Jom Buat Duit

Wednesday 27 November 2013

Sharnaaz tinggalkan dunia hiburan

BEBERAPA bulan yang lalu namanya hangat diperkatakan di media-media massa dan sosial.

Kelibat dan setiap butir bicara pelakon kacak, Sharnaaz Ahmad menarik perhatian media ekoran kisah cintanya dengan penyanyi tersohor Shila Amzah yang putus di tengah jalan.

Reda kisah cintanya dengan Shila, Sharnaaz kemudian dikaitkan pula bercinta dengan tunang orang, Uqasha Senrose sehingga menyebabkan aktress itu putus tunang.

Tunangan Uqasha, Pekin Ibrahim pada awalnya berang kerana menyangka kekasih hatinya itu berlaku curang di belakangnya.

Namun semua itu hanya salah faham dan hubungan mereka berdua kembali pulih selepas mengetahui Uqasha dan Sharnaaz rapat kerana mahu membuat kejutan di hari jadinya.

Setelah melalui pelbagai liku yang sememangnya lumrah sebagai anak seni, pelakon Sharnaaz Ahmad bagaimanapun baru-baru ini mengumumkan untuk bersara daripada dunia hiburan tanah air.

Keputusan mengejut itu diambil oleh Sharnaaz ekoran terlalu banyak gosip, kontroversi dan fitnah yang melanda dirinya sepanjang menceburi industri itu.

Dengan persaraan ini, Sharnaaz berharap agar hati ibu bapa dan adik beradiknya tidak lagi dilukai.

Berikut kata-kata Sharnaaz yang dipetik daripada sebuah laman web popular:-

"Saya bukan kecewa, tetapi dengan apa yang berlaku, satu persatu gosip dan kontroversi melanda diri, saya fikir biarlah saya berundur diri. Saya tidak mahu mengguris hati dan perasaan sesiapa lagi. Paling penting, saya tidak terus melukakan hati ibu bapa dan adik beradik, mereka adalah insan yang sentiasa berada di belakang saya ketika susah dan senang.

Saya akan menyambung semula kerja di bidang hartanah atau industri minyak dan gas yang pernah dilakukan. Saya lakukan ini demi keluarga saya. Hati ibu bapa dan keluarga saya sudah kerap kali terguris dengan cerita yang bukan-bukan, saya tidak mahu terus melukakan hati mereka. Cukuplah…

Saya tidak berdendam dengan sesiapa. Saya tidak pernah membenci mereka, buatlah apa sahaja, terserah! Saya terima dengan hati terbuka. Mungkin pengunduran saya membuatkan mereka lebih senang hati. Saya keluar industri hiburan dengan hati yang rela. Asalkan saya melihat satu wajah gebira. Mungkin setakat ini saja perjuangan saya dalam dunia seni. ALLAH SWT Maha Kuasa."

Drama “Bukan Kerana Aku Tak Cinta” adalah drama terakhir lakonan Sharnaaz Ahmad.
Sinar Harian

Isu intip, Singapura dipanggil beri penjelasan

KUALA LUMPUR - Kementerian Luar Malaysia hari ini meminta penjelasan daripada Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Ong Keng Yong berhubung dakwaan penglibatan negara itu dalam kegiatan pengintipan terhadap Malaysia. 

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan di sini berkata, Ong mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Othman Hashim berhubung perkara itu di sini.

"Ketua Setiausaha menyampaikan kebimbangan Malaysia berhubung dakwaan kegiatan pengintipan Singapura terhadap Malaysia, dan menegaskan bahawa kegiatan seumpama itu mencabuli kedaulatan Malaysia dan juga terhadap privasi individu," katanya.

Kegiatan seumpama itu, beliau berkata sepatutnya tidak dilakukan di kalangan rakan dan jiran terdekat seperti Malaysia dan Singapura apabila kedua-dua pihak saling memupuk perkongsian strategik dan hubungan yang erat.

Anifah menegaskan bahawa laporan berkenaan kegiatan pengintipan telah menyebabkan kemarahan dan kekecewaan di kalangan rakyat Malaysia.

Anifah berkata, pesuruhjaya tinggi itu berjanji untuk menyampaikan kepada kerajaan Singapura berhubung penjelasan yang diminta Malaysia dan akan memaklumkan penjelasan itu kepada Kementerian Luar Malaysia secepat mungkin.

Beliau berkata, Ong memberi jaminan bahawa Singapura tidak mempunyai niat untuk menimbulkan sebarang bahaya kepada rakan-rakan negaranya.

"Singapura juga menghargai hubungan baik dengan Malaysia dan ia terbukti melalui kerjasama antara kedua-dua negara dalam banyak bidang," katanya.

Semalam, Anifah berkata pihak berkuasa Malaysia menyiasat secara menyeluruh laporan media berhubung dakwaan penglibatan negara-negara lain, terutama Singapura, dalam kegiatan pengintipan terhadap Malaysia. - Bernama

Tuesday 26 November 2013

Zain, Rozita sah nikah 11 Disember

PELAKON Zain Saidin, 29 dan Rozita Che Wan mengesahkan akan bernikah pada 11 Disember depan iaitu pada hari Rabu di Gazebo Setia City Convention Centre, di sini, selepas solat Maghrib.

Majlis persandingan akan diadakan pada 13 Disember di Grand Ballroom, Setia City Convention Centre, pada pukul 8 malam.



Rozita, 40, akan turut menerima wang hantaran sebanyak RM23,200 dan mas kahwin bernilai RM9,300.
Sementara majlis berinai pula akan diadakan di Ngah Mahligai pada 10 Disember jam 8 malam.

Perkahwinan janda termahal - Rozita Che Wan

SHAH ALAM – Majlis perkahwinan pelakon Rozita Che Wan bersama pasangannya pelakon sensasi, Mohamad Zain Mohd. Saidin bulan depan mencatat sejarah tersendiri dalam dunia hiburan tempatan apabila ia mendapat tajaan berjumlah RM13 juta.

Rozita atau lebih sinonim dengan panggilan manja Che Ta, 40, bakal melangsungkan perkahwinan paling mahal dalam sejarah tanah air yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini pada 11 Disember depan.

Beliau berkata, syarikat barangan kemas terkenal Habib Jewels merupakan penaja utama apabila sanggup menaja set barangan kemas berjumlah RM10 juta untuk perkahwinan tersebut.

Katanya, barangan kemas Habib Jewels itu akan diperagakan semasa majlis berinai, akad nikah dan resepsi.

Penajaan lain bernilai RM3 juta adalah daripada 27 pihak lain yang sudi memeriahkan perkahwinan pasangan tersebut.

“Majlis perkahwinan kami ini bukan berniat untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya setiap tajaan yang kami perolehi ini merupakan satu rezeki.
“Kami memang tidak menyangka apabila ramai pihak sudi untuk menjadi penaja.
“Pada awalnya kami cuma merancang untuk mengadakan majlis yang ringkas, misalnya upacara akad nikah pun sudah memadai.

“Mungkin dengan pelbagai tajaan yang diterima ini membuatkan majlis ini kelihatan besar dan meriah,” katanya pada sidang akhbar di SCCC semalam.
Kosmo

Sunday 24 November 2013

Angka korban taufan Haiyan hampiri 7,000 orang

TACLOBAN - Bilangan mangsa yang maut atau hilang selepas taufan Haiyan melanda Filipina meningkat menghampiri 7,000 orang semalam.

Taufan yang bertiup melebihi kelajuan 300 kilometer sejam itu merupakan antara terkuat di dunia.
Setakat semalam Manila mengesahkan jumlah korban bertambah kepada 5,235 orang dengan 1,613 mangsa masih hilang dua minggu selepas taufan Super Haiyan meratakan bandar-bandar di beberapa buah pulau di tengah Filipina.

Bencana itu mencetuskan usaha bantuan antarabangsa besar-besaran apabila berpuluh-puluh negara dan pertubuhan bantuan bergegas untuk mengagihkan makanan, air dan khidmat kesihatan kepada lebih 4 juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Namun, ketua agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Valerie Amos selepas melawat zon bencana memberitahu, dunia perlu bertindak lebih pantas.
"Lebih banyak perlu dilakukan. Makanan, air bersih dan tempat perlindungan menjadi keutamaan," kata Amos selepas PBB merayu dana bantuan ditingkatkan daripada AS$301 juta (RM967.8 juta) kepada AS$348 juta (RM1.1 bilion).

Menurutnya, masih ramai mangsa terdedah kepada cuaca buruk di sembilan wilayah yang musnah dilanda Taufan Haiyan terutamanya bayi, kanak-kanak dan kaum ibu.
"Saya bimbang bahawa terdapat kira-kira 1.5 juta kanak-kanak berisiko mengalami kurang zat makanan manakala hampir 800,000 ibu mengandung dan menyusu memerlukan zat tambahan," jelas Amos pada satu sidang akhbar di ibu pejabat PBB.

Sementara itu, di bandar Tacloban yang paling teruk dilanda bencana tersebut, mangsa-mangsa terselamat mengadu bantuan yang diterima jauh daripada mencukupi.
"Penyaluran bekalan masih belum stabil. Ia datang sedikit demi sedikit," kata seorang ibu berusia 41 tahun, Maribel Senase di sini.

Kelmarin, Bank Dunia menambah bantuan kecemasan sebanyak AS$480 juta (RM1.5 bilion) kepada Filipina dengan dana keseluruhan PBB kini meningkat kepada hampir AS$1 bilion (RM3.2 bilion).
Ia akan digunakan bagi membina semula infrastruktur kediaman mangsa yang musnah dalam bencana itu. - AP

Monday 11 November 2013

Lebih 4 juta orang terjejas akibat Taufan Haiyan di Filipina

MANILA - Anggota-anggota penyelamat bertungkus-lumus semalam untuk membantu mangsa yang terselamat dalam taufan terkuat dan paling dahsyat pernah melanda Filipina.

Taufan Haiyan yang membadai tengah negara itu meranapkan bandar-bandar dan mencetuskan ombak tsunami setinggi lebih lima meter di pantai Pulau Leyte dan Samar.

Presiden Benigno Aquino berkata, beliau bimbang dengan laporan kematian yang mencecah 10,000 orang tetapi menambah, bilangan tersebut bukan angka rasmi.

Menurut beberapa pegawai polis dan bantuan bencana, angka korban rasmi akibat Taufan Haiyan setakat semalam berjumlah 552 orang.

"Keutamaan kami buat masa ini adalah untuk menguruskan kebajikan mangsa yang terselamat dan mereka yang cedera," kata Aquino.

Taufan Haiyan menyebabkan bekalan elektrik terputus, lapangan terbang rosak dan jalan raya tertimbus apabila ia melanda tengah dan timur Filipina sekali gus menyukarkan perjalanan pasukan penyelamat.
Huru-hara dan kes kecurian berleluasa di ibu negeri wilayah Leyte Bandar Raya Tacloban apabila penduduk memecah masuk ke dalam pusat beli-belah, pasar raya dan kedai untuk mencari makanan, ubat dan bekalan lain.

"Tacloban kini huru-hara," ujar Presiden berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap agensi pengurusan bencana negara, Reynaldo Balido memberitahu, lebih empat juta orang terjejas akibat bencana itu termasuk 800,000 penduduk yang hilang tempat tinggal.

Antara kematian yang berlaku termasuk 300 orang yang lemas di bandar Basey, dalam wilayah Samar
Selain Samar dan Leyte, kematian turut dilaporkan di wilayah Iloilo, Capiz, Cebu, Palawan, Masbate, Aklan, Surigao del Sur dan Bandar Raya Zamboanga.

Wanita Venezuela paling cantik di dunia

CARACAS - Sebahagian besar rakyat Venezuela berdepan waktu sukar. Inflasi kini di paras tertinggi sepanjang dua dekad, gaji mengecil ekoran kemerosotan nilai mata wang manakala bekalan barangan keperluan asas seperti susu dan tisu tandas turut berkurangan.

Namun, ketika ekonomi Venezuela diambang kegawatan, negara itu masih berupaya menghasilkan jelitawan seperti Maria Gabriela Isler yang memenangi gelaran ratu cantik Miss Universe kelmarin.

Ia merupakan mahkota Miss Universe ketiga untuk negara Amerika Selatan itu dalam tempoh enam tahun.
Beberapa minit selepas kemenangan Isler dalam acara yang berlangsung di Moscow itu, Presiden Nicolas Maduro menghantar ucapan tahniah beliau di laman Twitter.

"Kecemerlangan Isler sekali gus kejayaan buat negara," katanya.
Kebanggaan tersebut turut dikongsi pihak pembangkang.

"Tidak syak lagi bahawa wanita Venezuela adalah yang paling cantik di dunia," kata seorang anggota parti pembangkang berusia 68 tahun, Marco Sando- val.

Dilahirkan di bandar raya Valencia, Isler, 25, bertugas sebagai pembaca berita untuk saluran televisyen tempatan, Venevision.

Saluran tersebut memiliki hak penyiaran pertandi- ngan ratu cantik Miss Venezuela yang merupakan acara paling popular di negara itu.

Wanita tinggi lampai berambut hitam itu mengetepi- kan finalis dari Sepanyol, Ecuador dan Filipina untuk memenangi pertandingan Miss Universe ke-61.
Venezuela memenangi lebih banyak pertandingan ratu cantik antarabangsa berbanding negara lain di dunia termasuk tujuh gelaran Miss Universe.

Ratu-ratu cantik Venezuela merupakan antara eksport terbesar negara itu seperti juga bintang besbol dan minyak. - AP

Selamat Pengantin Baru Fizo Omar & Mawar

SAMA cantik, sama padan. Itulah istilah paling tepat yang boleh digambarkan terhadap pasangan merpati dua sejoli iaitu Wan Hafizol Wan Omar atau Fizo dan Mawar Abdul Karim yang baru sahaja sah menjadi suami isteri.

Mula berkenalan setelah masing-masing bertemu atas urusan perniagaan pada akhir tahun lalu, siapa sangka perkenalan singkat yang terjalin antara kedua-duanya membawa ke jenjang pelamin.

Dalam majlis pernikahan yang berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Country Heights, Kajang, dengan sekali lafaz akhirnya Fizo, 28, yang segak berbaju Melayu rona putih rekaan Man Kajang sah menjadi suami kepada Mawar.
"Saya bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar dan Mawar akhirnya sah milik saya sepenuhnya. Apabila sudah bergelar suami, pastinya tanggungjawab kini menjadi lebih besar.
"Semasa akad nikah, saya tidak terlalu memikirkan sangat perasaan gementar, sebaliknya saya lebih risau dengan status sebagai seorang suami. Bagaimanapun, saya sudah lama bersedia dari segi mental dan fizikal," ujarnya ketika ditemui sebaik selesai acara akad nikah.

Dalam majlis berkenaan, Fizo dan Mawar dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Hulu Langat, Mohd. Arif Abdul Samad dengan mas kahwin RM506.
Pihak pengantin lelaki memberi tujuh dulang dan dibalas dengan sembilan dulang oleh pengantin perempuan.

Lebih istimewa, dulang hantaran daripada pihak lelaki dibawakan oleh rakan Fizo yang merupakan pelakon lelaki popular seperti Kamal Adli, Johan As'ari, Iqram Dinzly, Shaheizy Sam, Fahrin Ahmad, Nazim Othman dan Karl Shafek serta diketuai oleh Datuk Rosyam Nor.

Menariknya tentang ikatan cinta yang terjalin sebelum mendirikan rumah tangga, pelakon itu membuat kejutan apabila melamar Mawar di panggung wayang Cathay @e-curve, Damansara sambil disaksikan oleh pihak media pada 28 Oktober lalu.

Biarpun tindakannya itu dikritik segelintir pihak sehingga menuduhnya terlalu terikut-ikut dengan cara Barat, ternyata pelakon berkenaan mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian.
"Tujuan saya berbuat demikian adalah semata-mata mahu mencari kelainan kerana ia merupakan detik bersejarah dalam hidup saya. Maka, saya berharap agar tiada pihak yang salah sangka dan menganggap isu yang timbul ini sebagai satu cabaran menjelang detik perkahwinan kami," luahnya.

Meskipun hasrat untuk berumah tangga dengan gadis tercinta telah tercapai tetapi jauh di sudut hati Fizo terpendam sebuah kepiluan kerana ayah tercinta tidak dapat menyaksikan detik bersejarah tersebut setelah kembali ke rahmatullah.

"Sebenarnya ia merupakan antara impian arwah ayah yang mahu melihat saya berkahwin dan kami memang cukup rapat sewaktu arwah masih hidup. Jadi, timbul perasaan sedih apabila secara tiba-tiba saya terkenangkan dirinya.

"Selain itu, saya turut mengalirkan air mata sebaik sahaja akad nikah setelah melihat kepuasan di wajah ibu yang memang inginkan saya berkahwin. Boleh dikatakan, perasaan saya bercampur-baur," jelasnya yang kehilangan ayah dua tahun lalu.

Mengenai perancangan untuk mendapatkan cahaya mata pula, Fizo memberitahu, dia tidak kisah sama ada cepat atau lambat kerana semuanya terserah kepada rezeki yang Allah berikan.

Bagaimanapun, pelakon berkenaan mengakui yang dia seboleh-bolehnya ingin menghabiskan masa dengan lebih lama bersama isteri terlebih dahulu sebelum menimang cahaya mata.
"Kalau diikutkan saya dan isteri memang suka dengan kanak-kanak dan pastinya memiliki cahaya mata menjadi keutamaan.

"Jadi, kami akan lebih bersedia sekiranya ditakdirkan mendapat anak lebih cepat," ujarnya.
Berkenaan dengan lokasi bulan madu pula, Fizo dan Mawar bakal meluangkan masa selama tiga minggu di beberapa buah negara Eropah seperti England, Perancis, Itali dan Sepanyol bermula awal Disember nanti.

Biarpun sudah bergelar seorang suami, pelakon yang dikenali menerusi filem Kongsi itu menjelaskan, kariernya sebagai seorang pelakon, pengacara dan ahli perniagaan akan tetap berjalan seperti biasa.
Ujar Fizo, statusnya sekarang ini sepatutnya tidak menjadi penghalang kerana dia kini mempunyai tugas yang lebih besar untuk dipikul. Disebabkan itu dia harus berusaha dengan lebih keras lagi.

"Sebenarnya, sejak awal tahun lagi saya sudah berhenti berlakon drama buat seketika dan hanya terbabit dalam dua buah filem iaitu Romeo Kota dan Cinderella kerana mahu memberi fokus kepada perniagaan.
"Lagipun, saya ada meletakkan sasaran untuk berkahwin apabila perniagaan saya Hot Burger saya berkembang.

"Kini, saya sudah memiliki sebanyak 70 gerai burger di beberapa buah negeri," jelasnya yang akan terus mengacarakan rancangan Nasi Lemak Kopi O terbitan TV9.
Selain mengurangkan aktiviti lakonannya kerana lebih menumpukan pada bidang perniagaan, ia tidak bermakna Fizo akan meninggalkan kerjaya dalam bidang seni memandangkan dia bakal bergiat aktif dalam penerbitan drama bersiri.

Tempoh perkenalan yang cukup singkat iaitu selama enam bulan dan kemudiannya bertunang dan mendirikan rumah tangga, Mawar, 24, sangat yakin Fizo merupakan lelaki yang terbaik buat dirinya untuk menjadi teman hidup.

Menyedari dirinya berkahwin dengan seorang artis yang cukup dikenali ramai, anak sulung kepada pemilik jenama tudung terkenal Fareeda itu sudah bersedia untuk menghadapi segala cabaran yang timbul.
"Saya mengakui yang tempoh perkenalan kami memang cukup singkat, namun sepanjang mengenali dirinya saya dapati suami merupakan seorang yang bertanggungjawab, romantik, penyayang dan mengutamakan keluarga.

"Biasanya kalau timbul sebarang cerita mengenai dirinya, saya tidak gemar mendengar kata-kata orang luar dan akan terus bertanya kepadanya.
"Kemudian dia akan berterus terang serta menceritakan segala-galanya dan ini membuatkan hubungan kami bertambah erat," jelasnya.

Meskipun sedar tentang jadual padat yang harus dilalui suami tercinta kerana perlu memberi fokus kepada bidang kerjaya yang diceburi sekarang, Mawar menyatakan, dia tidak kisah mengenainya, asalkan Fizo bijak mengatur jadual serta perlu mengutamakan rumah tangga.
Kosmo

Sunday 10 November 2013

13 terbunuh helikopter tentera Indonesia terhempas

JAKARTA - Sebanyak 13 orang terbunuh apabila sebuah helikopter tentera Indonesia yang membawa pekerja-pekerja binaan untuk membina sebuah pos tentera terhempas ke dalam hutan Borneo semalam.
Lima daripada mangsa yang terbunuh adalah anggota tentera manakala baki yang lain ialah pekerja binaan.

Menurut seorang jurucakap tentera, Iskandar Sitompul, helikopter Mi-17 buatan Rusia itu mengalami masalah enjin sebelum terhempas berdekatan sempadan Malaysia iaitu di Malinau, utara Kalimantan, sebuah daerah yang terpencil.

Pasukan penyelamat menggunakan helikopter untuk mengeluarkan semua mangsa yang terkorban dan enam lagi mangsa cedera parah dikejarkan ke sebuah hospital berdekatan di bandar Tarakan, Kalimantan.
Ketika kejadian, ia membawa 19 orang termasuk kru.

Mangsa-mangsa yang cedera itu melecur kerana helikopter tersebut terbakar selepas terhempas.
Menurut seorang lagi jurucakap tentera, Rukman Ahmad, helikopter itu terhempas dekat pos tentera Bulan. - Agensi

Tuesday 5 November 2013

Buat maksiat dalam kebun

 Gambar Hiasan



Perbuatan sepasang remaja menjadikan sebuah pondok dalam kebun kelapa sawit, di sini, sebagai port memadu kasih mengundang padah apabila kegiatan tidak bermoral mereka dihidu anggota SRS Paloh Nyior, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, pasangan berusia 16 tahun terbabit dipercayai sedang melampiaskan nafsu, namun hasrat mereka terbantut apabila menyedari kehadiran anggota SRS Paloh Nyior dan polis.

Difahamkan, remaja perempuan berasal dari Kampung Telaga itu terlebih dahulu menunggang motosikal mengambil pasangannya yang tinggal di Kampung Getang sebelum kedua-dua mereka tiba di kawasan kebun kelapa sawit tersebut sekitar jam 7.30 pagi.

Setiausaha SRS Paloh Nyior, Abdul Manat Ibrahim, 63, berkata, kehadiran pasangan terbabit disedarinya setelah mendapati terdapat sebuah motosikal berhampiran pintu pagar kebun sawit itu ketika dia sedang melakukan rondaan.

“Sebagaimana kebiasaan, saya kerap lakukan rondaan sekitar kawasan kampung apatah lagi malam tadi (semalam) bertugas sebagai anggota SRS.

“Ketika melalui kebun sawit ini, saya lihat sebuah motosikal dan ia adalah motosikal sama ditemui pada minggu lepas,” katanya.

Kata Abdul Manat, dia mengesyaki sesuatu setelah mendapati pintu pagar kebun berkunci manakala pemilik kebun itu tinggal di Kemaman.

“Saya memaklumkan anggota SRS yang lain selain turut hubungi polis. Pondok terletak kira-kira 50 meter jaraknya dari pagar ini pernah jadi lokasi penagih dadah,” katanya.

Menurutnya, hasil serbuan didapati sepasang remaja dalam keadaan mencurigakan.

“Mereka akui pernah ke sini sebelum ini. Dalam pondok ini turut terdapat gebar dan bantal tidak pasti sudah ada atau dibawa mereka.

“Pasangan ini dibawa ke Balai Polis Kuala Telemong sebelum dimaklumkan ibu bapa masing-masing,” katanya.

Difahamkan, remaja lelaki itu sudah tidak bersekolah manakala yang perempuan masih bersekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, kedua-dua remaja itu ditahan untuk jalani ujian air kencing, bagaimanapun hanya remaja lelaki didapati positif dadah serta masih ditahan. SH

Saturday 2 November 2013

Mizz Nina Kini Bertudung


PENYANYI, Mizz Nina dikatakan sudah mengenakan hijab sekembalinya daripada menunaikan haji bersama suaminya, vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, Jumaat lalu.

Mizz Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman masih belum bersedia untuk bertemu atau menjawab sebarang persoalan media mengenai perubahan imejnya itu.
"Buat masa ini, Nina masih lagi belum bersedia bertemu media untuk bercakap tentang imej barunya itu.
"Tetapi dia telah mengesahkan pada saya bahawa buat masa ini dia memang sudah pun bertudung," katanya.
Tambah Joe, Nina memerlukan sedikit masa untuk tampil kepada media serta khalayak dengan imej yang bersesuaian.

"Nina seorang yang sangat peka dengan imejnya sebagai selebriti dan apabila sudah berhijab, Nina sedang mencari imej yang bersesuaian sebelum tampil di khalayak.
"Dalam pada itu, banyak juga perubahan yang harus dilakukan dalam karier muziknya. Sebab itu dia perlukan masa. Diharap semua pihak dapat memahami situasinya,"

Friday 1 November 2013

Seorang Lelaki Memotong Zakar Sendiri Kerana Tiada Teman Wanita

JIAXING - CHINA. Gara-gara kecewa kerana tidak mempunyai kekasih, seorang lelaki China nekad memotong zakarnya dan berbasikal ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, sejurus tiba di hospital, doktor mengarahkan Yang Hu, 26, pulang semula ke rumah untuk mengambil zakar yang tertinggal bagi membolehkan ia dirawat.

Lebih malang lagi, doktor memaklumkan penyambungan itu mustahil dilakukan kerana kecederaan pada zakarnya amat serius menurut Daily Mail.

Yang mengalami tekanan teruk selepas dia dipaksa bekerja dalam jangka masa panjang sehingga tiada peluang mencari pasangan.

Klik Untuk Saya k... :)

free counters