Jom Buat Duit

Saturday, 2 August 2014

Nostalgia Keith Foo, Marsha sambut Aidilfitri

SEBAGAI sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama, terdapat beberapa hari perayaan yang akan dirai masyarakat di Malaysia. Itu antara keunikan tersendiri yang tidak terdapat di negara yang lain.

Tidak hairanlah sambutan perayaan yang besar seperti Hari Raya Aidilfitri ini turut diraikan oleh mereka yang bukan beragama Islam dalam suasana yang cukup meriah.

Istimewa untuk sambutan bulan Syawal pada tahun ini, Kosmo! telah mengaturkan satu sesi fotografi khas bersama pelakon Keith Foo dan Marsha Milan Londoh yang sememangnya memiliki ramai peminat Melayu.
Umum mengetahui Keith dan Marsha bukanlah penganut agama Islam, namun ia tidak menjadi halangan buat mereka untuk sama-sama meraikannya bersama-sama rakan yang menyambut Aidilfitri.

Keith yang ditemu bual sebaik sahaja selesai sesi fotografi berkata, sebagai seorang pemuda yang lahir dan dibesarkan di Gemas, Negeri Sembilan, ternyata dia mempunyai ramai rakan-rakan Melayu.
"Sejak kecil lagi saya sudah dapat merasai kemeriahan sewaktu menyambut Aidilfitri bersama rakan-rakan yang beragama Islam. Malah, saya tidak ketinggalan ikut rakan-rakan pergi beraya di rumah-rumah jiran dan mendapat duit raya.

"Itu merupakan antara kenangan yang paling menyeronokkan mengenai sambutan perayaan ini. Selain itu, saya melihat ketibaan Aidilfitri ini juga merupakan kesempatan terbaik untuk mengeratkan lagi silaturahim," ujarnya yang begitu menggemari lauk rendang.

Menurut Keith, apabila sesuatu perayaan yang besar seperti Aidilfitri turut disambut oleh mereka yang bukan beragama Islam, ia membuktikan bahawa masyarakat di negara ini hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
"Sebagai seorang individu kelahiran Malaysia, ia merupakan satu kebanggaan dan sewajarnya negara kita ini menjadi contoh kepada negara lain untuk memaparkan suasana kehidupan yang muhibah," jelasnya.
Sementara itu, pelakon yang pernah mencipta nama di Indonesia sebelum ini berkata, dia berasa sangat bertuah kerana memiliki sebuah keluarga yang menganut pelbagai agama.

"Keluarga bapa kebanyakannya beragama Buddha dan keluarga ibu pula kebanyakannya Hindu, manakala keluarga kami beragama Kristian. Salah seorang kakak saya pula sekarang sudah memeluk agama Islam.
"Jadi setiap kali tibanya perayaan yang besar seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas kami sekeluarga akan meraikannya bersama-sama. Apa yang saya rasai tidak ramai yang dapat menikmatinya," ujar Keith.

Bercerita tentang perkembangan karier lakonannya pula, pelakon itu memberitahu dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran telemovie Teruna & Dara serta sebuah telemovie terbitan syarikat Media Corp. Singapura berjudul Cinta, Raya Sempurna.

"Ketika ini saya sedang sibuk menjalani proses pembacaan skrip untuk filem Langit Cinta yang diarahkan oleh Osman Ali. Penggambaran filem ini akan bermula selepas sambutan Aidilfitri nanti," jelasnya.
Kenangan manis

Berbanding dengan Keith yang sudah dapat menikmati kemeriahan Aidilfitri sejak kecil, Marsha pula hanya merasai kemeriahannya setelah bergelar artis dan menetap di Kuala Lumpur.
Ujarnya, ketika dibesarkan di kampungnya yang terletak di Tamparuli, Sabah, dia tidak memiliki ramai rakan-rakan yang beragama Islam dan setiap kali Aidilfitri dia cuma dapat menziarahi rumah seorang rakannya sahaja saban tahun.

"Apabila sudah menjadi seorang artis dan menetap di Kuala Lumpur, barulah saya dapat menikmati Aidilfitri dengan lebih meriah memandangkan saya sudah memiliki ramai rakan artis yang beragama Islam.
"Biasanya setiap kali tiba bulan Syawal saya jarang pulang ke Sabah dan terus berada di sini untuk sama-sama meraikan Aidilfitri dengan rakan-rakan dan ternyata ia sesuatu yang sangat menyeronokkan," ujar gadis berketurunan Kadazan-Dusun itu.

Ketika ditanya tentang kenangan manis yang pernah dirasainya ketika Aidilfitri, Marsha memberitahu dapat berjumpa dengan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan detik indah yang tidak dapat dilupakan.

Menurutnya, dia berkesempatan bertemu dengan Tun Dr. Mahathir ketika membuat persembahan semasa rumah terbuka anjuran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari raya pertama tahun lalu.
"Saya telah diundang membuat persembahan untuk menghiburkan tetamu yang hadir. Selain dapat bersalaman dengan perdana menteri, saya gembira kerana kali pertama dapat bersemuka dengan Tun Dr. Mahathir yang merupakan idola saya," luahnya dalam nada gembira.

Selain itu, Marsha menceritakan bahawa pada tahun lalu dia paling banyak berbelanja dan membeli-belah di Jalan TAR untuk membuat persiapan Aidilfitri bersama rakannya iaitu pelakon Sharifah Sakinah.
"Saya dan Sakinah sempat berkunjung ke Jalan TAR pada malam raya dan itu kali pertama saya berbelanja sakan di sana. Menariknya, kami turut bertembung dengan beberapa rakan artis yang lain," ujarnya.

Koleksi raya
Biarpun jadual hariannya sebagai seorang pelakon dan penyanyi sentiasa padat, namun ia bukan satu halangan yang besar buat Marsha untuk membuka sebuah perniagaan koleksi menjual pakaian wanita.
Menggunakan jenama marshamilans untuk koleksi yang dijualnya itu sejak beberapa bulan lalu, dia menjelaskan segala rekaan koleksi pakaiannya itu merupakan hasil sentuhannya sendiri.
"Buat masa ini saya sekadar fokus kepada pakaian wanita sahaja terlebih dahulu dan menjualnya secara kecil-kecilan menerusi Instagram. Sesiapa yang berminat untuk melihat koleksi berkenaan boleh melayari Instagram yang menggunakan nama @marshamilans.

"Sempena dengan sambutan Aidilfitri saya juga ada menjual pakaian khas untuk koleksi raya. Bagaimanapun, saya tidak dapat menjual dalam kuantiti yang banyak memandangkan perniagaan ini masih di peringkat awal," jelasnya yang turut mengenakan pakaian jenamanya sendiri untuk sesi fotografi bersama Kosmo!.
Dalam pada itu, Marsha memberitahu bahawa pada masa ini dia mengurangkan aktiviti lakonannya sehingga menolak tawaran berlakon lima telefilem semata-mata mahu memberi tumpuan kepada karier nyanyiannya.
"Ketika ini saya sibuk mempromosikan lagu duet terbaharu bersama Zarul Umberlla yang berjudul Satu Rasa yang sudah diputarkan di stesen radio serta akan terbabit dengan pembikinan klip video lagu Cinta Sesungguhnya yang dinyanyikan secara duet bersama Sabhi Saddi," ujarnya. Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)