Jom Buat Duit

Friday, 30 March 2012

Janin tanpa kepala


KUALA LUMPUR: Kejam apabila janin berusia empat bulan tanpa kepala yang dipercayai dibuang sebelum dipam dari mangkuk tandas kediaman penduduk dijumpai di dalam loji kumbahan berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Jinjang, di sini, semalam.
Kejadian disedari kira-kira jam 11.30 pagi oleh seorang pekerja membersih tangki kumbahan milik Indah Water Konsortium (IWK) apabila terlihat satu janin manusia tersangkut di perangkap sampah sebelum memaklumkan kepada polis.

Janin itu pada awalnya disangka bangkai kucing ditemui tanpa kepala sebesar tapak tangan dalam keadaan belum cukup sifat kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, hasil pemeriksaan Unit Forensik mengesahkan janin berusia empat bulan itu dibuang dalam tempoh 48 jam lalu yang digugurkan daripada kandungan ibunya.

“Janin itu ditemui tanpa kepala dan kami juga tidak dapat mengetahui jantinanya,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan janin itu digugurkan penduduk tempatan di kawasan itu.


Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Zakaria meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tampil menghubungi Rakan Cop Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 bagi membantu siasatan atau tampil ke balai berdekatan.

Anak derhaka dapat balasan


KOTA BHARU: Gara-gara hasratnya untuk menjual rim kereta dihalang, seorang penganggur mengamuk dan mengugut bapanya menggunakan pedang, minggu lalu.
Bagaimanapun, perbuatan Mohd Hafizi Mat Hussein, 26, menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman denda RM4,000 di Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Hafiz Mohd Noor.

Mohd Hafiz memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Mengikut pertuduhan, Mohd Hafiz didakwa mengugut bapa kandungnya Mat Hussein Che Mat, 62, dengan niat menyebabkan ketakutan yang akan mendatangkan kematian kepada warga emas itu di rumahnya di Kampung Setek, Kok Lanas di sini pada jam 10 pagi, 25 Mac 2012.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh tiba-tiba berang dengan mengamuk sambil mengacukan pedang ke arah pengadu selepas hasratnya untuk menjual rim tayar dihalang bapanya itu.

Pengadu yang ketakutan dan bimbang dicederakan bertindak membuat laporan polis yang membawa kepada penahan tertuduh sejurus kejadian. Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman ringan kerana dia sudah insaf dengan perbuatannya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Saiful Nizam Misbah memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh untuk memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Ikan flowerhorn jadi tumpuan pengunjung



BENTUK bonggol yang terdapat pada ikan itu. 

BANGKOK - Seekor ikan flowerhorn yang mempunyai bonggol berwarna merah pada kepala menjadi tumpuan para pengunjung pada satu festival ikan di sini semalam.

Diadakan pada setiap tahun di Thailand, festival yang dikenali sebagai Pramong Nomjai Thai Tuala itu mempamerkan pelbagai jenis ikan eksotik dan mahal seperti flowerhorn dan arowana.
Pada tahun ini, pameran yang diadakan di sebuah pusat beli-belah itu akan berakhir pada 1 April depan. - Agensi

Bapa rantai anak pada tiang


LEHER seorang remaja berusia 13 tahun dirantai pada sebatang tiang elektrik di Battambang semalam. - AFP 


BATTAMBANG - Seorang bapa di Kemboja merantai leher seorang anak lelakinya pada sebatang tiang kayu elektrik di sini bagi menghukum remaja berkenaan yang ponteng sekolah untuk bermain permainan Internet, kata polis semalam.

Remaja berusia 13 tahun itu dirantai pada tiang elektrik sekitar dua jam.
Jirannya kemudian menghubungi pihak polis yang tiba di tempat kejadian bersama seorang tukang kunci untuk membebaskan mangsa.

"Si bapa amat marah apabila menemui anak lelakinya di sebuah kafe Internet dan bukan di sekolah sehingga dia sanggup merantai anaknya di khalayak sebagai pengajaran," kata Timbalan Ketua Polis Battambang, Cheth Vanny.

Menurutnya, mangsa turut dipukul oleh bapanya.
Bapa berusia 40 tahun itu, Sok Thoeun yang bekerja sebagai pemandu teksi motosikal melarikan diri selepas insiden berkenaan yang berlaku pada Selasa lepas.

Dia kini diburu polis kerana melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.
"Dia sedang diburu," kata pegawai berkenaan.
"Penderaan seperti ini menyalahi undang-undang," tambahnya lagi.
Penggunaan Internet di Kemboja adalah antara yang terendah di Asia Tenggara dengan kurang 1.5 peratus daripada 14 juta penduduk Kemboja menggunakan kemudahan tersebut. - AFP

Rihanna enggan jawab hubungan dengan Kutcher


RIHANNA menyertai sesi fotografi di sebuah hotel di London kelmarin.


LONDON - Penyanyi popular, Rihanna enggan menjawab soalan tentang hubungannya dengan aktor Hollywood, Ashton Kutcher.

Dia enggan menjawab soalan itu semasa ditanya wartawan pada sidang akhbar filem pertama lakonannya, Battleship kelmarin.

Sebelum ini, terdapat laporan penyanyi itu pernah berkunjung ke rumah Kutcher di Los Angeles sehingga awal pagi.

Apabila ditanya sama ada Kutcher akan hadir bersamanya untuk sesi promosi di sini, Rihanna menyifatkan soalan tersebut sebagai mengecewakan.

"Saya gembira dengan hidup saya dan saya kini solo, jika itu yang anda mahu tahu," kata Rihanna.
Filem Battleship turut menampilkan Taylor Kitsch dan Liam Neeson.
Rihanna melakonkan watak pakar senjata, Cora Raikes dalam filem itu.

Filem Battleship akan ditayangkan di Britain pada 11 April depan manakala di Amerika Syarikat pada 18 Mei depan. - Agensi

Mini kasino dalam kebun sayur



KESEMUA 63 kaki judi di kebun sayur Kampung Batak, Sungai Ara yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, George Town kelmarin.


GEORGE TOWN - Siapa sangka di belakang sebuah bengkel membaiki kenderaan yang terletak di pinggir hutan dan dikelilingi kebun sayur di Kampung Batak, Sungai Ara di sini rupa-rupanya menempatkan sebuah mini kasino yang popular dalam kalangan kaki judi yang sudah berusia.

Bagi memastikan mini kasino yang terletak dua kilometer dari jalan besar itu selamat, sindiket judi haram yang mengoperasikan kegiatan itu mengupah beberapa orang tonto untuk mengawasi kawasan tersebut.

Malah kawasan terpencil itu juga dilengkapi sebanyak 16 buah kamera litar tertutup (CCTV). Antara lokasi CTTV yang dipasang termasuk di beberapa simpang jalan masuk ke mini kasino yang beroperasi selama 24 jam.

Namun setelah sebulan beroperasi, pada pukul 9.30 malam kelmarin, mini kasino yang dibina dengan khemah itu diserbu sepasukan polis dari Unit Pencegahan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman.

Serbuan itu dilakukan selepas beberapa anggota polis terpaksa menyamar sebagai kaki judi untuk masuk ke mini kasino itu.
Ketua operasi D7, Deputi Superintendan Tan Tin Heng berkata, pihaknya terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk membuat risikan kerana mini kasino itu diawasi CCTV dan tonto.
"Polis terpaksa mengumpul maklumat daripada orang awam dan membuat penyamaran sebelum membuat serbuan malam tadi (kelmarin)," kata beliau selepas serbuan itu.

Biasiswa lepasan SPM, STPM

 

KUALA LUMPUR – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan) menawarkan biasiswa pembiayaan pendidikan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang mendapat keputusan 5A ke atas manakala 2A ke atas bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan, Raja Azura Raja Mahayuddin (gambar) berkata, tawaran itu terbuka kepada semua pelajar bumiputera dari persekitaran mencabar yang berprestasi sederhana tetapi berpotensi untuk memajukan diri.

Menurutnya, biasiswa itu juga diberikan kepada pelajar mengikuti pengajian yang memiliki peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
“Yayasan menyasarkan pelajar berpotensi dari persekitaran mencabar kerana memahami kesulitan mereka mendapatkan pendidikan sempurna seperti pelajar di luar bandar.

“Bagaimanapun, ini tidak bermaksud pelajar bandar tidak layak memohon, Yayasan mengambil kira faktor lain seperti pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, kesukaran mendapatkan bahan pendidikan dan tercicir peluang melanjutkan pengajian,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Klik Untuk Saya k... :)

free counters