Jom Buat Duit

Saturday 31 May 2014

Pahang Musnahkan Johor DT

PASUKAN berstatus bintang, Johor Darul Takzim (Johor DT) rebah di kaki Tok Gajah apabila tewas 0-1 pada aksi separuh akhir kedua kempen Piala FA 2014 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan Pahang melangkah bergaya ke final dengan kelebihan agregat 2-1 selepas terikat seri 1-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hasan Yunos Larkin, Johor Bahru pada 5 Mei lalu.

Peluang beraksi di gelanggang sendiri malam tadi dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak buah Zainal Abidin Hassan itu yang tampil dengan aksi mantap di hadapan lebih 32,000 penyokong fanatik mereka.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan Mohd. Faizol Hussain pada minit ke-81, sekali gus mengesahkan Pahang ke final.

Pahang bakal bertemu pemenang antara Kelantan dengan Felda United yang akan turun membuat perhitungan di Stadium Shah Alam malam ini.

Final dijadualkan berlangsung pada 7 Jun nanti sementara tempatnya akan ditentukan kemudian.
Kali terakhir pasukan Pahang menjulang Piala FA ialah pada tahun 2006.

Pada perlawanan malam tadi, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan pantas dan memiliki peluang sama rata untuk menghasilkan jaringan.

Namun, penyudah yang kurang kemas menafikan mereka untuk memecah kebuntuan.
Tok Gajah mendapat peluang terbaik untuk membuka jaringan menerusi R. Gopinathan pada minit keenam, namun percubaannya tersasar.

Skuad Harimau Selatan turut memperoleh peluang untuk melakukan jaringan menerusi penyerang import, Luciano Gabriel Figueroa namun tandukannya hasil sepakan sudut daripada Safiq Rahim pada minit ke-14 mudah dibaca penjaga gol Pahang, Mohd. Khairul Azhan Khalid.

Kedudukan seri tanpa jaringan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Pada separuh masa kedua, jurulatih Johor DT, Bojan Hodak melakukan perubahan taktikal dengan memasukkan Safee Sali bagi menggantikan Amirul Hadi Zainal, namun perubahan tersebut tidak membawa kelebihan kepada pasukan pelawat.

Gol yang dinanti-natikan akhirnya hadir pada minit ke-81 dan Mohd. Faizol mudah menyempurnakannya menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti yang terus menerjah di penjuru kiri gawang lawan.
Selepas itu, Pahang terus bertahan bagi memastikan kedudukan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.Kosmo

Polis Arab Saudi Meletakkan Kakinya di Kawasan Kaabah Ketika Berkawal di Hajar Aswad Kena Siasat

MAKKAH - ARAB SAUDI. Gelagat seorang anggota polis Arab Saudi meletakkan kakinya di kawasan Kaabah ketika berkawal di Hajar Aswad, baru-baru ini mengundang kemarahan Gabenor Makkah, Putera Mishal Bin Abdullah Bin Abdul Aziz.

Gambar tersebar di laman sosial itu turut menyinggung perasaan umat Islam di seluruh dunia hingga mencetuskan kemarahan di laman sosial.

Atas dasar itu, Putera Mishal mendesak Ketua Polis Makkah, Majer Jeneral Abdul Aziz Al-Souli menyiasat kejadian tersebut dan mengambil tindakan terhadap pegawai polis berkenaan.

“Saya sudah mengarahkan ketua polis untuk menyoal siasat anggota terbabit dan tindakan perlu dikenakan,” katanya.

Gulf News melaporkan, dipetik dari Al-Arabiya, aksi anggota itu secara terang-terangan menggambarkan beliau tidak menghormati tempat suci itu.
“Pihak berkuasa harus mengetatkan undang-undang dan memilih hanya anggota yang benar-benar layak untuk berkawal di situ,” menurut laporan itu. Sinar

2 Pembantu Rumah Fasha Sandha Dipenjara

DUA pembantu rumah suami pelakon Fasha Sandha hari ini dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini kerana mencuri wang milik suami pelakon itu sebuah rumah di Ampang Jaya.

Majistret Zulyana Zolkapli membuat keputusan itu selepas kedua-dua warga Indonesia itu, Nilawati, 39, dan Sri Maniami, 35, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua mereka menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 13 Mac lepas. Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mencuri matawang rupiah dan wang Ringgit Malaysia berjumlah RM200 milik Rizal Ashram Ramli, 38, di sebuah rumah di Jalan Duta Suria, Ampang Jaya, di sini pada 9.45 malam, 12 Mac lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu dalam rayuan mereka, kedua-dua wanita itu menangis teresak-esak memohon mahkamah meringankan hukuman kerana ingin menyambut Ramadan bersama keluarga di kampung.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum. - Bernama

Friday 30 May 2014

Kes 38 rogol dua pelajar: Tiga beranak turut direman

Antara 14 suspek yang direman untuk membantu siasatan kes rogol beramai-ramai di Ketereh

Pasir Mas: Tiga beranak adalah antara 14 suspek ditahan polis setakat ini, untuk siasatan kes dua pelajar yang didakwa dirogol secara bergilir-gilir oleh 38 lelaki, dalam kejadian di Ketereh pada 20 Mei lalu.

Suspek berusia 38 tahun itu bersama dua anak lelakinya masing-masing 15 dan 17 tahun, ditahan di Ketereh kelmarin, bagi membantu siasatan berhubung kejadian dan semua suspek kini direman seminggu. Berita Harian

Thursday 29 May 2014

Remaja Dirogol di Rumah Sendiri

MIRI - Seorang remaja berusia 14 tahun dirogol seorang lelaki tidak dikenali yang menceroboh kediamannya di Bandar Baru Permyjaya, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, kejadian berlaku pukul 12.02 tengah malam ketika mangsa hanya tinggal berdua dengan adiknya yang berusia tujuh tahun.
Ibu bapa mangsa tidak ada di rumah kerana menziarahi saudara yang meninggal dunia, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurut Tian Kee, remaja itu diserang seorang lelaki bertopeng yang bertindak mengacu pisau ke lehernya ketika memeriksa bunyi bising di bahagian belakang rumah.
"Lelaki itu kemudian membawa mangsa masuk ke bilik dan menutup muka mangsa dengan bantal sebelum merogolnya," kata Tian Kee.

Tambahnya, suspek dipercayai memasuki rumah itu menerusi pintu dapur, kemudian melarikan diri dan mangsa menghubungi ibu bapanya untuk memaklumkan kejadian sebelum mereka membuat laporan polis. - Bernama

Jenazah Almarhum Sultan Perak selamat dimakamkan

KUALA KANGSAR - Jenazah Sultan Perak Almarhum Sultan Azlan Shah selamat dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar di sini pada pukul 6.40 petang tadi.

Jenazah baginda disemadikan di antara makam Sultan Idris II dan Raja Ashman Shah.
Keadaan cuaca mendung dan suasana sedih menyelubungi kerabat Diraja, orang kenamaan dan rakyat jelata yang mula membanjiri pekarangan masjid seawal 1.30 tengah hari.

Jenazah Almarhum tiba di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan di sini dengan pedati khas 'Seraja Diraja' berwarna kuning pada 4.30 petang untuk disembahyangkan.

Pedati khas itu diusung 40 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia secara bergilir-gilir sejauh kira-kira dua kilometer dari Istana Iskandariah. - Bernama

Tuesday 27 May 2014

Aaron Aziz dan Siti Saleha Raih Keunggulan

"POPULARITI itu bonus. Jika anda datang ke Malaysia semata-mata mahu mengejar glamor, lupakan sahaja niat itu," lancar bicara pelakon Aaron Aziz.

Aaron melontarkan kata-kata itu selepas ditanya mengenai makna populariti serta legasi yang dibinanya sebagai seorang anak seni di Malaysia selepas menjulang trofi kemenangan Bintang Paling Popular pada majlis Anugerah Bintang Popular 2013 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Merungkai maksud tersebut dengan lebih terperinci, Aaron atau nama sebenarnya, Aaron Mustapha Aziz, 38, menjelaskan, banyak perkara lain yang perlu diberi perhatian jika ada antara pelakon dari Singapura yang ingin datang ke Malaysia bagi melebarkan sayap.
"Saya akui, Malaysia merupakan sebuah platform terbesar bagi para pelakon Melayu di Singapura untuk menonjolkan bakat dan mengembangkan karier lakonan.

"Justeru, jika ada yang berhasrat untuk masuk ke pasaran ini (industri seni Malaysia), mereka perlu bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum berfikir tentang soal populariti," ujarnya.
Tambah Aaron, selain memasang niat yang betul, apa yang penting sewaktu mencari rezeki di tempat orang adalah menjaga disiplin diri.
"Jika kita betul-betul berusaha dan bekerja berlandaskan niat yang betul, maka apa yang diusahakan itu akan membuahkan hasil," katanya.

Pasaran besar
Mengakui lambakan bakat dari Singapura seperti tidak pernah putus mewarnai persada seni tanah air, Aaron berpendapat, trend tersebut dilihat sebagai satu peluang kepadanya untuk belajar sesuatu yang baharu, bukannya medan untuk bersaing sesama sendiri.

"Saya tidak pernah menganggap kebanjiran bakat dari Singapura sebagai satu saingan. Sejak dahulu lagi, kita sudah sedia maklum dengan penghijrahan ramai artis dari Singapura.
"Malaysia boleh diibaratkan seperti Hollywood bagi kami. Nama-nama seperti Datuk M. Nasir, Ramli Sarip, Allahyarham Loloq serta Hamidah Wahab merupakan antara individu yang pernah dan masih mencipta nama di sini.

"Jadi, tidak menjadi masalah untuk saya terus berkarya dan memenuhi tawaran yang diberikan jika ia kena dengan apa yang saya lakukan kini," ujarnya.
Peranan peminat

Walaupun namanya begitu dikenali di Malaysia, pelakon yang popular menerusi filem Ombak Rindu ini tidak menolak jika menerima tawaran daripada pihak produksi Singapura.
"Saya tidak mempunyai sebarang masalah jika dipanggil untuk berlakon kembali di sana. Malah, saya baru sahaja bersetuju untuk membintangi sebuah telefilem khas di Singapura tidak lama lagi," ujarnya.
Setelah dua kali memenangi anugerah yang sama, Aaron menyifatkan kemenangan kali kedua itu sebagai hadiah serta hasil kerja yang kuat oleh kelab peminatnya, Aaronatics.
"Sejujurnya apabila melihat kepada pencalonan bagi setiap kategori pada kali ini, semuanya terdiri daripada artis-artis muda.

"Disebabkan itu, saya langsung tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang. Alhamdulillah, berkat sokongan dan kepercayaan para peminat.
"Saya sangat bersyukur dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh ahli kelab peminat saya.
Bebas kontroversi

Pada malam itu, nama Siti Saleha tiba-tiba menjadi sebutan apabila pelakon yang pernah popular menerusi drama Nora Elena itu memenangi anugerah bagi dua kategori besar, iaitu Pelakon Filem Wanita Popular dan Pelakon TV Wanita Popular.

Mengalahkan nama-nama seperti Erra Fazira, Lisa Surihani dan Nora Danish, Saleha atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd. Baharum, 24, sendiri ternyata terkejut dengan kemenangannya itu.
Namun, jelas adik kepada vokalis kumpulan Bunkface, Sam ini, pengiktirafan tersebut kini menjadi bukti kehadirannya dalam bidang lakonan disedari oleh khalayak umum.
"Apabila kita memenangi sebarang anugerah, pasti akan ada pihak yang memandang kita dengan lebih serius. Sudah lama saya mengimpikan untuk merasai saat-saat seperti itu.

"Saya percaya, selain dapat mengembangkan jumlah pengikut, anugerah seperti ini juga mampu membuka lebih banyak peluang kepada saya untuk mengembangkan karier sebagai seorang pelakon," katanya yang tidak meletakkan sebarang harapan kerana menyifatkan saingan pada malam itu begitu kuat.
Mengulas mengenai tawaran berlakon yang bakal diberikan kepadanya selepas ini, Saleha memberitahu, sebelum menjulang anugerah tersebut, dia sudah tersedia selektif dengan watak-watak yang ingin dilakonkannya.

"Saya tidak semborono ketika memilih watak. Saya sukakan cabaran dan lebih mementingkan kualiti berdasarkan apa yang akan saya lakonkan.
"Jadi, istilah selektif itu perlu bagi memberikan saya peluang mencuba watak yang berlainan bagi setiap drama atau filem yang saya lakonkan," tutur gadis berdarah campuran Melayu-Inggeris itu.
Ketika disoal mengenai statusnya sebagai artis bebas kontroversi, Saleha berkata, dia bersyukur kerana tidak pernah terjebak dengan sebarang gosip sehingga mampu memburukkan namanya.
"Alhamdulillah, sepanjang saya bergelar pelakon, saya tidak pernah dikaitkan dengan gosip-gosip yang kurang enak.

"Siapa yang mahu dilanda kontroversi? Kalau boleh, apa sahaja yang berkaitan dengan kontroversi saya akan tolak ke tepi. Insya-Allah, saya akan cuba untuk mengekalkan imej bersih ini hingga bila-bila," tuturnya sambil tersenyum.

Melanjutkan perbualan mengenai teman lelaki baharunya, gadis kelahiran England ini lebih selesa untuk tidak menghebahkan kisah cintanya kepada media.
"Saya lebih selesa untuk tidak membicarakan soal cinta. Apa yang saya boleh beritahu, dia berasal dari Portugal dan kini bekerja di sebuah syarikat kewangan di Kuala Lumpur," katanya mengakhiri perbualan. Kosmo

Monday 26 May 2014

Rejim Zionis Robohkan Masjid Negev

Israel mula melancarkan operasi pembersihan etnik termasuk meruntuhkan sebuah masjid di Wadi Al-Na’im, Beersheba, utara Palestin, kelmarin.

Tindakan itu menimbulkan kebimbangan penduduk apabila mendakwa kediaman mereka juga akan dirobohkan susulan operasi tersebut lapor Middleeastmonitor.

Yayasan Negev bagi Hak Tanah dan Manusia mengecam tindakan itu dengan menyifatkan Israel melakukan pencabulan terang-terangan terhadap hak umat Islam di Negev.

“Israel melanggar hak kebebasan beribadah. Mereka juga bertindak keterlaluan apabila menyita harta penduduk dan merosakkan tanaman mereka,” kata jurucakapnya.

Susulan kejadian itu, penduduk di kawasan terbabit bertekad untuk tidak meninggalkan rumah masing-masing.

Pertubuhan Gerakan Islam Negeb mendedahkan tindak an Israel itu bertujuan untuk melakukan pembersihan etnik dengan niat untuk mengusir 60,000 umat Islam di wilayah itu.

Wanita ke-2 tertua dunia sambut hari lahir ke-115

Wanita kedua tertua di dunia, menyambut hari lahirnya yang ke-115,  semalam.

Menurut Kumpulan Penyelidik Gerontologi, Jeralean Talley dilahirkan pada 23 Mei 1899 merupakan yang kedua tertua selepas Misao Okawa yang berumur 116 tahun.

Dilahirkan di Montrose, Georgia, beliau berpindah ke Michigan pada tahun 1935 dan mempunyai seorang anak dengan suaminya, Alfred, yang meninggal dunia pada tahun 1988.

Menurut sumber yang dipetik dari BBC, anak perempuannya Thelma Holloway, 76, tinggal bersama ibunya di Inkster, Wayne County, dan tiga lagi generasi keluarganya tinggal berhampiran dengan kediamannya.

Ditanya tentang sambutan hari lahirnya, Talley bercadang untuk menyambut majlis tersebut bersama keluarga dan rakan-rakannya di sebuah gereja pada hari esok.

Walaupun usianya menginjak melepasi angka 100 tahun, Talley masih boleh berjalan dengan bantuan tongkat.

Monday 19 May 2014

Lelaki Masuk Kain Aktres Terkenal America Ferrera

CANNES, Perancis - Aktres terkenal, America Ferrera terkejut selepas seorang lelaki masuk ke dalam kain yang dipakainya ketika menghadiri Festival Filem Cannes di sini pada Jumaat lalu.

Lelaki dari Ukraine tersebut, Vitalii Sediuk merangkak dan memasukkan kepalanya ke dalam kain Ferrera ketika wanita itu bersama beberapa artis lain bergambar pada acara karpet merah.

Beberapa pengawal keselamatan yang menyaksikan perkara itu bertindak menarik Sediuk tetapi lelaki berkenaan terus memegang kaki Ferrera menyebabkan aktres tersebut terkejut.
Ferrera, 30, yang mempromosikan filem terbarunya, How to Train Your Dragon 2 kelihatan tenang dan mampu tersenyum selepas kejadian itu.

Sediuk sebelum ini pernah dihukum penjara kerana suka membuat lawak dengan beberapa artis terkenal termasuklah Bradley Cooper, Leonardo DiCaprio dan Adele.
Dia juga pernah ditampar aktor terkenal, Will Smith apabila cuba mencium pelakon itu ketika tayangan perdana filem Men in Black III di Moscow, Rusia pada tahun 2012. - Agensi

Sunday 18 May 2014

Tragedi MH370: Mungkinkah MH370 Tidak Terhempas?

Kuala Lumpur: Tujuh puluh satu hari telah berlalu tetapi khabar angin mengenai nasib pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH 370 masih ‘berlegar’ dalam ruang media.

Yang terbaharu ialah berpandukan Alat Pemancar Lokasi Kecemasan (ELT), yang didakwa tidak pernah dibincangkan sejak kehilangan pesawat dan oleh kerana ia tidak pernah memancar apa-apa isyarat, timbul spekulasi bahawa MH370 tidak terhempas di selatan Lautan Hindi dan masih dalam keadaan baik.

ELT ialah suar (api isyarat) kecemasan yang digunakan dalam pesawat bagi pihak berkuasa penyelamat berada dalam keadaan berjaga-jaga dan memberi petunjuk tentang lokasi dan jenis pesawat yang mengalami masalah.

Tak hantar isyarat
Dalam temubual eksklusif dengan BERNAMA, bekas Ketua Juruterbang MAS, Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain, berkata walaupun pelik bahawa ELT MH370 tidak menghantar apa-apa isyarat, seseorang harus faham bahawa ELT akan memancarkan isyarat bergantung kepada hentaman.

“Sudut hentaman amat penting untuk membolehkan alat itu aktif secara automatik. Sebab mengapa mereka mempunyai petunjuk hentaman tertentu ialah supaya apabila pesawat membuat pendaratan dalam situasi sukar di landasan, ELT tidak akan berfungsi.

“Jika ELT benar-benar sensitif, setiap kali pesawat hendak membuat pendaratan dalam situasi sukar, ELT akan aktif secara automatik. Oleh itu, ia memberi nilai prapenentuan untuk alat itu berfungsi,” beliau menjelaskan.
Beliau berkata dalam insiden pesawat Air France (AF), ELT tidak aktif dan pesawat itu terhempas pada kelajuan perlahan, kira-kira 100 kilometer sejam, dan tidak memberi tindak balas yang mencukupi untuk mengaktifkan ELT.

ELT direka khusus untuk aktif secara automatik akibat ledakan tertentu seperti hentaman atau tersentuh dengan air, serupa seperti alat pengesan kotak hitam.

“Walaupun pesawat (Air France 447) tersentuh air, tetapi ia kemudian tenggelam, isyarat tidak dipancarkan. Sentuhan air akan menjejaskan jarak, trajektori, daya kekuatan ELT. Oleh itu, jarak pemancaran ELT mungkin terbatas akibat air,” kata beliau dan menambah bahawa Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) yang memancarkan isyarat.

Menurut Nik Ahmad Huzlan, sebelum AF447 terhempas ke dalam Lautan Atantik, pelbagai isyarat dipancarkan oleh ACARS kerana ia telah mengesan satu demi satu kerosakan yang memudahkan lokasi pesawat di dasar laut dikesan.

Beliau menjelaskan bahawa ELT tidak berkaitan dengan alat transponder pesawat sambil berkata ia berfungsi sendiri dan jangka hayat bateri boleh bertahan hanya 48 jam selepas aktif secara sendiri kerana isyaratnya yang kuat dan keupayaannya dikesan dari jarak jauh, tidak seperti isyarat ping.
BERNAMA

Saturday 17 May 2014

Wanita Hamil Dihukum Gantung Kerana Murtad

KHARTOUM - REPUBLIK SUDAN. Sebuah mahkamah di Sudan, kelmarin menjatuhkan hukuman gantung ke atas seorang wanita yang sarat hamil kerana didakwa murtad.

Tertuduh, Meriam Yahia Ibrahim Ishag, 27, didapati bersalah di bawah undang-undang Syariah yang telah dikuatkuasakan di negara itu sejak 1983.

Hakim Abbas Mohammed Al-Khalifa memberitahu, keputusan itu dibuat selepas Meriam enggan kembali memeluk agama Islam walaupun telah diberi tempoh selama tiga hari oleh mahkamah lapor AFP.

Ketika prosiding perbicaraan tersebut, Meriam turut menafikan dia telah murtad.

Difahamkan, wanita tersebut dibesarkan oleh ibunya yang merupakan penganut Kristian Orthodox, selepas bapanya meninggalkan mereka. Sinar

Selamat Pengantin Baru Mak Mah

KLANG - Hanya dengan sekali lafaz, pelakon vetaran Ruminah Sidek akhirnya selamat bergelar isteri kepada peneroka Felda Jelai Negeri Sembilan, Al Fatah Rahim Ismail, 70, dalam satu majlis yang diadakan di kediaman abang ipar pelakon itu, di sini,hari ini.

Majlis Akad nikah itu disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid As Syarif, Meru Klang dan disaksikan oleh adik lelaki pengantin perempuan Mohd Jani Sarman kira-kira pukul 9.20 pagi.

Ruminah atau lebih dikenali sebagai Mak Mah, 68, menerima mas kahwin sebanyak RM300, tanpa wang hantaran.

Ruminah menerima sebanyak tujuh dulang hantaran yang berupa kek, Al-Quran, beg tangan, kasut, sejadah, air minuman Twister, dan telekung.

Pihak lelaki pula menerima satu set wangian, kek, tepak sirih, set pakaian, sejadah, tuala dan buah-buahan.

Majlis tersebut turut disiarkan secara langsung melalui program Nasi Lemak Kopi O yang diacarakan oleh pelakon Abon, AR Badul dan Aida Gadis Melayu.

Turut kelihatan pada majlis tersebut pelakon Adlin Aman Ramli dan isteri Emelda Rosmila.





Sementara dalam majlis persandingan Mak Mah tampil anggun dengan busana berwarna putih sedondon dengan pengantin lelaki

Terdahulu, Ruminah dan Al Fatah telah mengikat tali pertunangan pada 19 April lalu di rumah abang ipar Ruminah di Meru, Klang dekat sini.

Perkahwinan ini merupakan perkahwinan keempat buat Ruminah termasuklah dengan Allahyarham AR Tompel.

Hasil perkahwinan lalu, Ruminah dikurniakan enam orang anak termasuklah pelakon Adlin Aman Ramlie.

Dia juga mempunyai 20 cucu dan enam cicit. Sinar

Friday 16 May 2014

Pesawat MAS dilanggar kereta

SEPANG – Negara dikejutkan dengan satu lagi insiden melibatkan pesawat MAS apabila penerbangan MH740 dilanggar oleh sebuah Perodua Viva di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Memetik laporan portal Malaysiakini, pemilik kereta tersebut mengakui tidak menarik brek tangan kenderaan terbabit sehingga kenderaan terbabit bergerak sendiri menuju ke arah pesawat sebelum merempuh bahagian bawah pesawat.

Kesemua penumpang yang berada di dalam pesawat terbabit berjaya dipindahkan sepenuhnya dan menaiki penerbangan lain pada jam 10.45 pagi tadi.

Pesawat yang dijadualkan berlepas pada jam 10.05 pagi ke Yangon terpaksa menangguhkan penerbangan dan berlepas semula ke destinasi yang ditetapkan pada jam 12.30 tengah hari tadi. Sinar

Wednesday 14 May 2014

Anwar, Isteri Terlibat Kemalangan

SHAH ALAM - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri dimaklumkan terlibat dalam satu kemalangan di Desa Sri Hartamas kira-kira jam 10 malam tadi.

Anwar dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.

"Anwar mengalami keretakan di pangkal tangan kanan berdekatan bahu, tapi Alhamdulillah berada dalam keadaan selamat, tidak memerlukan pembedahan. Dr Wan Azizah juga berada dalam keadaan selamat dan sedang diperiksa doktor," menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan ringkas.

Kedua-dua, Anwar dan Azizah akan pulang ke rumah malam ini selepas mendapatkan rawatan, katanya. Sinar

Tuesday 13 May 2014

Model Wanita Jadi Hamba Seks Jutawan Minyak

MARBELLA, Sepanyol - Seorang jutawan warga Britain ditahan pihak berkuasa Sepanyol kerana didakwa mengurung dan menjadikan sembilan model wanita sebagai hamba seks sehingga melahirkan tujuh orang anak, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Jutawan tersebut, Shoja Shojai, 56, didakwa menggoda wanita terbabit dengan mendakwa dia seorang usahawan minyak dan mempunyai hubungan baik dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Semua wanita tersebut yang berasal dari Eropah dan Asia termasuk Rusia, Jerman, Mongolia dan Kazakhtan memberitahu bahawa mereka menemui Shojai ketika belajar di sebuah sekolah fesyen di London.

Satu sumber berkata, sembilan wanita tersebut mendakwa mereka berjumpa dengan Shojai beberapa tahun lalu dan lelaki terbabit mempelawa mereka ke Sepanyol untuk mengembangkan karier sebagai model.
Bagaimanapun, apabila tiba di Sepanyol, semua wanita tersebut dikurung di dalam sebuah rumah mewah yang mempunyai 10 buah bilik di Marbella dan bergilir-gilir tidur dengan mangsa.
Wanita tersebut memberitahu polis, mereka hanya dibenarkan keluar dari rumah tersebut dengan diiringi seorang pemandu.

Kata sumber itu lagi, semua wanita terbabit terpaksa mengikuti arahan Shojai kerana dia mengancam untuk mencederakan anak serta keluarga mangsa.
Bagaimanapun, tindakan Shojai itu akhirnya terbongkar selepas salah seorang wanita tersebut menghubungi polis untuk meminta bantuan.
Semua wanita dan anak mereka yang berusia sembilan bulan hingga tujuh tahun kini di bawah jagaan pihak berkuasa.

Shojai yang dibebaskan dengan ikat jamin selepas disoal siasat oleh polis atas tuduhan melakukan keganasan domestik menafikan dakwaan wanita-wanita tersebut. - Agensi

Sunday 11 May 2014

Lelaki rogol wanita hamil minta maaf

Bachok: Seorang wanita yang mengandung tujuh bulan dirogol lima lelaki bergilir-gilir di sebuah sawah padi di Kampung Kuau, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa yang berusia 21 tahun dikatakan ke rumah rakan perempuannya di Kampung Tangok, sebelum keluar membonceng motosikal bersama adik perempuan rakannya bagi membeli makanan.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Abdul Hamid Che Ahmad berkata, mangsa yang mempunyai seorang anak berusia lima tahun, mengandung anak kedua manakala suaminya bekerja di Kuala Lumpur.


Bonceng motosikal
Katanya, mangsa mendakwa dia dan adik rakannya sedang membonceng motosikal sebelum didatangi kekasih adik rakannya bersama dua lelaki.

“Adik rakan mangsa dipaksa membonceng motosikal bersama teman lelakinya, manakala mangsa dipaksa mengikuti dua lelaki itu ke sebuah wakaf di kawasan sawah padi Kampung Kuau,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bachok, di sini.
Katanya, mangsa kemudian ditinggalkan bersama dua lelaki itu dan cuba mahu menelefon seseorang untuk mengambilnya.

Abdul Hamid berkata, berang dengan tindakan mangsa, seorang daripada lelaki itu menelefon tiga lagi rakannya dan mereka merogol mangsa secara bergilir-gilir.


Suspek mohon maaf
“Mangsa kemudian dihantar ke rumah rakannya di Tangok oleh seorang suspek jam 4.30 pagi, malah suspek dikatakan sempat meminta maaf kepada mangsa,” katanya.

Abdul Hamid berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Tawang.

Katanya, polis kini sedang mengesan semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.  BH

Pelajar Dakwa Dicabul Jiran Nenek

Seorang pelajar Tingkatan Tiga mendakwa dicabul seorang lelaki dikenali ketika berehat di rumah neneknya di Kampung Seri Kenangan Pelong di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa yang duduk berseorangan di hadapan pintu, didatangi lelaki berusia 40-an yang juga jiran neneknya.

Sumber berkata, lelaki itu terus meluru ke arah mangsa, lalu meraba dan meramas payu dara kiri mangsa.


“Mangsa yang tidak berdaya melawan suspek, terus menjerit. Jeritan itu menyebabkan suspek berhenti melakukan perbuatan itu.

“Tanpa segan silu, suspek kemudian masuk ke dalam rumah nenek mangsa dan duduk di ruang tamu seolah-olah tiada apa yang berlaku,” kata sumber itu.

Buat laporan polis

Sumber berkata, mangsa yang berang dengan perlakuan suspek, memarahi lelaki itu tetapi tidak diendahkan.
Berikutan itu, remaja berkenaan keluar dari rumah neneknya dan pulang ke rumahnya yang terletak berhampiran, sebelum menceritakan kejadian berkenaan kepada bapanya.

“Bapa mangsa yang marah dengan tindakan suspek, membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Permaisuri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.BH

Kekasih Penumpang MH370 Terima Ancaman Bunuh

NEW YORK - Seorang kekasih kepada penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu telah menerima ancaman bunuh, lapor portal berita NBC News semalam.
Ancaman bunuh itu diterima oleh Sarah Bajc yang merupakan kekasih kepada warga Amerika Syarikat (AS), Philip Wood, 50, iaitu penumpang pesawat MAS tersebut.

Bajc menerima ancaman itu dalam bentuk mesej menerusi telefon bimbit yang menyatakan: "Saya akan datang dan giliran anda dibunuh."

Ancaman itu diterima beberapa minggu selepas pesawat MH370 itu hilang pada 8 Mac lalu ketika dalam penerbangan ke Beijing, China dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Bajc turut menerima gambar-gambar pornografi dan panggilan yang dianggap 'menyeramkan' diterima dari nombor yang berpangkalan di China.

Menurutnya, apartmennya juga telah diceroboh sebanyak dua kali di Beijing.
"Sesiapa yang datang menceroboh itu tidak begitu berhati-hati kerana saya merupakan seorang yang cerewet berhubung penyusunan barang-barang dengan teratur dan kemas.
"Justeru, ia menjadi sesuatu yang amat jelas apabila saya melihat beberapa barang telah dialihkan (dari kedudukan asal).

"Pengemas rumah saya pergi keluar ke bandar raya. Justeru, perbuatan mengalihkan barang itu bukan dilakukan olehnya. Saya pula pulang ke rumah sebelum anak lelaki saya.
"Kata laluan peti deposit saya telah dibetulkan semula kerana ia berlaku setiap kali anda cuba memasukkan kod yang salah sebanyak tiga kali, " katanya.

Bajc berkata, kali terakhir rumahnya diceroboh adalah dua minggu lalu.
"Jiran saya melihat dua orang meninggalkan apartmen saya," katanya.
Bajc merupakan antara 350 keluarga yang meminta supaya data radar asal dari pesawat MH370 didedahkan untuk dibuat analisis oleh pihak yang bebas.

Dalam sepucuk surat kepada para pemimpin di Malaysia, China dan Australia, waris-waris keluarga MH370 mempersoalkan bagaimana pihak berkuasa membuat kepastian bahawa pesawat Boeing 777 milik MAS itu terhempas di selatan Lautan Hindi.
Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.
Sebanyak 153 penumpang adalah warga China.

Sebelum pesawat itu hilang, Bajc sedang melakukan persediaan untuk berpindah dari Beijing ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama Wood yang bekerja dengan syarikat komputer IBM di Malaysia.
Menurut Bajc, panggilan-panggilan telefon itu tidak lagi diterimanya selepas seorang ejen Biro Penyiasatan Persekutuan menyiasat kejadian tersebut.
Setakat ini, tiada serpihan pesawat itu yang ditemui dalam operasi mencari di selatan Lautan Hindi. - Agensi

Tuesday 6 May 2014

Datuk Aziz Satar meninggal dunia

PELAKON veteran, Datuk Aziz Sattar, 89, meninggal dunia akibat penyakit jantung di Hospital Kajang pada kira-kira jam 2 pagi tadi.
Memetik laporan sebuah media, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi dua anak, menantu dan seorang cucu.

Allahyarham dilaporkan dimasukkan ke hospital sejak kelmarin selepas diserang penyakit jantung.

Jenazah yang akan dibawa pulang ke rumahnya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, sebaik dibenarkan pihak hospital dan urusan pengebumian dijangka dilakukan pagi ini.

Allahyarham yang dilahirkan di Surabaya, Indonesia merupakan rakan seangkatan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham S Shamsuddin popular menerusi filem Seniman Bujang Lapok. SH

Selamat Penganting Baru Buat Misha Omar

ANTARA senyuman dan tangisan, dua emosi tersebut bersulam tanpa henti sepanjang hari Jumaat itu. Tarikhnya, 2 Mei 2014.
Ada sebab besar mengapa emosi itu bercampur-baur dalam diri penyanyi Misha Omar atau Samihah @ Aishah Omar.

Dia akhirnya berjaya bernikah dengan lelaki yang telah lama menjadi separuh dirinya, Firos Ezzwan Rossly atau Firos selepas dua kali perancangan bernikah ditangguhkan.
Sementelah usia lapan tahun berkenalan - bercinta - putus - bercinta semula dan bertunangan sudah cukup lengkap untuk membuat mereka bersatu.

Dengan sekali lafaz, maka bersatulah dua hati itu di hadapan jurunikah Imam Masjid Mukim Chempaka, Ustaz Ahmad Khamil Mat dan lebih 200 tetamu yang terdiri dalam kalangan ahli keluarga kedua belah pihak dan sahabat terdekat.

Tiada sebarang wang yang diterima wanita berusia 32 tahun itu. Sebaliknya, dia hanya menerima seutas gelang emas sebagai simbolik mas kahwin serta berbalas lima dulang hantaran.
Namun, ibu mertuanya, Asmah Kenin telah menghadiahkan seutas rantai emas sebagai cenderahati menerima kehadirannya dalam keluarga juruterbang tersebut.

Bercakap mengenai tindakan tidak menerima wang, Misha menyifatkan seperti mana tinggi dan mahalnya nilai emas, begitulah nilai cinta mereka.
"Duit boleh habis, tetapi simbolik mahalnya emas, sama seperti cinta kami yang selama lapan tahun ini sempat dilanda badai yang bukan sedikit, namun tetap utuh. Insya-Allah saya berdoa agar hubungan cinta dan rumah tangga kami harmoni," katanya.

Bagi Firos pula, cinta yang dimeterai dengan ikatan perkahwinan memberi satu tanggungjawab yang baharu buatnya untuk membahagiakan dan melaksana amanah seorang suami dengan sebaik mungkin.

Sementara majlis pernikahan berlangsung lancar pada sebelah pagi, pada sebelah malam, saat meraikan kemenangan cinta mereka di Hotel Renaissance Kota Bharu, Kelantan, Misha yang begitu jelita dalam persalinan pengantin songket kontemporari ciptaan pereka busana Syaiful Bahrim meluahkan rasa.

"Ini rezeki berkat kesabaran saya dan suami. Ini bukti bahawa saya bukan janda seperti yang difitnah sebelum ini. Hanya lelaki ini (Firos) yang saya nikahi," ada baur sebak dan gembira dalam pengakuan tersebut.

Misha turut menyelitkan sebuah pesanan buat kakaknya yang juga pengurus yang telah menguruskan kariernya lebih 10 tahun lalu, Mimie.

Pesan Misha, supaya selepas pernikahannya, Mimie boleh berhenti memikirkan tentang dirinya, sebaliknya sama-sama menjalani satu fasa baharu dalam kehidupannya.

"Mimie, sila fikirkan tentang diri anda sendiri kerana saya kini telah bersuami. Saya harap kita sama-sama akan dapat merentas fasa baharu dalam hidup dengan baik. Jangan bimbang kerana adikmu ini akan berusaha untuk belajar menjadi lebih baik," luahnya yang disambut juraian air mata oleh Mimie yang juga merupakan tulang belakang majlis perkahwinannya pada hari itu.
Sebelum rasa itu dihamburkan, adik penyanyi itu, Nina terlebih dulu memberi sebuah ucapan yang membuat lebih 400 tetamu tergamam sendiri.

Dalam canda ucapannya, Nina mengakhirinya dengan deraian air mata dan turut menyifatkan perkahwinan Misha sebagai sebuah perjuangan panjang yang berakhir dengan kemenangan besar.
Katanya: "Ma, saya harap selepas ini tidak ada lagi yang menelefon dan bertanya tentang hal bukan-bukan tentang Misha.

"Buat kakak, saya harap anda sudah boleh berhenti menangis kerana anda sudah menang besar dengan kesabaran yang anda lalui selama ini."

Perkara yang mereka bangkitkan itu cukup relevan dan terkesan kerana Misha sebelum ini didakwa telah berkahwin dan menyembunyikan status janda kepada seorang usahawan.
Justeru, apabila penyanyi yang sinonim dengan lagu-lagu cinta itu bernikah dengan Firos, seluruh keluarganya menyifatkan hari bersejarah tersebut sebagai hari kemenangan mereka semua.

Tidak mempunyai sebarang perancangan keluarga, akui Misha pada usia bukan lagi muda, dia dan Firos mahu segera menimang cahaya mata. Namun, ia bergantung kepada rezeki yang Tuhan berikan buat mereka.
"Memang saya sudah punya seorang anak (Adam Emir, anak angkat), namun saya mahu merasa jadi wanita hamil dan kembali menguruskan seorang anak kecil seperti pernah saya lalui sebelum ini," kata Misha.

Bercakap tentang kerjaya seninya pula, Misha memberitahu, dia akan terus aktif menyanyi, tetapi selektif terhadap tawaran berlakon supaya tidak melanggar sensitiviti sebagai seorang isteri dan mempunyai keluarga yang besar untuk diberi perhatian.

Majlis pernikahan dan persandingan yang berlangsung sempurna seperti yang diinginkan, ironinya sempat berhadapan masalah.

Akui Misha, 10 hari sebelum majlis berlangsung, pihaknya menarik diri untuk memakai khidmat pihak pengurusan majlis dari Kelantan kerana kekangan bajet.

Dalam gundah, dia akhirnya diselamatkan oleh pihak Faboulos yang menawarkan harga dalam bajet mereka.
"Walaupun saya seorang artis, soal bajet masih menjadi masalah buat saya kerana semuanya dilakukan tanpa tajaan. Justeru, kerana kekangan bajet, saya terpaksa menolak khidmat sebuah pengurusan majlis dan digantikan dengan yang lain.

"Alhamdulillah, dalam gawat dengan pelbagai lagi isu yang melanda sebelum majlis berlangsung, semuanya dapat diselesaikan satu persatu.
"Saya kini mohon doa semua pihak agar mendoakan kebahagiaan kami hingga ke akhir hayat," luah penyanyi itu. Kosmo

Sunday 4 May 2014

Lebih 2000 Mangsa Tertimbus Lumpur Setinggi 100 meter Akibat Tanah Runtuh

Polis Afghanistan dan penduduk kampung memulakan usaha bahaya mencari sekurang- kurangnya 2,100 mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di wilayah pergunungan terpencil di timur laut negara itu, ketika kebimbangan kaki bukit yang tidak stabil mungkin runtuh lagi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, sekurang - kurangnya 350 maut tetapi pegawai bimbang angka mungkin meningkat mendadak kerana kampung di wilayah Badakhshan, bersempadan dengan Tajikistan, ditimbus lumpur sehingga setinggi 100 meter.

Penduduk kampung dan berpuluhpuluh anggota polis, dilengkapi dengan cuma peralatan menggali asas, memulakan pencarian sebaik hari cerah semalam.

“Penduduk dari daerah sekitar Badakhshan dan Takhar bergegas ke kawasan berkenaan untuk membantu usaha pencarian.

Setakat hari ini, tiada mayat ditemui,” kata timbalan ketua polis Badakshan, Kolonel Abdul Qadeer Sayad.

Beratus-ratus pondok musnah kelmarin apabila dua kejadian tanah runtuh, berpunca daripada hujan lebat, melanda kampung Argo.

Ada juga kebimbangan sebahagian lagi kawasan kaki gunung akan runtuh ketika penyelamat berusaha menyelamatkan mangsa yang tertimbus. 

Saturday 3 May 2014

Anak Derhaka Belasa Ayah Tegur Maksiat

Ampang: “Anak derhaka! Tergamak dia menghempuk kepala saya dengan kerusi hingga cedera teruk,” luah seorang lelaki warga emas yang hanya ingin dikenali sebagai Murad, 87, selepas dipukul oleh anak perempuannya sendiri.

Murad yang tinggal bersama anak perempuannya berusia 50-an mendakwa turut dihamburkan kata-kata kesat susulan tindakannya menegur perbuatan sumbang anaknya itu bersama bekas menantu di kediamannya di sini.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 8 malam Selasa lalu, apabila dia mendapati anak perempuannya itu masih ‘bermesra’ dengan bekas suami walaupun mereka sudah bercerai.

“Saya yang tidak tahan melihat gelagat mereka bertindak menegur dan menasihati anak saya itu. Bagaimanapun niat baik saya itu dibalas dengan hamburan kata-kata kesat. 

“Tidak cukup dengan itu, dia turut membaling botol minuman ke arah saya sebelum mencapai kerusi kayu berhampiran. Kerusi itu kemudian dipukul sekuat hati ke arah belakang tubuh dan kepala saya,” katanya. Harian Metro

Dirogol Dalam Tandas

SETIU - Seorang wanita mendakwa dirogol seorang pelanggan di kedai makan tempat dia bekerja dalam kejadian di sebuah tandas awam Kampung Nyatoh, Penarik, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.40 petang ketika mangsa berusia 23 tahun pergi berseorangan ke tandas itu tanpa menyedari dia diekori suspek dikenalinya berusia 20-an.

“Sebaik tiba, mangsa ditarik suspek ke dalam tandas dan diarahkan tidak berbuat bising jika enggan diapa-apakan.

“Mangsa mendakwa minta suspek melepaskannya, namun rayuan itu tidak diendahkan sebelum dirogol,” katanya.

Ab Rahman berkata, selesai melampiaskan nafsu, suspek meninggalkan mangsa sambil memberi amaran agar tidak menceritakan perbuatan itu kepada sesiapa, namun mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Penarik untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya. SH

Dirogol Teman Lelaki

Sekadar Gambar Hiasan
SABAK BERNAM – Keinginan pelajar tingkatan empat berseronok dengan teman lelaki sehingga sanggup ponteng sekolah, akhirnya bertukar detik hitam apabila dia dirogol lelaki itu di sebuah rumah di Sungai Besar, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, mangsa, 16, dipercayai dirogol temannya lelaki itu antara jam 8 hingga 11 pagi di rumah bapa suspek yang ketika itu tiada di rumah kerana bekerja.

Menurutnya, kesempatan itu digunakan sepenuhnya suspek untuk membawanya ke rumah dan kemudiannya bertindak merogol mangsa yang baru dikenalinya kira-kira sebulan lalu.

“Lelaki yang mengenali mangsa melalui rakannya dipercayai pernah melakukan seks oral beberapa kali sebelum ini, namun mengakui baharu pertama kali melakukan hubungan seks dengan mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, Noor Mushar berkata, perbuatan lelaki berusia 19 tahun itu terbongkar selepas kakak mangsa mengesyaki sesuatu berlaku kepada adiknya selepas seorang rakan mangsa menghubunginya memaklumkan mangsa tidak ke sekolah.

Katanya, suspek yang menghantar mangsa di rumah selepas waktu persekolahan, tidak menyangka perbuatannya itu berjaya dihidu kakak mangsa.

“Mangsa yang masuk ke rumah kemudiannya didesak kakaknya beberapa kali sebelum mengaku tidak ke sekolah dan dirogol lelaki berkenaan,” katanya.

Noor Mushar berkata, kakak mangsa yang terkejut dengan pengakuan adiknya itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam bagi memaklumkan kejadian terbabit.

“Polis mereman suspek yang bekerja sebagai mekanik bermula 29 April lalu sehingga 6 Mei ini untuk membantu siasatan lanjut," katanya.  SH

Friday 2 May 2014

Dakwa Serpihan MH370 Ditemui

MERCURY PRESS & MEDIA LTDAKERS menunjukkan serpihan yang dianggapnya daripada pesawat MH370 pada skrin komputernya.Ahli arkeologi marin Britain percaya lokasinya di perairan VietnamDakwa temui serpihan MH370LONDON - Seorang ahli arkeologi marin Britain mendakwa menemui serpihan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di sebuah lokasi sejauh 4,800 kilometer dari zon pencarian masa kini di selatan Lautan Hindi, lapor akhbar MailOnline semalam.

Ahli arkeologi marin berkenaan, Tim Akers, 56, telah mengkaji perairan Australia di luar pantai bandar raya ini selama bertahun-tahun untuk mencari bangkai sebuah kapal perang negara itu, HMAS Sydney yang hilang semasa Perang Dunia Kedua.

Pencarian lokasi kapal HMAS Sydney karam itu dilakukan di perairan sama pesawat Boeing 777-200ER milik MAS itu dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi, luar pantai Australia Barat.
Sebelum ini, operasi besar-besaran melibatkan sejumlah satelit, pesawat dan peralatan bawah laut canggih yang berupaya meninjau dasar laut dalam gagal mengesan sebarang serpihan MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu.

Namun, Akers yang berasal dari Yorkshire Utara percaya, dia telah menemui lokasi di mana pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu terlepas selepas ia hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing.

Dia mendakwa mengenal pasti ekor pesawat hilang di perairan di luar Vietnam di sebuah lokasi yang terletak hanya sekitar 1,600 kilometer dari tempat pesawat itu berlepas.
Penemuannya menyokong beberapa laporan pada minggu ini termasuk daripada seorang bekas juruterbang Amerika Syarikat, Michael Hoebel yang percaya dia telah menemui bangkai pesawat Boeing 777-200 itu di perairan Thailand.

Akers memberitahu bahawa dia kini mengenal pasti beberapa bahagian pesawat di sebuah lokasi berdekatan dengan laporan yang diterima oleh pihak berkuasa Vietnam bahawa beberapa pekerja cari gali minyak melihat sebuah pesawat terbakar jatuh dari udara.
Imej itu ditemui berdasarkan imbasan gambar dari satelit yang menunjukkan serpihan seperti ekor dan sayap pesawat. - Agensi

Thursday 1 May 2014

Seniwati Kartina Dahari Meninggal Derita Barah

Kuala Lumpur: Penyanyi veteran yang terkenal dengan muzik keroncong, Kartina Dahari menghembuskan nafas terakhir pada sekitar jam 6 petang semalam di kediamannya di Braddel, Singapura, dekat sini.
Allahyarham yang berusia 73 tahun meninggal dunia selepas lebih empat tahun bertarung dengan penyakit barah payudara.

Berita sedih itu disahkan oleh teman baiknya yang juga penghibur malar segar, Datin Paduka Julie Sudiro kepada Harian Metro ketika dihubungi, semalam.
“Saya masih dalam keadaan terkejut dan sangat sedih dengan berita ini sebab saya baru saja menziarahi dia pagi tadi sebelum pulang ke KL.

“Apa pun saya sempat berjumpa dan dia sedar ketika saya datang tadi.
“Masa berjumpa tadi memang dapat lihat keadaannya makin lemah tapi terkejut dia ‘pergi’ juga akhirnya petang ini,” katanya.

Allahyarham yang popular dengan lagu Sayang Di Sayang ini meninggalkan tiga anak.
Jenazahnya dijangka dikebumikan hari ini.

Julie berkata, sebagai teman rapat di samping seorang lagi rakan mereka, Asmah Laili, kehilangan bintang yang mesra disapa Tina itu adalah sesuatu yang sangat menyedihkannya.
“Memang sedih dan saya masih tergamam tapi saya reda sebab sudah lama sangat dia sakit.
“Selepas dia keluar dari hospital tiga hari lalu keadaannya memang tak bermaya tapi saya masih sempat mengajarnya berdoa untuk kesejahteraannya,” katanya.

Allahyarham yang turut popular dengan lagu duet Budi Setahun Segunung Intan bersama Allahyarham Datuk Ahmad Jais, pernah merakamkan lagu duet bersama Julie berjudul Burong Nuri.
Penyanyi yang terkenal dengan sifat lemah lembut ini turut dikenali dengan lagu-lagu lain seperti Rindu, Seruling Senja, Jangan Ditanya, Sriwana, Tunas Kasih, Jali-Jali dan Jauh Di Mata.

Kali terakhir Allahyarham membuat persembahan terbuka pada Konsert Sayang Di Sayang terbitan Esplanade Teater Di Pesisiran sempena Pesta Raya 2013 di republik itu.
Sepanjang 50 tahun mendambakan diri dalam nyanyian, Kartina menerima anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Perdana Emas oleh kerajaan Singapura. myMetro

JACC Tolak Dakwaan Pesawat MH370 di Teluk Benggala

SYDNEY - Pihak berkuasa Australia semalam menolak dakwaan sebuah syarikat penerokaan marin yang mendakwa elemen kimia yang dijumpai di Teluk Benggala mungkin berasal dari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia yang hilang pada 8 Mac lalu.

Stesen televisyen 7News sebelum ini melaporkan syarikat GeoResonance mendakwa menemui bangkai sebuah pesawat di satu lokasi di Teluk Benggala yang terletak kira-kira 5,000 kilometer dari kawasan pencarian ketika ini.

Jurucakap Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC) berkata, pihaknya menggunakan maklumat dari satelit dan data-data lain bagi mengenal pasti lokasi pesawat ini.
"Lokasi yang didakwa GeoResonance tidak berada di zon pencarian Australia dan zon menyelamat.
"Pihak Australia mengetuai misi mencari berdasarkan maklumat dari satelit dan data-data lain untuk menentukan lokasi pesawat MH370 yang hilang.

"Lokasi yang diperincikan dalam laporan GeoResonance tidak berada dalam koridor pencarian," katanya.
Dalam pada itu, operasi mencari serpihan pesawat MH370 melalui udara berakhir semalam manakala beberapa kapal yang menyertai misi berkenaan mula meninggalkan Lautan Hindi.
Operasi mencari serpihan secara visual itu dihentikan selepas pihak berkuasa Australia kini memutuskan untuk memfokuskan carian di dasar laut bagi mengesan pesawat berkenaan.

Pesawat Boeing 777-200ER itu hilang semasa membawa 227 penumpang dan 12 kru ke Beijing, China selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Berdasarkan analisis radar tentera, pesawat itu berpatah balik dan dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi. - Agensi

Klik Untuk Saya k... :)

free counters