malam hari ini dan berkuat kuasa serta-merta," kata Menteri Perindustrian M.S. Hidayat semalam.

Namun, selepas kenaikan tersebut iaitu 44 peratus untuk petrol dan diesel 22 peratus, harga petrol dan diesel di Indonesia masih kekal antara yang terendah di Asia Tenggara. Langkah itu menyusul selepas diluluskan oleh Parlimen pada minggu.

Parlimen Indonesia turut meluluskan insentif tunai kepada golongan miskin bagi melindungi mereka daripada impak kenaikan kos bahan api ke atas barangan keperluan lain.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sebelum ini bertegas melaksanakan insentif tersebut sebelum beliau menandatangani dekri kenaikan harga bahan api itu. Namun, usaha Susilo gagal menenangkan orang ramai apabila beribu-ribu orang bertindak menunjuk perasaan di seluruh negara itu kerana membantah kenaikan tersebut.

Kenaikan harga petrol dan diesel itu juga selaras dengan komen Menteri Kewangan, Chatib Basri pada minggu ini bahawa defisit bajet akan mencecah 4 peratus keluaran negara kasar (GDP) jika subsidi itu tidak dikurangkan.

Sebelum ini defisit bajet diunjurkan pada 1.6 peratus daripada GDP. Susulan kenaikan tersebut, harga petrol di Indonesia dijangka melonjak daripada 4,500 rupiah (RM1.40) kepada (RM2) seliter manakala seliter diesel pula berharga 5,500 rupiah (RM1.70) berbanding 4,500 rupiah sebelum ini. - Agensi

3,500 pekerja kilang di Dhaka diganggu hantu


PARA pekerja kilang kain ini didakwa masih trauma dengan kejadian sebuah kompleks kain, Rana Plaza yang runtuh sebelum ini.- Agensi


DHAKA - Seramai 3,500 pekerja kilang kain di sini terpaksa berhenti melakukan kerja masing-masing apabila tempat kerja itu diserang hantu dan mengganggu mereka.
Justeru, para pekerja berkenaan enggan meneruskan kerja kerana pihak pengurusan kilang enggan mengambil langkah sewajarnya untuk menghalau hantu tersebut.

Inspektor polis kawasan industri Gazipur, Showkat Kabir berkata, pemilik sebuah kilang kain di sini dipaksa untuk berdoa dan mengedarkan makanan kepada fakir miskin pada Rabu lalu.
Usaha itu diharap dapat menghalau hantu yang sering mengganggu para pekerja di kilang berkenaan.
Kira-kira 3,500 pekerja berhenti melakukan kerja mereka di sebuah kilang di Gazipur di utara Dhaka baru-baru ini.
Para pekerja itu kemudian bertindak memusnahkan kelengkapan perabut kilang bagi memaksa pemilik kilang bertindak menangani masalah tersebut.

Para pekerja kilang mendakwa mereka diganggu makhluk halus semasa berada di dalam tandas wanita.
"Semua pekerja, pemilik dan pengurus kilang akan menyertai majlis doa itu. Kilang akan beroperasi semula pada hari Khamis (semalam) selepas dua hari ditutup kerana gangguan hantu," katanya. - AFP

Sunday, 16 June 2013

CST-01, jam paling nipis di dunia

PERCAYAKAH anda, jam paling nipis di dunia hanya berukuran 0.8 milimeter (mm)?

Menurut laporan MailOnline, Jam CST-01, rekaan pencinta aksesori masa, Dave Vondle, di bawah firma Central Standard Timing di Chicago, menggunakan sekeping keluli tahan karat.

Lebih menarik, jam yang lebih nipis berbanding kad kredit itu dilengkapi komponen fleksibel elektronik 0.5mm dan menggunakan kuasa bateri yang mampu dicas selama 10 minit serta memiliki jangka hayat selama 15 tahun.

Ia dikeluarkan dalam dua warna iaitu hitam dan putih pada harga AS$109 (RM400).

Setia unit jam, dilengkapi kabel USB dan format 24 jam.

Keputusan Anugerah Blokbuster 2

Baca Kat Sini...

Tuesday, 11 June 2013

China hantar angkasawan wanita kedua

BEIJING - China akan menghantar angkasawan wanita keduanya ke orbit dalam misi yang memakan masa paling lama ketika republik itu sibuk membina sebuah stesen angkasa.
"Kapal angkasa Shenzhou-10 akan dilancarkan pada hari ini," jelas jurucakap program angkasa lepas China, Wu Ping.

Angkasawan wanita itu, Wang Yaping berlepas ke angkasa bersama dua orang lagi angkasawan iaitu komander Nie Haisheng dan Zhang Xiaoguang. Mereka akan berada di angkasa selama 15 hari.
Misi itu merupakan fasa penting dalam matlamat China untuk membina stesen angkasa lepas yang mampu menempatkan angkasawan dalam tempoh lebih lama.

"Mereka akan menjalankan eksperimen perubatan aeroangkasa dan teknologi angkasa lepas," kata Wu.
China menghantar angkasawan pertamanya pada 2003. Namun, kemampuannya masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat dan Rusia.
Pada Jun tahun lalu, angkasawan wanita pertama China, Liu Yang dihantar ke angkasa lepas selama 13 hari. - AFP

Seluruh Indonesia beri penghormatan terakhir kepada Taufiq

JAKARTA - Keluarga, rakan-rakan politik dan sahabat handai hari ini memberi penghormatan terakhir kepada bekas speker Majlis Perundangan Rakyat (MPR), Taufiq Kiemas yang juga merupakan suami kepada Presiden Kelima Indonesia, Megawati Soekarnoputri.

Pengebumian dibuat  penuh dengan istiadat tentera diadakan di Kalibata National Heroes Cemetery pada jam 11 pagi tadi yang turut dihadiri oleh beribu-ribu tetamu termasuk pegawai kerajaan, ahli politik, ahli MPR dan rakyat republik itu sendiri.

Keranda yang ditutup dengan bendera republik itu tiba dan disambut oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Sementara itu, Megawati, anak perempuan mereka dan ahli keluarga yang lain berjalan di belakang keranda.

Menurut jurucakap polis, Sarjan Komander Rikwanto, kira-kira 500 pegawai polis  bahagian trafik ditugaskan untuk menjaga keselamatan semasa majlis pengebumian dijalankan.

Taufiq meninggal dunia dalam usia 70 tahun di sebuah hospital Singapura pada jam 7.05 petang waktu tempatan, semalam.

Monday, 10 June 2013

Selamat Pengantin Baru Buat Beego dan Linda Hashim

Seniwati Legenda Filem Melayu Latifah Omar meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Seniwati legenda filem Melayu, Latifah Omar meninggal dunia selepas menjalani pembedahan ulser usus di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini petang semalam.
Pelakon veteran yang berusia 74 tahun itu dimasukkan ke Pusat Rawatan Islam Kampung Baru sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) setelah mengadu sakit perut dan mengalami muntah-muntah Khamis lalu.

Menurut anak sulung Allahyarham, Affendi Rahmat, 55, doktor yang merawat ibunya memaklumkan bahawa usus ibunya bengkak dan tersumbat serta perlu dibedah segera.

"Pembedahan yang dilakukan hari ini (semalam) cuba menstabilkan keadaan ibu saya tetapi ia tidak berjaya. Ibu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.19 petang," katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Al-Khairiah AU3, Keramat di sini malam tadi.

Wednesday, 5 June 2013

Aktres Bollywood ditemui mati di kediamannya

MUMBAI - Seorang aktres Bollywood, Jiah Khan ditemui mati di apartmennya di sini dipercayai membunuh diri, kata polis semalam.

Dia yang pernah berlakon buat kali pertama bersama pelakon legenda, Amitabh Bachchan, dibesarkan di London sebelum berpindah ke India untuk menceburi industri perfileman Bollywood.

Menurut seorang pegawai polis, mayatnya ditemui oleh keluarganya.
Laporan media menyatakan, mayatnya ditemui oleh ibunya.
Pegawai tersebut menyatakan pihak polis menyoal beberapa jirannya.
Dia juga memberitahu kepada pemberita, tiada nota bunuh diri ditemui bersama mayat Jiah yang berusia 25 tahun.

"Kami mengesyaki dia menggantung diri di kediamannya," kata polis kepada agensi berita AFP.
Mayat Jiah telah dihantar ke sebuah hospital untuk dibedah siasat.

Jiah dilahirkan di New York sebelum berpindah ke London dan Mumbai untuk membuat penampilan Bollywood pertama dalam filem kontroversi Nishabd pada 2007.

Dia melakonkan watak seorang remaja yang jatuh cinta dengan seorang rakan baiknya yang berusia jauh lebih tua daripadanya.
Watak rakan baiknya itu dilakonkan oleh Bachchan.

Filem itu mendapat ulasan yang sederhana daripada para pengkritik tetapi Jiah dipuji kerana lakonannya
yang menyerlah.
Jiah yang menukar nama asalnya Nafisa Khan pernah berlakon bersama Aamir Khan dalam filem pecah panggung, Ghajini.

Industri perfileman India turut terkejut dan sedih dengan berita kematian itu.
Aktres Sonam Kapoor menghantar mesej di laman Twitter berhubung kematian Jiah.
"Apa yang terjadi. Adakah berita itu betul. Tragedi yang dahsyat," katanya
Bachchan ketika dihubungi AFP semalam memberitahu, dia terkejut dan berasa bingung dengan berita tersebut.

Dalam pada itu, aktres Bipasha Basu turut menghantar mesej di laman Twitter dengan menyatakan, Tuhan merahmati rohnya.

Filem terbaharu Jiah, Housefull yang dikeluarkan pada tahun 2010 turut dibintangi oleh Akshay Kumar dan Deepika Padukone.
Pengarah filem Nishabd, Ram Gopal Farma menyatakan Jiah diselubungi kemurungan ekoran kerjayanya dalam bidang lakonan menemui kegagalan.

Aktres itu dilaporkan mahu meneruskan kerjayanya dalam kursus reka bentuk dalaman selepas kerjaya lakonannya gagal.
Dia juga menjalin hubungan dengan Suraj Pancholi yang merupakan anak kepada pelakon Aditya Pancholi selama setahun.

Menurut laman web Jiah, dia akan berlakon dalam filem keluaran Hollywood.
Jiah merupakan anak perempuan kepada Ali Rivzi Khan yang merupakan aktres berketurunan India yang popular pada tahun 1980-an. - Agensi

Kucing seludup telefon bimbit ke dalam penjara


SEORANG wardar memegang seekor kucing yang digunakan untuk menyeludup beberapa buah telefon bimbit dan alat pengecas ke dalam sebuah penjara dekat bandar Syktyvkar pada Jumaat lalu.


SYKTYVKAR, Rusia - Seekor kucing telah ditangkap oleh beberapa wardar kerana haiwan itu digunakan untuk menyeludup beberapa buah telefon bimbit dan alat pengecaj ke dalam sebuah penjara dekat sini.
Beberapa wardar yang meronda di penjara itu menemui seekor kucing yang memanjat sebuah pagar dan terdapat beberapa barang pada badannya.

Selepas mendekati haiwan itu, wardar-wardar tersebut mendapati ia membawa beberapa buah telefon bimbit dan alat pengecas.

Beberapa buah telefon bimbit dan alat pengecas itu didapati diikat pada perut haiwan tersebut.
Menurut pihak Perkhidmatan Penjara Persekutuan Republik Komi kelmarin, kejadian tersebut berlaku pada Jumaat lalu.

Penjara itu terletak 1,000 kilometer dari timur laut Moscow. - Agensi

Pelakon Veteran S. Shamsuddin Meninggal Dunia

Pelakon veteran era akhir 50-an dan awal 60-an, S.Shamsuddin, 84, telah disahkan meninggal dunia jam 10.56 pagi tadi akibat sakit tua dan jangkitan paru-paru berair.

Mengikut laporan Bernama, perkara ini disahkan oleh anaknya sendiri, Noredah Shamsuddin kepada organisasi berita itu.

Allahyarham meninggal dunia pagi tadi di Hospital Alexendra dan telah dibawa ke kediamannya di Bukit Batok, West Avenue, Jurong, Singapura.

Dilahirkan pada 1 Januari 1929, Allahyarham atau nama sebenarnya Sahamsudin Dali dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura dan diingati dengan lakonannya dalam filem-filem arahan Tan Sri P.Ramlee seperti Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok dan Nujum Pak Belalang.

Di zaman kegemilangan Studio Jalan Ampas, Allahyarham sering dikenali dengan gandingannya bersama Datuk Aziz Sattar.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham pernah membintangi lebih 25 filem dan filemnya yang terakhir ialah Eee...Hantu!!!!! arahan Majed Salleh.

Allahyarham telah berkahwin dengan Puteh Esmoon pada tahun 1954 dan mempunyai tujuh orang anak.
Takziah diucapkan buat keluarga Allahyarham dan Al-Fatihah.

Klik Untuk Saya k... :)

free counters