Jom Buat Duit

Friday, 28 February 2014

Empat beranak maut kemalangan

Seorang askar Wataniah maut bersama isteri dan dua anak perempuannya selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum bertembung dengan sebuah kereta lain dari arah bertentangan dalam nahas di Kilometer 22, Jalan Bahau-Keratong dekat sini pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa, Mohd. Fauzan Abu Bakar, 32, yang merupakan pemandu lori buah-buahan di Port Dickson dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian bersama isteri, Nur Hidayah Ngah, 28, serta dua anak perempuan mereka, Nur Ain Shahiera, 6, dan Nur Aina Shahmiera, 10 bulan.

Ketua Polis daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga dari arah Keratong gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan. Kosmo

Thursday, 27 February 2014

Ayah Durjana Mangga Mulut Anak

Seorang bapa di Nigeria bertindak kejam mendera anak lelakinya hingga mati dengan memasang mangga pada bibir kanak-kanak itu bagi menghentikan jeritan.

Memetik laporan Mail Online, selain dipukul, beliau turut melekapkan seterika panas ke seluruh tubuh Godrich dan kemudian mengurungnya di dalam bekas tong plastik.

Media tempatan melaporkan, ketika ditahan Elvis cuba berlakon seperti mengalami masalah mental namun pihak berkuasa mengesahkan keadaannya adalah normal.
Chris Elvis, 30, menuduh Godrich, 4, sebagai Ogbanje atau anak jahat selain menyalahkannya untuk setiap nasib buruk yang menimpanya sejak kebelakangan ini.

Wednesday, 26 February 2014

Harimau jantan berkeliaran di India

India - Seekor harimau bintang jantan yang berkeliaran telah mencederakan enam orang di sini pada Ahad lalu.

Beberapa pegawai berkata, haiwan itu dilihat berkeliaran di sebuah hospital, pawagam dan kompleks apartmen.

Binatang buas itu juga melompat menerusi tingkap yang pecah di sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan.

Menurut pihak berkuasa, orang ramai dinasihatkan agar tidak keluar dari rumah selepas usaha menangkap harimau itu gagal dilakukan oleh beberapa anggota polis.

"Kami melancarkan satu operasi besar-besaran untuk memburu binatang buas itu," kata seorang pegawai perhutanan dalam wawancara bersama akhbar India Times.

Menurut seorang pegawai perhutanan kepada portal berita dna, harimau itu tiba di bandar ini selepas ia memanjat sebuah trak yang mengangkut kayu dari Uttarakhand pada Ahad lalu. - Agensi

Friday, 21 February 2014

Erra Fazira pasrah

SETIAP pasangan yang berkahwin, pasti tidak pernah mengimpikan perkahwinan yang di bina, lebih-lebih lagi atas dasar cinta akan berakhir dengan penceraian.

Dan mungkin itu jugalah yang dirasai oleh Primadona Filem Malaysia, Erra Fazira, 40 yang telah sah bercerai dengan Engku Emran Engku Zainal Abidil, 39, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, kelmarin.

Apatah lagi, perkahwinan Erra bersama Emran merupakan perkahwinan keduanya selepas bercerai dengan Yusry Abdul Halim pada 2006.

Menerusi akaun Facebook miliknya, Erra tampak pasrah dan meninggalkan komen ringkas mengenai penceraiannya itu.

"Jodoh, ajal, maut di tangan ALLAH. Alhamdulillah. Semuanya sudah selesai. Amin"

Pelakon yang terkenal menerusi filem Sembilu itu diwakili oleh peguam, Ahmad Nazib Johari, memfailkan permohonan penceraian dan hak penjagaan anak pada 17 Februari 2013.

Ketika prosiding, Erra dan Emran mengesahkan mereka sudah tidak tinggal sebumbung selama setahun enam bulan.

Hasil perkongsian hidup selama tujuh tahun, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, lima tahun yang kini hak jagaan diberikan kepada Emran.

Gara - Gara Memiliki Akaun Facebook, Seorang Gadis Direjam Sampai Mati

SYRIA. Seorang remaja perempuan direjam hingga mati oleh kumpulan pelampau di Syria kerana mempunyai akaun laman sosial Facebook.

Mahkamah Syariah di Al- Reqqa menjatuhkan hukuman mati kepada Fatoum al-Jassem ekoran perintah di negara itu yang menganggap pemilik akaun Facebook tergolong dalam kumpulan komuniti tidak bermoral.



"Mahkamah yang berada di bawah bidang kuasa ISIS memutuskan mereka yang mempunyai akaun Facebook berhak dihukum dengan cara yang sama seperti kesalahan melakukan zina," menurut laporan itu. - Dailymail
Media tempatan melaporkan, mangsa dibawa ke mahkamah oleh militan Iraq dan Syria (ISIS) selepas ditangkap menggunakan rangkaian laman sosial tersebut.

Tuesday, 18 February 2014

Erra Fazira Sah Bercerai

Spekulasi mengenai rumah tangga pelakon popular, Erra Fazira terjawab apabila suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidil, 39, melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini.

Cerai dilafazkan di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Adib Husin selepas kedua-dua belah pihak bersetuju menyelesaikannya secara baik.

Engku Emran sebak manakala Erra Fazira yang memakai jubah kelabu kelihatan tenang saat cerai dilafazkan pada jam 12.50 tengah hari tadi.

Mohammad Adib berkata, permohonan hak penjagaan anak diberikan kepada Engku Emran dan hak bermalam serta  lawatan bersama diberikan kepada Erra Fazira diluluskan apabila kedua-dua pihak bersetuju mengenainya.

"Mahkamah  turut meluluskan permohonan plaintif (Erra Fazira) untuk tidak membuat sebarang tuntutan nafkah edah dan mutaah,"katanya.

Ketika prosiding, Erra Fazira dan Engku Emran mengesahkan mereka sudah tidak tinggal sebumbung selama setahun enam bulan.

Pelakon filem Sembilu itu atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 40, diwakili oleh Ahmad Nazib Johari memfailkan permohonan penceraian dan hak penjagaan anak itu pada 17 Februari 2013 masing-masing mengikut Seksyen 47 dan Seksyen 82 Enakmen Undang- Undang Keluarga Selangor 2003.

Engku Emran diwakili oleh Peguam Syarie, Roslan Sujak Rafee enggan memberi komen kepada media sebaik sahaja selesai prosiding.

Sementara, pengacara Primadona yang ditemani oleh rakan baiknya, Erma Fatima dan Umie Aida, meluahkan rasa syukur apabila semuanya selesai dan berjalan dengan baik.

"Segala spekulasi telah terjawab. Saya mohon jangan tanya lagi,"katanya ketika ditemui media.

Ketika ditanya mengenai perancangan selepas ini, dia memberitahu ingin fokus terhadap kerjayanya.

"Ia (kerjaya) menjadi fokus utama saya kini," katanya.

Erra Fazira dan Engku Emran berkahwin pada 25 Oktober 2007 dan dikurniakan seorang anak perempuan Engku Aleesya yang kini berusia lima tahun.

Sebelum mengahwini Engku Emran, Erra juga pernah berkahwin dengan penyanyi Yusry Abdul Halim pada 15 Jun 2003 dan bercerai tiga tahun kemudian. Sinar Harian

Wanita Berjanggut

Britain - Seorang wanita berketurunan Sikh sering dibuli di sekolahnya kerana wajahnya yang berjanggut, lapor akhbar MailOnline semalam.

Semasa bersekolah, wanita berkenaan, Harnaam Kaur digelar "wanita lelaki" kerana dia berpakaian seperti lelaki untuk menutup bulu pada dada dan tangannya.

"Saya tidak mahu keluar dari rumah kerana tidak tahan dengan ejekan orang ramai. Saya berkurung di dalam bilik dan berasa tidak mahu hidup lagi," katanya.

Wajah Harnaam mula ditumbuhi janggut ketika dia berusia 11 tahun disebabkan sejenis penyakit ganjil yang dikenali sebagai sindrom ovari polisistik.

Dia sebelum ini kerap bercukur dan menyapu krim pemutih untuk meredakan sindrom tersebut.

Namun, apabila memasuki usia 16 tahun, Harnaam mula membiarkan janggut pada mukanya kerana agama Sikh tidak membenarkan penganutnya membuang rambut dan bulu badan.

"Saya tidak akan membuang rambut pada muka lagi kerana ia adalah cara Tuhan membuatkan saya dan saya gembira dengan keadaan saya sekarang," jelasnya. - Agensi.

Friday, 14 February 2014

77 Maut Nahas Pesawat

ALGIERS - Seorang lelaki disahkan terselamat dalam nahas pesawat tentera Algeria yang mengorbankan 77 penumpang lain di pergunungan timur negara itu, menurut Kementerian Pertahanan.

Ketika kejadian, pesawat Hercules C-130 membawa 78 penumpang termasuk tentera dan ahli keluarga serta dikatakan sedang terbang dari Tamanrasset di selatan negara tersebut menuju ke timur.

"Satu pasukan penyiasat telah diwujudkan dan dihantar ke tempat kejadian untuk menentukan punca sebenar kejadian yang turut dianggap sebagai salah satu bencana udara terburuk di negara ini.

Selain itu, pegawai tertinggi tentera juga akan melawat ke lokasi kemalangan," katanya dipetik CNN

Kelmarin, pesawat terbabit terhempas di Gunung Fertas di wilayah Oum El Bouaghi, kira-kira 500 kilometer dari timur Algeria akibat cuaca buruk.

Sementara itu, media tempatan Algerie Presse Service (APS) melaporkan, Presiden Abdelaziz Bouteflika mengisytiharkan selama tiga hari sebagai tempoh berkabung.

Saturday, 8 February 2014

Pahang Kalahkan Johor Darul Ta'zim (JDT) 3 - 2 Gol

Juara Piala Malaysia, Pahang melakar kejutan selepas mengalahkan pasukan berstatus bintang, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan kemenangan tipis 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Mohd Hafiz Kamal menjadi wira skuad Tok Gajah selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-92 menerusi tandukan hasil sepakan percuma pemain tengah, Azidan Sarudin.

Kedua-dua pasukan sebelum ini terikat 2-2 dengan gol Pahang dijaringkan Matias Conti pada minit ke-13 dan Fauzi Roslan (47') manakala gol skuad 'Harimau Selatan' dijaringkan Pablo Aimar (45+2') dan Mohd Safee Sali (72').

Sarawak pula melonjak ke tangga teratas Liga Super hasil kemenangan selesa 2-0 ke atas Selangor PKNS FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Dua gol pasukan pelawat kendalian Robert Alberts dijaringkan Milorad Janjus seawal minit kesembilan dan Gabor Gyepes, tujuh minit kemudian.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengekalkan kedudukan teratas Liga Perdana selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Jaringan Sabre Abu pada minit ke-47 sudah memadai untuk skuad 'The Cops' kendalian Dollah Salleh mengekalkan kedudukan pendahulu dengan kutipan bersih sembilan mata selepas tiga perlawanan.

Negeri Sembilan mengutip tiga mata selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Felda United FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Dua gol skuad 'Hoben Jang Hoben' dijaringkan Jean-Emmanuel Effa Owona pada minit ke-13 dan S. Sivanesan (27') manakala gol saguhati skuad 'The Settlers' disumbangkan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-67.

Tiga lagi pasukan; Pulau Pinang, SPA Putrajaya FC dan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pula mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas lawan masing-masing.

Pulau Pinang yang merupakan juara Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia musim lepas, mengalahkan UiTM FC hasil jaringan tunggal pemain dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon pada minit ke-11 pada aksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

SPA Putrajaya FC mengalahkan DRB-Hicom FC menerusi gol pemain import dari Perancis, Mickael Nicoise Joseph pada minit ke-33 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, JDT II menang tipis ke atas pasukan tangga tercorot, Perlis hasil jaringan See Kok Luen pada minit ke-90.

Terdahulu, pasukan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Rosli Muda dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Zulkifli Ahmad pada minit ke-76 selepas beliau mengasari Kok Luen.

Perlawanan antara Kedah dan wakil Pulau Pinang, PBAPP FC yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini, ditangguhkan memandangkan kerajaan negeri menggunakan venue berkenaan untuk program khas. - Bernama

Dihalau dari Kampung Kerana Sakit dan Hodoh

INDONESIA. Gara-gara seluruh tubuh dan sebahagian wajahnya dipenuhi tumor, penduduk sebuah kampung di Bandung sanggup bertindak kejam mengusir ibu tunggal kepada empat anak ini selepas mangsa dibuang keluarganya.

Menurut wanita tersebut, dia menderita penyakit tumor tidak berbahaya itu sejak tiga tahun lalu.

"Saya tidak mampu untuk menjalani rawatan kerana kos perubatannya agak tinggi," katanya.

Difahamkan, laporan dipetik dari DailyMail, kira-kira 50 peratus individu yang mengalami mutasi gen ketika dalam kandungan ibu berisiko menghidap penyakit ini walaupun ia adalah penyakit bawaan genetik.
Sarotin, 46, dipercayai mengalami penyakit genetik, neurofibromatosis yang menyebabkan ketumbuhan tidak terkawal di seluruh saraf tubuh.

Friday, 7 February 2014

Penduduk Negeri Sabah dinasihat tidak panik susulan jangkitan H1N1

Penduduk di Sabah dinasihat tidak perlu bimbang atau panik berikutan jangkitan virus Influenza A (H1N1) yang dikesan di negeri itu baru-baru ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S.Subramaniam.

Beliau berkata, tujuh kes H1N1 yang dikesan di Sabah merupakan kes jangkitan selesema biasa yang mana cara-cara dan tanda-tanda jangkitan serta komplikasi adalah serupa dengan influenza bermusim.


Subramaniam menjelaskan cara jangkitan virus H1N1 dalam komuniti adalah melalui cecair batuk atau bersin daripada mereka yang dijangkiti.

"Ini bukan pandemik, jadi tak perlu panik," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan bersama komuniti di Mentari Court di sini, hari ini sambil memberi jaminan kejadian itu adalah terkawal.

Pada 3 Februari lalu, tujuh individu terdiri daripada lima kanak-kanak dan dua dewasa dikesan positif H1N1 di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas dan semua mereka telah diberi rawatan antiviral.

Subramaniam berkata, empat daripada individu berkenaan telah dibenarkan keluar dari hospital, manakala tiga lagi masih menerima rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk meningkatkan kawalan di dalam wad untuk memastikan virus berkenaan tidak menular," katanya. - Bernama

Thursday, 6 February 2014

Tentera Bashar bom masjid

Pesawat tentera Syria menggugurkan sebutir bom buatan sendiri yang menjadikan sebuah masjid sebagai sasaran serangan di sini kelmarin.
Masjid itu dijadikan sebuah sekolah untuk para pelajar selepas ia dikuasai kumpulan penentang-penentang Bashar di sini.

Lebih lima orang termasuk termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan itu.
Pengeboman tersebut merupakan satu daripada tujuh serangan yang dilancarkan regim Presiden Bashar Al-Assad untuk menguasai semula bandar raya ini yang ditawan pihak penentang pada pertengahan tahun 2012.

Tentera Bashar telah membedil kawasan-kawasan yang dikuasai kumpulan penentang di sini sejak pertengahan Disember tahun lalu.

Beberapa aktivis daripada kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia berkata, beratus-ratus orang awam maut dalam pengeboman itu dengan angka kematian penuh meningkat kepada 27 orang.
Beberapa butir bom tong turut digugurkan di kawasan lain di sini tetapi angka korban atau kecederaan ekoran siri serangan itu masih belum dapat dipastikan.

Tentera Syria menggunakan bom tong yang dibuat daripada bahan api, bahan letupan dan serpihan logam untuk menyerang tempat-tempat awam.

Dalam pada itu, Rusia yang merupakan sekutu kuat Bashar melahirkan keyakinan Damsyik akan kembali ke meja rundingan tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland dalam usaha menamatkan konflik di Syria.

"Saya yakin kerajaan Syria akan mengambil bahagian dalam pusingan kedua rundingan itu," kata Utusan Khas Rusia ke Asia Barat, Mikhail Bogdanov kelmarin.

Krisis Syria yang bermula dengan kebangkitan aman menentang pemerintahan Bashar pada Mac 2011 bertukar menjadi perang saudara yang mengorbankan lebih 130,000 orang setakat ini. - Agensi

Aktres Bollywood pakai pakaian daging kambing

Seorang pelakon filem Bollywood, Tanisha Singh memakai pakaian yang diperbuat daripada daging kambing di sini semalam.

Dia yang pernah berlakon dalam filem Sarker Raj memakai pakaian itu semasa sesi fotografi untuk kempen menyelamatkan haiwan.

Pada tahun 2010, seorang penyanyi terkenal, Lady Gaga pernah memakai pakaian yang diperbuat daripada daging pada Anugerah Video Muzik di Los Angeles pada tahun 2010. - AFP

Wednesday, 5 February 2014

Tahniah Khairul Fahmi Che Mat Bergelar Bapa

PENJAGA gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menyifatkan kehadiran cahaya mata sulung melonjakkan lagi semangatnya untuk terus beraksi cemerlang, lapor YATIMIN ABDULLAH.
Khairul Fahmi atau Apek berkata, dia akan terus bekerja lebih keras selepas ini bagi memastikan prestasinya sentiasa berada pada tahap terbaik.

"Selain memberikan semangat, kehadiran cahaya mata ini juga akan lebih mendisiplinkan saya terutama dari segi pengurusan masta antara kerjaya dan keluarga," kata Apek di rumah ibu mentuanya di Pasir Pekan dekat Kota Bharu semalam.

Apek bergelar bapa kelmarin apabila dikurniakan cahaya mata sulung di Hospital Pakar Perdana dekat Kota Bharu.

Isterinya, Nur Eilunie Natasha Jaafar, 23, atau Leuniey selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.75 kilogram secara normal kira-kira pukul 3 petang.

Apek memberitahu, kehadiran cahaya mata itu memberikan pengalaman baharu buatnya terutama dalam menjalankan tugas sebagai bapa dan suami.
"Saya masih banyak yang perlu dipelajari, bagaimanapun saya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab tersebut," ujarnya.

Apek turut memberitahu, dia masih belum memutuskan nama yang akan diberikan kepada anak sulungnya itu.
"Buat masa ini, saya sedang mencari dan memikirkan nama yang sesuai untuk diberikan kepada anak saya," jelasnya. Kosmo

Saturday, 1 February 2014

Sup Kelamuan Lembuh Jantan Popular di Bolivia

A PAZ - Sup yang mengandungi kemaluan lembu jantan yang dikenali sebagai Cardan amat popular dalam kalangan penduduk termasuk wanita di Bolivia.
Terdapat beberapa buah restoran yang menjual sup tersebut kepada orang ramai di bandar ini.

Penduduk Bolivia percaya, sup itu dapat meningkatkan kekuatan tenaga batin dan mengurangkan rasa sakit di belakang badan. - Agensi

Korban dua sepupu di Pantai Tanjung Balau, Johor

JOHOR BAHRU - Kegembiraan sebuah keluarga seramai 12 orang yang berkelah di Tanjung Balau, Kota Tinggi sempena cuti Tahun Baharu Cina bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Rahmat Othman berkata, kejadian berlaku apabila mangsa J. Krisna Kumar, 31 dari Permas Jaya dan R. Ghanapathy, 32 dari Taman Ungku Tun Aminah, hanyut dibawa arus semasa berenang di pantai itu.
"Arus deras telah menarik kedua-dua sepupu itu ke kawasan yang dalam sebelum mereka menjerit meminta pertolongan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, polis menerima panggilan mengenai kejadian tersebut kira-kira 6.25 petang dan terus mengadakan operasi dan menyelamat mangsa.

Rahmat berkata, anggota Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam menjumpai mayat mangsa pada 7.30 malam tidak jauh dari lokasi kali terakhir mereka dilihat.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. - Bernama

Klik Untuk Saya k... :)

free counters