Jom Buat Duit

Monday, 30 September 2013

Mekanik gila seks diberkas

BATU GAJAH – Seorang mekanik yang menggunakan helah membantu mangsa kemalangan dan menyamar polis sebagai modus operandi untuk merogol memakan diri apabila dia diberkas di rumahnya di Taman Batu Gajah Perdana di sini kelmarin.

Perogol bersiri berusia 27 tahun yang masih bujang itu diberkas pada pukul 3.45 petang bagi membantu siasatan berhubung dua kes rogol dan dua kes cubaan merogol yang dilaporkan berlaku di sekitar pekan itu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, dua gadis berusia 17 tahun telah diperkosa oleh suspek manakala seorang gadis bawah umur dan wanita berusia 30 tahun nyaris menjadi mangsanya. Kosmo

Sunday, 29 September 2013

Miley Cryus mengaku hisap ganja

LOS ANGELES - Bintang terkenal, Miley Cryus yang mencetuskan pelbagai kontroversi baru-baru ini mengaku bahawa dia menghisap ganja, lapor akhbar New York Daily News kelmarin.

Penyanyi berusia 20 tahun itu membuat pengakuan tersebut menerusi wawancara dengan majalah Rolling Stone edisi 10 Oktober ini.

Bekas bintang Studio Disney, Hannah Montana memberitahu majalah itu bahawa ganja merupakan dadah terbaik di dunia berbanding dadah-dadah lain.

Cyrus pernah dilaporkan menghisap rokok yang dipercayai mengandungi ganja pada April lalu semasa dia bersama beberapa rakan bercuti di Miami.

Pada Februari lalu, sekeping gambar yang dimuat naik di Instagram turut mencetuskan kontroversi kerana ia kelihatan seperti Cyrus menghisap rokok ganja.

Namun, bekas tunang aktor terkenal, Liam Hemsworth itu menafikan berita berkenaan.
Cyrus semakin popular selepas kontroversi dia berbogel dan berpakaian seksi menerusi video muzik Wrecking Ball dan Nothing Compares 2 U. - Agensi

Saturday, 28 September 2013

Pulau Kecil Wujud Selepas Gempa Bumi di Pakistan

ISLAMABAD - PAKISTAN. Sebuah pulau baru kira-kira 600 meter dari pantai Gwadar di Laut Arab terbentuk selepas gempa bumi kuat berukuran 7.8 skala Richter melanda daerah Awaran di wilayah Balochistan, Pakistan, kelmarin.

Ketua Pusat Pemantauan Seismologi, Zahid Rafi berkata, pembentukan pulau sepanjang 91 meter dengan kedalaman 21 meter itu tidak mustahil jika dilihat kepada magnitud gempa.

"Gempa bumi yang besar boleh menyebabkan perubahan bentuk ketara pada kerak bumi, terutamanya di sepanjang pantai," katanya pada Press TV.

Seorang ahli biologi marin dari Institut Oseanografi Pakistan, Muhammad Danish berkata, dasar laut berhampiran pantai Makran mempunyai hidrat gas beku dengan jumlah metana yang besar menyebabkan pengeluaran gas metana dari pulau itu.

Kemunculan pulau berhampiran Gwadar itu adalah yang keempat di rantau itu sejak 1945.

Sementara itu, media melaporkan, jumlah kematian akibat gempa bumi telah meningkat melebihi 340 orang. "Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan," kata laporan itu.

Wednesday, 25 September 2013

Adam AF nikah Fiza Elite 26 September ini

Baca Kat Sini...

Konsert Lentera Timur cukup hebat

DIALAH mustika hati rakyat Malaysia, pencinta sejati irama tradisional dan dialah Datuk Siti Nurhaliza. Hadir mempersembahkan rendisi irama nusa bangsa berpaksi tradisional dalam olahan segar, Konsert Lentera Timur Siti Nurhaliza bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) suatu kejayaan besar!

Overture Sedayung Pak Yong dan Ala Donde membuka tirai persembahan Konsert Lentera Timur Siti Nurhaliza kali ini. Mungkin bagi peminat tegarnya yang mengikuti perkembangan Siti menjelang konsert di laman sosial Instagram dapat melihat beberapa siri latihan bersama kumpulan Makyung yang dipimpin oleh Rosnan Rahman.

Ya, benar bagai ditelah, penonton dapat menyaksikan aksi Siti ber‘Makyung’ pula menyarung persalinan lengkap persembahan teater tradisional itu.
Ironi membuka alunan sulung lagu yang pernah menjulang namanya dalam dunia irama tradisional pada tahun 2003, Siti menyusun langkah dari puncak pura lentera seperti mana judul konsert yang dipilihnya kali ini.

Sesuai dengan makna Nirmala itu sendiri yang bermakna suci bersih dan tidak ternoda, lagu pertama yang dipetik daripada album Sanggar Mustika itu membawa penonton kali ini melalui fasa demi fasa bersama warna gemilang sehingga penghujung konsert dua jam itu.
Sentuhan kenangan

Buat penonton yang pernah menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza In Concert At Royal Albert Hall London tahun 2005, persembahan lagu Kurik Kundi, Mahligai Permata dan seleksi Joget Kasih Tak Sudah serta Joget Pahang mampu mengimbau kembali momen indah itu.

Cuma kali ini Siti menghadiahkan lebih lagi kepada peminatnya di Malaysia dalam erti kata dinamik vokal dan kemeriahan persembahan yang diiringi Artistana Istana Budaya dan Badan Seni Budaya PDRM.

Menerusi lagu Bunga Melur yang dijadikan paduan medley, kata Siti itu lagu bidalan dirinya oleh arwah bapanya, Tarudin Ismail: “Ini lagu kegemaran arwah ayah Siti. Katanya, Bunga Melur adalah diri Siti dan setiap kali menyanyikan lagu ini Siti akan terkenangkan arwah.”

Melankolika malam Konsert Lentera Timur ditusuk pilu dengan medley Orang Merajuk disusun indah dalam rona lagu Patah Hati, Janji dan Kau Pergi Tanpa Pesan yang menurut Siti merupakan kegemaran ibunya sendiri, Siti Salmah Bachik.

Konsert kali ini jujur, hadiah daripada hati Siti Nurhaliza kepada peminat yang bersifat peribadi. Lantas kata Siti, pilihan lagu yang dibuat menyemai kenangan yang ingin dikongsikan kepada pendukung karier seninya selama ini.
“Siti menyampaikan lagu yang lebih ada kenangan dalam hidup Siti, biarpun banyak lagi rangkaian lagu Melayu asli dan tradisional yang serasi dengan nama saya seperti Seri Mersing tapi inilah 35 buah lagu hadiah Siti kepada peminat,” ujarnya.

Buluh Perindu
Siti selesa berinteraksi dengan peminat. Usai konsertnya beberapa bulan lalu di Dewan Filharmonik Petronas ada mungkin peminat sama yang hadir ketagih dengan pesona dan aura yang dibawa isteri kepada usahawan Datuk Khalid Jiwa itu.
Jika ditanya bagaimanakah suara buluh perindu, barangkali Sitilah rujukan paling ideal. Ia tersemat magis serta notasi indah yang bisa meruntun hati pendengar, tambahan pula dialun dalam puitis lirik lagu-lagu irama tradisional yang serba indah.

Menarik mengenai konsert ini, Siti menyampaikan tiga buah medley dalam konsep muzikal hasil kreativiti Pengarah Persembahan, Lokman Ghani. Dimulakan dengan medley Masri Manis, Kaparinyo dan Sulam Sembilan, kemudian diiringi medley Jangan Ditanya, Joget Kasih Tak Sudah dan Joget Pahang.

Akhir sekali medley Bulan Yang Mesra, Empat Dara dan Hati Kama. Mencuri tumpuan juga kemunculan empat wanita berkebaya nyonya yang tampil dalam rangkaian lagu-lagu medley itu serta lagu yang dipetik daripada album Seri Balas bersama Noraniza Idris, Ketawalah Lagi.

Klimaks persembahan barangkali boleh diberikan kepada kemunculan Datuk M. Daud Kilau sekembalinya penonton di tempat duduk usai rehat seketika. Menerusi lagu Cek Mek Molek, penyanyi berusia 74 tahun itu memukau penonton dengan gimik persalinan baju demi baju selang setiap rangkap.

Mungkin ada antara penonton yang mahukan Datuk M. Daud Kilau berduet bersama Siti menerusi lagu Anak Seni tapi pemilihan lagu Laksamana Raja Di Laut pun tidak asing dalam kalangan pencinta lagu-lagu Melayu asli.
Rendisi baharu

Siti terus mengulit penonton. Selain kata-katanya, ada sebuah kejutan yang Siti sajikan kali ini. Biarlah Rahsia, ditulis sendiri liriknya digubah iramanya bersama Melly Goeslow dan dimuatkan dalam salah satu album terbaiknya sepanjang hayat, Transkripsi, Siti menjadikan lagu itu dalam rendisi baharu iaitu tradisional!

Satu langkah bijak untuk Siti menangkap deria pendengar yang terlebih lewat mengenalinya dalam muzik pop untuk lebih menghayati petikan dan paluan alat-alat muzik tradisional. Malah, Siti dalam pada itu turut menyanyikan balada patriotisme, Bahtera Merdeka dengan cara tersendiri.

Cuma mungkin penonton mahukan penyanyi nombor satu negara itu menyarung persalinan tradisional atau paling tidak pun busana yang diadun sedikit elemen klasik seperti yang dipersembahkan di buku cenderamata. Tidak perlu dress meleret tapi berikan peminat keanggunan dan seri Melayu itu sendiri.

Menutup tirai persembahan konsert, medley Balqis dan Ya Maulai antara suntikan puncak terbaik dalam konsert ini. Mengingatkan kembali keunggulan Siti dalam siri Anugerah Juara Lagu tahun 2000 dan 2001 biar dipetik daripada album sama, Sahmura.

Sudah pasti Cindai, lagu yang memperkenalkan Siti Nurhaliza secara total kepada seisi Malaysia 16 tahun lalu menjadi juadah manis pencuci mulut terakhir Siti lantaran masih malar segar dan ‘berhantu’ hingga kini.

Popaleh Weh, single terbaharu Siti yang membawa makna terhebat dalam slanga negeri Pahang akhirnya menutup kisah sang lentera timur yang masih berkerdipan kilaunya dalam konsert terbesarnya tahun ini. Tiada kata yang mampu diungkapkan dengan kata-kata, namun bias cinta Siti Nurhaliza akan selamanya kekal menginap ruang hati pemuja muzikaliti beliau.
KOSMO

Tuesday, 24 September 2013

Jasad Chin Peng dibakar di Bangkok semalam

BANGKOK - Jasad bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibakar petang semalam di Wat That Thong, Jalan Sukhumvit di sini, lapor akhbar Bangkok Post.

Dia meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada 16 September lalu pada usia 89 tahun akibat sakit tua.
Memetik laporan akhbar dalam talian The Star, mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibakar sekitar pukul 6 petang.
Bangkok Post juga melaporkan bahawa abu mayatnya mungkin disemadikan di selatan Thailand.

Kematian pemimpin yang berasal dari Sitiawan, Perak itu telah mencetuskan kontroversi apabila kerajaan Malaysia menghalang jasad atau abu mayatnya dibawa pulang.
Chin Peng tinggal dalam buangan di Thailand selama lebih lima dekad dan dilarang kembali ke Malaysia.

Menurut sumber-sumber keluarganya, sebahagian abu mayat Chin Peng mungkin disimpan oleh anak dan cucunya.
Sebahagian lagi abu mayatnya dikatakan bakal disemadikan di empat kampung yang didiami rakan seperjuangannya dalam PKM.
Empat kampung tersebut terletak di Betong, Kabang dan Tarnto, Yala serta Sukhirin di daerah Narathiwat. - Agensi

Klik Untuk Saya k... :)

free counters